Follower Tersayang

Monday, December 15, 2008

Sedikit dari novel kedua... Insya-Allah..

1
SUASANA di ruang pejabat Syarikat Azana Holdings sedikit sibuk. Masing-masing sedang melakukan tugas yang diberikan. Bunyi deringan telefon, ketukan di papan kekunci komputer, atau mesin fotostat sudah lali pada pendengaran para pekerja di syarikat tersebut. Apa yang penting, mereka harus menyelesaikan tugas yang diberikan mengikut jadual.

Riezman sedang tekun melakukan tugasnya di dalam sebuah bilik yang cukup selesa dan besar. Sesekali matanya tertumpu pada skrin komputer, sesekali juga matanya tekun melihat senarai barang yang ditempah di dalam sebuah fail. Kadang kala kerutan di dahi terentang apabila ada senarai barang yang ditempah tidak mencukupi. Namun, itu semua dihadapi dengan sabar dan tekun demi tanggungjawabnya kepada Dato’ Razali untuk meneraju syarikat ayahnya yang sudah berkembang pesat ini. Dia menggalas satu tanggungjawab yang besar dan dengan itu dia harus membuktikan kepada ayahnya yang dia boleh melakukannya sendiri.

Dengusan nafas kecil kedengaran. Riezman memejamkan matanya untuk beberapa saat. Kemudian dia membukanya kembali, anak matanya terus tertumpu pada bingkai gambar yang sentiasa menemaninya tidak kira dalam apa jua keadaan sekalipun. Bibir kecilnya menguntumkan senyuman. Matanya terus merenung sayang gambar itu. Seorang gadis tersenyum manja ke arahnya. Gadis yang kini bertakhta di hatinya. Malah gadis itu tetap ditempatkan yang teratas di dalam lubuk hatinya. Riezman mengangkat bingkai gambar tersebut. Direnungnya dengan penuh kasih, dipeluknya dengan penuh sayang, ditatap pula dengan penuh kerinduan.

Ketukan di pintu menyentak lamunannya. Segera dia meletakkan kembali bingkai gambar tersebut.
“Masuk!” Riezman membetulkan duduknya. Jemarinya sengaja disilangkan. Dia menunggu wajah pekerja yang ingin berjumpa dengannya. Masuk seorang lelaki berpakaian segak sedang tersenyum. Riezman menarik nafas lega. Hazmir mendekati Riezman, tanpa disuruh dia duduk berhadapan dengan majikannya yang juga merupakan rakan baiknya di syarikat ini.

“Muka kau pucat semacam, apa kau buat tadi?” Hazmir sudah tersengih-sengih memandang sahabatnya. Riezman mulai gelisah apabila ditebak begitu.

“Apa? Buat apa? Aku buat kerja akulah yang berlambak-lambak ni..”jawab Riezman yang cuba untuk bersahaja. Hazmir tersengih lagi. “Kau nak apa masuk bilik aku ni?”

“Bos, sekarang dah pukul satu tengahari, lunch hour.” Hazmir bersuara. Bersahaja. Dia menggelengkan kepala apabila Riezman melirik jam di pergelangan tangan lalu menepuk dahinya sendiri.

“Aku lupa betullah, Mir.” Ujar Riezman kesal dengan kelalaiannya.

“Kerja, kerja juga, tapi jangan sampai lupa makan, Riez. Kalau sakit siapa yang susah? Aku juga.. sebab aku jugalah yang kena menyelesaikan kerja-kerja kau..” Riezman melirik ke arah Hazmir yang bersahaja. Riezman mulai bangun dan menyarung kot ke tubuhnya.

“Makan kat mana ni?” Riezman mula menukar topik perbualan.

“Aku dah lama tak makan western food.” Jawab Hazmir perlahan sambil mengusap perutnya.

“Hotel Malaya, jom!” Riezman segera mengambil kunci keretanya dan keluar dari bilik tersebut. Hazmir segera pula menurut sahabatnya yang sudah jauh ke depan.

SAFIEYA memerhati model-model yang sedang rancak membuat latihan. Satu persatu langkah model-modelnya diperhatikan. Kemudian datang seorang lelaki separuh umur menghampirinya. Lelaki itu mencuit bahu Safieya sambil tersenyum. Safieya sedikit terkejut namun, dia kembali tersenyum.

“Tahniah, Fieya! Apa yang awak cuba yakinkan Syarikat Fizona, berhasil! Mereka mahu syarikat kita yang handle tender tu!” Encik Rahim menghulurkan tangan untuk bersalam. Safieya seakan tidak percaya. Lambat-lambat dia menyambut huluran Encik Rahim.

“Betul ke ni, Encik Rahim?” soal Safieya sambil merenung tepat ke anak mata Encik Rahim. Encik Rahim tersenyum sambil mengangguk.

“Fieya! Tahniah! Kita berjaya, Fieya!” sergah Zalina sambil menepuk bahu Safieya. Safieya merenung pula wajah Zalina. Zalina mengangguk tanda mengia dan meyakinkan Safieya bahawa tender dari Syarikat terkemuka itu berjaya mereka perolehi. Safieya menukar pandangnya kepada Encik Rahim yang masih setia tersenyum. Kemudian, barulah dia tersenyum lebar.

“Yes!!” Safieya segera memeluk Zalina.

“Kau memang cekap, Fieya!” puji Zalina.

“So, apa kata kita celebrate!” Encik Rahim mengemukakan cadangan. Safieya melirik jam di tangan.

“Encik Rahim dengan yang lain-lain pergilah, saya kena balik. Dah pukul enam petang ni, nanti suami saya balik, tak ada orang dekat rumah pula..” Safieya bertindak jujur. Zalina sudah mula muncung.

“Terlupa pula saya, iyalah.. orang dah ada suami..” Encik Rahim sempat bergurau. Safieya hanya tersenyum dan tertunduk malu.

“Betul ni, Fieya? Kau tak menyesal? Encik Rahim nak belanja kita!” Zalina masih cuba memujuk sahabat karibnya. Safieya ketawa kecil dan menggeleng.
Kesemua rakan-rakannya tidak dapat berbuat apa-apa dan hanya menjungkitkan bahu termasuk Encik Rahim.

SEPANJANG perjalanan, Safieya tidak tenteram. Gusar memikirkan kelewatannya sampai ke rumah. Tambahan pula kesesakan lalu lintas menghalangnya untuk cepat sampai. Wajah tenang Riezman terbayang di ruang mata. Dia pasti suaminya sudah sampai di rumah. Safieya sedar walaupun apa yang dilakukan terhadap Riezman hanya sekadar tanggungjawabnya sebagai seorang isteri, tetapi dia harus menghormati Riezman sebagai suaminya. Riezman memang tidak pernah mengungkit malah, sabar melayan kerenah Safieya yang dingin.

Bunyi hon kereta di belakangnya menyentak lamunan Safieya. Segera dia menekan pedal minyak supaya segera sampai ke rumah.

RIEZMAN memberhentikan kenderaan di perkarangan rumah. Senyap dan sunyi. Dia keluar dari perut kereta dan terus menuju ke daun pintu. Keadaan di dalam rumahnya gelap. Riezman tahu isterinya belum pulang. Dia terus menuju ke ruang tamu tanpa membuka lampu di ruang tamu tersebut. Hanya lampu ruang makan yang samar-samar bernyala.

Kawasan perumahan elit di tengah-tengah Kuala Lumpur ini dibeli sebagai tanda perkahwinannya kepada Safieya. Perkahwinan yang dia sendiri tidak pasti, apakah mampu bertahan atau kecundang di pertengahan jalan. Apa-apa pun, dia harus bijak mengawal keadaan ini. Walaupun kadang kala sikap Safieya mencabar keegoannya, tetapi dipujuk hatinya supaya bersabar sehingga Safieya menerima dirinya dengan seikhlas hati.

Deru enjin kereta di perkarangan rumah mengejutkan Riezman. Dia tahu isterinya sudah pulang. Riezman hanya mengintai Safieya yang sibuk mengeluarkan beg-beg kertas dari tirai jendela. Safieya segera pula menuju ke daun pintu.

Perlahan-lahan Safieya masuk ke dalam rumah. Dia hairan mengapa lampu di bahagian ruang tamu tidak dinyalakan sedangkan dia tahu Riezman sudah pulang.

“Fieya,” teguran lembut Riezman tetap membuatkan Safieya terkejut. Bayangan Riezman yang samar-samar itu ditatap.

“Kenapa abang tak buka lampu?” ujar Safieya sambil membuka suis lampu. Wajah Riezman ditatap lagi. Wajah itu tampak keletihan. Safieya mendekati suaminya, diraih tangan kanan Riezman lalu dikucup tanda hormat.

“Abang baru je sampai, letih sangat, sampai terlupa nak buka lampu.” Riezman cuba bergurau. Dia tersenyum. Safieya turut tersenyum.

“Fieya, naik dulu, ya. Nanti Fieya turun siapkan makanan, sorry, Fieya tak sempat masak hari ni, kita makan lauk kedai jelah ya.” Ujar Safieya cuba untuk beramah mesra agar dapat menutup kegugupan hatinya. Riezman hanya mengangguk lembut. Matanya menyorot langkah isterinya ke tingkat atas. Dia kemudiannya kembali duduk dan berpeluk tubuh di sofa. Cerita yang ditayangkan di televisyen langsung tidak menarik perhatiannya. Matanya dipejamkan. Perasaan bersalah masih menggunung dalam dadanya. Dia bersalah pada Safieya. Dia bersalah pada keluarga Safieya. Dia juga bersalah kepada sahabat karibnya, Fahris iaitu abang kepada Safieya.

“Abang,” Safieya memaut bahu Riezman yang terlena di sofa tersebut. Tahu-tahu sahaja isterinya menghulurkan tuala untuk mandi. Cawan yang berisi kopi diletakkan di atas meja. “Minum, bang.” Riezman hanya memerhati tingkah laku isterinya yang tampak janggal dan kurang mesra walaupun perkahwinan mereka sudah menjangkau setahun. Safieya ingin segera berlalu, tetapi Riezman terlebih dahulu meraih lengan isterinya untuk duduk di sebelahnya.

“Fieya minta maaf, Fieya tak sengaja balik lambat. Sebab tadi ada perbincangan untuk dapatkan tender.” Riezman tercengang-cengang mendengar alasan Safieya. Isterinya hanya tunduk tidak berani bertentang mata. Riezman sudah tersengih-sengih, dia meraih dagu runcing Safieya agar menghadap wajahnya. Hidung macung Safieya ditarik lembut.

“Abang tak kata apa-apa pun pasal Fieya balik lambat, abang cuma nak tanya hari ni Fieya buat apa kat studio?” Riezman merenung mesra wajah Safieya yang terkulat-kulat menahan rasa malu. “Abang faham kerja Fieya, kenapa mesti nak takut? Fieya buat apa hari ni?” Riezman meredupkan wajahnya.

“Hari ni, kami ada presentation dengan syarikat-syarikat lain. Syarikat Fizona pula memang nak cari pembekal. Masing-masing berebut nak dapatkan tender tu.” Safieya berhenti seketika sebelum menyambungnya lagi. Jari jemarinya memintal bucu bantal kecil yang terdapat di sofa tersebut. Riezman mengambil kesematan meratah setiap inci raut wajah isterinya. “Alhamdulillah Syarikat Fizona lebih yakin dengan kualiti kain serta kekemasan jahitan syarikat kami.” Ujar Safieya panjang lebar. Mata nakal Riezman asyik merenung seulas bibir mungil milik isterinya. Ingin sahaja dia mengucup bibir yang merekah itu, tetapi dipendamkan sahaja hasratnya.

“Kesian isteri abang, mesti penatkan?” Riezman membelai rambut lurus di bahagian atas dan ikal di bahagian bawahnya. Safieya hanya tersenyum. Hambar.
“Abang lapar? Fieya ke dapur dulu ya, bang. Nak siapkan lauk–pauk yang Fieya beli tadi. Cepat makan, cepat abang berehat.” Ujar Safieya seraya bangun dari dudukannya. Riezman hanya mengangguk perlahan.

Begitulah sikap Safieya sehari-hari. Dia pasti akan mengelak dari Riezman yang cuba bermesra dengannya. Cuba untuk membuang rasa janggal dalam diri mereka. Cuba untuk menyemai rasa sayang dalam hati isterinya. Ah! Kalaulah peristiwa hitam itu tidak berlaku, pasti kini perkahwinan antara mereka tidak akan berlaku, pasti juga dia menjadi lebih rapat dan mesra dengan Safieya, adik sahabat baiknya ini.

No comments: