Follower Tersayang

Tuesday, April 12, 2011

Cerpen ~ Kalau Aulia Tahu...

Klik Sini Utk Join

 Tajuk :           Kalau Aulia Tahu...


JAM loceng yang menjerit-jerit segera ditutup. Darius membuka mata dan melihat jam loceng di meja sisi katil bujangnya. Dia melompat bangun apabila jarum jam locengnya menunjuk ke pukul 8.00 pagi.
            “Matilah aku!” rungut Darius sambil mencapai tuala yang tersangkut dan terus menuju ke bilik air.
            Pintu bilik air yang hampir tercabut dari engselnya itu di tolak perlahan-lahan. Sudah acap kali Darius betulkan pintu bilik airnya tetapi hanya bertahan sekejap sahaja. Darius segera mandi kemudian bersiap-siap.
            Selesai bersiap, Darius terus keluar dari rumah dan terkejar-kejar ke perhentian bas. Dia pasti kali ini dia takkan terlepas. Sudah banyak kali Darius lewat ke tempat kerja. Semalam baru sahaja Darius diberi amaran sekiranya dia terlewat lagi, dia akan diberi notis berhenti kerja.
            Fikiran Darius ketika itu memang kusut. Sehinggakan sewaktu bas sampai di perhentian, dia tidak sedar dia telah menolak seorang gadis.
            “Aduh…” gadis itu mengerang kesakitan.
            Darius sempat menoleh tetapi dia terus masuk ke dalam perut bas. Perasaan bersalah menguasai dirinya tetapi waktu kelam-kabut begitu membuatkan Darius menjadi manusia yang mementingkan diri sendiri. Kerjaya dan masa depannya sebagai jurugambar sangat penting.
            Mata Darius hanya memandang gadis itu yang agak terkial-kial untuk bangun sewaktu bas tersebut bergerak perlahan-lahan. Dia cuma mampu berdoa semoga gadis itu tidak mengalami kecederaan.
‘Kenapalah dengan aku ni?’ bisik hatinya sendirian.
            Sampai di pejabat, semua mata tertumpu ke arahnya. Darius terus ke meja kerjanya dan terlihat satu nota kecil tertampal di skrin komputer riba. Dia mengambil dan membaca sepintas lalu. Nota kecil itu dikeronyok dan dicampak ke dalam tong sampah. Darius memandang Iman di meja sebelahnya.
            “Encik Aslam mengamuk tadi. Dia kata kau main-mainkan dia.”  ujar Iman tanpa dipinta.
            Darius hanya mengeluh berat. Dia bergerak menuju ke bilik Encik Aslam. Ketukan bertalu di pintu. Kemudian tombol pintu dipulas setelah kedengaran suara Encik Aslam menyuruhnya masuk.

DARIUS melangkah keluar dari tempat kerjanya. Hujan lebat membuatkan dia berlari-lari anak menuju ke perhentian bas. Habis basah lencun baju kerjanya. Dia berdiri berpeluk tubuh menunggu kedatangan bas.
            Darius termenung di situ. Entah apalah nasibnya. Sudahlah dibuang kerja, hujan pula seakan-akan mentertawakan nasibnya. Darius mengeluh lagi. Di dalam kota metropolitan begini, mencari pekerjaan itu bukanlah sesuatu yang mudah. Terlalu banyak pesaing. Mulai esok, Darius mesti membeli surat khabar untuk mencari kalau ada kerja-kerja kosong yang seiring dengan pengalamannya sebagai jurugambar.
            Semakin lama hujan semakin lebat. Darius masih setia menunggu bas di situ. Kemudian, kedengaran suara halus terbatuk betul-betul di belakangnya. Darius menoleh. Dia beralih sedikit untuk melihat wajah seorang gadis yang sedang duduk di situ. Gadis itu terus memandang ke hadapan tanpa menoleh sedikit pun ke arah Darius.
            Darius sudah tersenyum-senyum. Perlahan-lahan dia duduk di sebelah gadis ayu tersebut. Dia memerhati lagi gadis berambut panjang dan berbaju kurung biru itu. Wajahnya putih bersih.
            ‘Macam pernah aku lihat dia sebelum ni…’ bisik hati kecil Darius. Kemudian baru dia teringat, gadis inilah yang tanpa sengaja dia langgar sewaktu terkejar-kejar ke tempat kerja.
            Kepala gadis itu bergerak sedikit. Seperti mendengar dan mengesan sesuatu. Di dalam hujan lebat begitu dia tahu deria pendengarannya agak kurang kerana diganggu dengan bunyi hujan menimpa atap zink.
“Assalamualaikum.”  sapa Darius berani. Terpikat pula hatinya melihat gadis cantik itu.
            Gadis itu kelihatannya agak terperanjat. Dia beralih sedikit, menjauhi Darius. Di dalam kota besar ini dia tahu bukan semua orang boleh dipercayai.
            “Waalaikumussalam.” Balas gadis itu teragak-agak.
            Darius tersenyum apabila mendapat respon dari gadis yang belum diketahui namanya. Sesekali dia menggosok-gosok kedua-dua belah telapak tangan agar sejuk berkurangan.
            “Nak pergi mana ni?” soal Darius ramah. Cuba untuk berinteraksi dengan gadis itu.
            “Nak balik rumah. Ampang.” Balas si gadis perlahan.
            “Boleh saya tau nama saudari?” Darius semakin berani.
            Keadaan senyap seketika, yang kedengaran hanyalah bunyi titisan hujan yang semakin lebat sehingga mengaburkan pandangan.
            “Aulia...” ucap gadis itu.
            Darius tersenyum. Dapat juga dia tahu nama gadis di sebelahnya.
            Sedang masing-masing melayan perasaan, akhirnya bas tiba juga di perhentian. Darius sudah berdiri, bersedia untuk masuk ke dalam perut bas tersebut.
            “Awak tak nak balik? Ni bas nak ke Ampang ni.” tegur Darius.
            Aulia hanya tersenyum. Dia juga berdiri dan tongkat yang terlipat di tangannya dipanjangkan dan Aulia melangkah berhati-hati berpandukan tongkat berwarna putih itu.
            Darius yang melihat hanya terdiam tanpa kata. Dia hanya memerhati gadis itu berjalan mendapatkan anak tangga bas. Hatinya entah kenapa meruntun hiba. Segala peristiwa dia melanggar Aulia pagi tadi terlayar di minda.
            ‘Ya Allah! Berdosanya aku…’ rintih Darius di dalam hati.
            Setelah tersedar dari lamunannya dia segera mendapatkan Aulia dan membantu gadis itu naik ke dalam bas. Biarlah dia basah lencun asalkan Aulia selamat.
            “Terima kasih.” Ucap Aulia perlahan.
            Darius mengangguk dan tersenyum. Kemudian dia tersedar, bukannya Aulia nampak dia mengangguk. Dia segera menjawab ucapan Aulia.

HARI berganti hari, bulan berganti bulan, hubungan Darius dan Aulia bertambah rapat. Darius tak pernah kisah bila dia berkasihan dengan seorang gadis yang cacat penglihatannya. Malah, dia sangat sayangkan gadis itu.
            Darius membaling batu ke dalam tasik di hadapannya. Aulia hanya duduk membatu. Dia hanya tersenyum.
            “Awak tau tak Aulia, hidup saya betul-betul lengkap bila awak ada. Awak seolah-olah penyambung rezeki saya. Masa mula-mula saya jumpa awak, saya baru diberhentikan kerja. Lepas saya berkawan dengan awak, kerja yang cari saya. Awak betul-betul pembawa rezeki.” Ucap Darius sambil menoleh memandang sisi wajah Aulia.
            “Rezeki datang dari Allah. Bukan saya.” Jawab Aulia ringkas.
            “Betul. Awak adalah jalannya. Saya tak ada siapa-siapa di dunia ni selain awak.” Balas Darius. Nadanya berubah sedih.
            Aulia menoleh ke sisi. Dia dapat rasa kesedihan yang Darius tanggung apabila memikirkan dirinya yang sebatang kara di dunia ini. Ah! Darius lelaki. Dia pasti kuat untuk menempuh segalanya di dunia ini seorang diri. Itu Aulia pasti.
            “Aulia, saya cintakan awak seikhlas hati saya. Saya nak tanya awak sesuatu.” Ujar Darius sambil menggenggam kemas jemari Aulia.
            “Cakaplah, apa dia?” soal Aulia.
            “Boleh tak awak janji dengan saya, kalau mata awak pulih, awak akan terima cinta saya? Seikhlas hati?” soal Darius penuh mengharap.
            Kali ini hati Aulia tersentuh. Begitu dalamkah cinta Darius padanya sehingga menyuruhnya berjanji sampai begitu sekali? Air mata Aulia mengalir lesu.
            “Saya akan terima awak, Darius. Saya janji.” Jawab Aulia di dalam sendu.
            Darius betul-betul gembira. Selepas ini dia sudah tahu dan yakin apa yang patut dia lakukan.

PEMBEDAHAN akan dijalankan lebih kurang lima belas minit sahaja lagi. Ahli keluarga Aulia masih setia menemani Aulia di sisi.
            “Ibu, ibu nampak tak Darius? Dia datang tak?” soal Aulia.
            “Tak nampak pula, Aulia. Mungkin sekejap lagi dia datang.” Jawab Puan Haslinda jujur. Memang sedari tadi dia tak nampak pemuda bernama Darius.
            “Sekejap lagi Aulia dah nak masuk bilik pembedahan. Sampai hati Darius tak datang tengok Aulia. Aulia nak dia jadi orang pertama yang Aulia nak tengok bila mata Aulia dah pulih nanti. Dulu, dia juga yang beriya-iya suruh Aulia terima organ penderma ni, tapi dalam saat-saat macam ni, Darius tak datang pula.” bebel Aulia. Kesal dengan tindakan Darius.
            “Sabarlah Aulia. Mungkin Darius sibuk. Aulia sendiri taukan macam mana kerja Darius yang bukannya duduk tetap di pejabat untuk lakukan kerjanya?” soal Puan Haslinda.
            Aulia memaling wajahnya ke kiri. Dia hanya memandang kosong jururawat yang sedang sibuk melakukan kerja. Mungkin dia tak dapat menerima alasan yang diberikan oleh ibunya.
            Dia tak mahu Darius tertinggal saat-saat penting begini. Saat yang bermakna seperti ini.
            “Kalau dia datang, cakap yang Aulia marah dengan dia. Aulia tak nak tengok dia.” Aulia mula marah-marah. Dalam kemarahan yang membuak timbul rasa kecewa di hatinya.
            Ke mana Darius agaknya, ya?

SUDAH beberapa bulan Aulia pulang dari hospital. Tapi, dia sendiri tak berani mahu bertemu dengan Aulia. Hatinya meronta-ronta mahu melihat Aulia yang sudah sempurna kini.
            Dia masih berkira-kira mahu pergi walaupun dia sudah siap berpakaian. Mahu tak mahu dia tetap kena pergi berjumpa Aulia. Dia yang mahu Aulia sembuh. Dia yang mahu Aulia melihat warna-warni dunia ini. Dia juga yang memberi kata semangat dan perangsang untuk Aulia menjadi insan yang sempurna. Pasti Aulia kecewa dengan dirinya.
            Darius nekad. Dia akan ke rumah Aulia.

PINTU pagar utama dibuka. Ya. Kehidupan Aulia sebenarnya memang sudah cukup sempurna. Dia masih ada keluarga yang menyayanginya. Tidak seperti Darius. Orang tuanya pergi meninggalkan dunia fana ini dalam satu kemalangan jalan raya. Disebabkan itu, Darius tidak mahu lagi menaiki kereta. Dia tidak dapat menyahkan fikirannya dari momokan bahawa keretalah yang meragut nyawa ibu dan ayahnya.
Dada Darius bagai nak pecah. Samakah Aulia seperti dulu? Ah! Tak mungkin Aulia mahu berubah sekelip mata. Dia kenal Aulia. Langkah Darius perlahan-lahan menapak sehingga ke pintu rumah yang sedia terbuka.
Seorang gadis muncul di muka pintu. Senyuman yang menghiasi bibirnya sebentar tadi pudar serta-merta apabila melihat seorang lelaki yang tidak dikenali.
Tadi dia fikirkan Ashraff yang datang kerana mahu menjemputnya keluar petang itu. dia memandang lelaki itu dari atas ke bawah.
            “Awak siapa?” soal Aulia.
            Darius tersenyum girang. Dia betul-betul rindukan Aulia. Sudah lama dia tidak mendengar suara merdu gadis itu. Darius benar-benar teruja.
            “Aulia! Betulkan ni Aulia?!” soal Darius.
            “Tapi encik ni siapa?” soal Aulia lagi. Dia menjeling lelaki yang tersengih di hadapannya.
            “Saya Darius! Aulia, saya Darius! Awak ingat saya, kan?” soal Darius sambil menghampiri Aulia.
            Aulia berundur ke belakang. Tak sudi dirinya didekati. Fikirannya ligat berputar.
‘Darius? Ya… Aku kenal Darius! Tapi, aku tak sangka yang…’
            “Aulia?” panggilan Puan Haslinda membuatkan Aulia menoleh. Dia tidak berkata apa-apa sehinggalah Puan Haslinda mampir di muka pintu dan melihat seorang lelaki berdiri di situ.
            Puas Haslinda agak terkejut. Setelah berbulan-bulan baru kini Darius muncul. dia jadi  serba salah apabila melihat Darius. Wajah Darius dan Aulia dipandang silih berganti.
            “Ibu, orang ni kata dia Darius. Betul ke?” soal Aulia.
            Darius terpempan dengan kata-kata Aulia. Nadanya juga berubah sinis. Dia mula berkecil hati. Senyuman yang terukir tadi juga sudah hilang dari bibirnya.
            “Errr…” Puan Haslinda semakin rasa bersalah.
            “Hei, Ashraff!” Aulia menjerit dan melambai ceria ke arah Ashraff yang baru sampai untuk menjemputnya keluar. Aulia masuk ke dalam semula mengambil beg tangannya.
            Sebelum Aulia melangkah keluar mendapatkan Ashraff yang menunggunya di pintu pagar, dia memandang Darius yang setia menanti di situ. Dia berbisik sesuatu kepada ibunya kemudian Aulia melangkah pergi.
            “Jemputlah masuk, Darius.” Pelawa Puan Haslinda.
            “Tak apalah mak cik kalau Aulia sibuk. Betul ke tadi tu, Aulia?” soal Darius.
            “Betul…” Puas Haslinda menjawab perlahan.
            “Suruhlah dia jaga mata saya tu baik-baik seperti nyawanya sendiri.” Balas Darius perlahan.
            Hati Puan Haslinda sangat tersentuh tetapi dia tidak mampu berbuat apa-apa kerana Aulia sendiri berbisik mengatakan dia mahu Darius melupakan dirinya.
            Darius berpaling dan berjalan perlahan-lahan. Kini, dia yang berjalan berpandukan tongkat. Aulia tidak tepati janji. Aulia lupa siapa yang beri semangat kepadanya. Aulia juga lupa siapa yang sungguh ikhlas menerimanya suatu ketika dulu.
Air mata Darius mengalir perlahan. Dia pasrah apa yang akan jadi selepas ini. Kerana cinta yang sungguh dalam Darius sanggup korbankan salah satu derianya. Teksi yang masih setia menantinya dinaiki dan terus memecut pergi.
            Lemah segala anggota Puan Haslinda. Baru kini dia mengerti kenapa Darius menjadi buta. Oh… Kalaulah Aulia tahu…

7 comments:

Amanie Khairunnisa said...

alamak sedihnya cerita nie. kesian darius. T_T nice story anyway. saya faham perasaan darius tu =.='

Atie iskandar said...

sedihnya kak...
teruknya aulia 2... cpt btol dy berubah... sdgkn darius la yg ley wat dy nmpk alek... benci ngn aulia, ksian ngn darius... =(

Hanny Esandra said...

sedih sangat ke? hehehe..;p
thanks ekh..

CintaZulaikha said...

bestnyerrrrrrrrrrr..suka weh..

Hanny Esandra said...

ct, suke ke? tengkiyuu.. :-)

Tukang Kayu said...

Kreatif! Tak sangka Darius yang mendermakan matanya kepada Aulia.

aifa81 said...

Erm... tak suka, tak puas hati dgn Aulia