Follower Tersayang

Tuesday, December 6, 2011

Seindah Diari Cinta - Bab 1



1

SURAT tawaran masuk ke kolej yang tertera nama Aina Azzalea digenggam kemas. Dia segera berlari masuk ke dalam rumah. Tadi dia hanya baca sepintas lalu. Apa yang dia faham dia diterima oleh pihak Kolej Rimba Bestari untuk menjadi salah seorang warga kolej tersebut. Gembiranya hati tidak terkira.
            Azzalea segera masuk ke dalam bilik. Biar dia yang mensahihkannya terlebih dahulu sebelum berita gembira itu diberitahu kepada orang tuanya. Mata Azzalea bergerak-gerak meniti setiap baris ayat-ayat yang tertera di dada kertas berwarna krim itu.
            Dia seperti mahu berjoget-joget di situ apabila perkara yang menyebutkan ‘Tawaran Kemasukan Ke Kolej Rimba Bestari Sesi 2011’ terpampang di situ dengan dakwat hitam yang di ‘bold’ kan.
            “Yahoo!!!” jerit Azzalea.
            Dia segera memulas tombol pintu dan menuju ke dapur.

DI DAPUR, kelihatan Puan Habsah sedang leka menumbuk sambal untuk dibuat sambal belacan.
            “Mak!” jerit Azzalea lagi.
            “Opocot mak kau!” Puan Habsah betul-betul terkejut dengan teriakan Azzalea. Dia memandang tunak anak daranya yang menjerit sambil berlari-lari mendapatkannya. Mana dia tak terkejut kalau suara Azzalea itu lebih kuat dari suara lesung batu yang berlaga itu!
            “Apa kena kamu ni Lea!” marah Puan Habsah.
            “Mak! Cuba mak teka apa yang Lea dapat ni!” ujar Azzalea sambil melayang-layangkan surat tawaran kemasukan itu di depan mata ibunya.
            “Eh! Mak tak ada masa nak main teka-teki teka-tekuk dengan kamu! Banyak lagi kerja mak ni. Kejap lagi abah kau balik nak makan tengah hari.” Balas Puan Habsah. Dia mengangkat lesung batu yang di letak di atas simen dapur itu ke ruang singki.
            “Alah mak ni! Suruh teka pun tak nak.” Muncung Azzalea sudah panjang sedepa.
            Puan Habsah masih buat tak tahu. Azzalea pula masih setia memandang wajah ibunya dengan teruja sambil menunjukkan baris giginya. Selesai mengalihkan sambal ke dalam piring untuk dibuat sambal belacan, Puan Habsah beralih memandang wajah Azzalea. Anak bertuah aku ni, selagi tak dilayan kerenahnya. Selagi itulah menghadap muka aku 24 jam! Huh…
            “Ha! Yalah! Yalah! Surat tu kamu dapat dari pakwe kamu si Atan Kenyit tu!” usik Puan Habsah dengan wajah selamba.
            “Mak!” muncung Azzalea menjadi-jadi panjangnya apabila nama Atan Kenyit di kaitkan dengan dia. Apalah mak ni! Atan yang matanya terkenan asyik terkenyit-kenyit itu nak digosipkan dengan dia. Dia dengan Atan Kenyit tu hanya berkawan sahaja.
            Puan Habsah sudah ketawa halus. Lucu melihat wajah Azzalea yang sudah berkerut-kerut itu. Suka betul dia mengusik satu-satunya anak dara yang dia ada.
            “Habis tu, kamu dapat surat apa? Mak tak nak teka dah. Nanti kalau mak teka yang bukan-bukan kamu marah.” Bidas Puan Habsah sambil menggelengkan kepala.
            “Inilah mak! Surat ni ha…” Azzalea menunjukkan surat itu kepada Puan Habsah.
            Segera Puan Habsah mencapai dan membuka lipatan kertas tersebut. Terkumat-kamit mulutnya membaca isi kandungan surat itu. Kemudian bibirnya tersungging senyuman.
            “Eh! Anak mak dapat masuk kolej rupanya!” Puan Habsah memeluk Azzalea sehingga lemas gadis itu dibuatnya.
            “Seronoknya mak!” balas Azzalea keriangan. Di matanya kini terbayang suasana kolej yang meriah dan di kelilingi ramai kawan-kawan baru. Kemudian Azzalea jadi teringat kepada Maisera
            “Okey, mak. Nak pergi telefon Sera kejap.” Pantas Azzalea berlari menuju ke ruang tamu. Nombor telefon rumah Maisera didail dan dia menunggu talian disambungkan.
            “Helo.” Suara Nur Maisera menjawab panggilan.
            “Helo! Boleh saya cakap dengan Khadijah Maisera!!!” jerit Azzalea.
            “Hoi! Pekak telinga aku kalau kau selalu macam  ni!” getus Nur Maisera.
            Kedengaran suara Azzalea ketawa nyaring. Dia menunggu Azzalea habis ketawa dengan wajah bosan. Gagang telefon masih melekap di telinganya.
            “Sera! Aku ada berita best nak bagitau kau!” Mata Azzalea bersinar-sinar menunggu balasan daripada Maisera.
            “Ha! Apa dia?” soal Maisera separuh teruja.
            “Aku dah dapat surat tawaran masuk ke Kolej Rimba Bestari!” beritahu Azzalea.
            Mereka senyap untuk beberapa ketika. Kemudian…
            “Aaa!!!” Masing-masing menjerit mengalahkan pontianak merayau di waktu malam.
            “Kau biar betul, Lea?” soal Maisera semula. Dia cuba mengingat-ingat tarikh hari ini. Ternyata bukan hari ‘April Fool’ untuk Azzalea mengenakannya.
            “Betullah! Takkan aku nak main-main dengan berita best macam ni? Eh, kau tak dapat surat lagi ke?” soal Azzalea. Hairan juga dia Maisera masih belum menerima surat tawaran itu padahal rumahnya dengan rumah Maisera hujung dengan hujung sahaja.
            “Tak dapatlah…” suara Maisera berubah sedih.
            “Tak apa. Mungkin posmen belum sampai ke tempat kau, kut?” Azzalea cuba menyedapkan hati kawan baiknya itu. Mengikut perkiraannya posmen mesti sudah melewati rumah Maisera.
            “Eh, okeylah, Lea! Posmen baru sampai ni! Mesti aku pun dapat dah surat tu!” Terus sahaja gagang diletakkan.
            Azzalea juga meletakkan gagang telefon perlahan-lahan sambil tersenyum dan menggeleng kepala. Dia pasti Maisera juga menerima tawaran itu kerana setahunya antara dia dan Maisera, Maisera lebih sedikit daripadanya.

“LEA!” laung ayahnya, Encik Aziz. Kereta Gen-2 berwarna hitam itu sudah penuh dengan barang-barang anak daranya. Encik Aziz memandang tempat letak barang di bahagian belakang keretanya sambil menggeleng-geleng kepala. Penuh sehingga tak ada ruang udara pun.
            “Apa lagi anak awak tu Habsah? Nak disumbat kat mana lagi barang-barang dia tu? Ini pun dah kira lebih muatan tau.” Bebel Encik Aziz.
            “Manalah saya tau anak awak tu!” malas Puan Habsah mahu melayan leteran suaminya.
            “Mana kasut sukan Lea, mak?” soal Azzalea sambil terbongkok-bongkok mencari kasut sukannya di dalam almari kasut.
            “Eh! Kamu yang pakai! Tanya mak pulak. Bukannya mak yang berjogging!” bidas Puan Habsah selamba.
            “Sebab itulah mak kau dah tak slim macam dulu.” Encik Aziz menokok tambah sambil mengerling isteri kesayangannya.
            “Alah! Bapak kau tu dulu ada enam ketul kat badan dia! Angkat berat hari-hari! Sekarang ni tinggal seketul aje! Itupun tiap-tiap tahun maju ke depan!” Giliran Puan Habsah pula menyindir Encik Aziz.
            “Ish! Sudah-sudahlah tu mak, ayah. Dah jumpa pun kasut Lea ni. Jomlah gerak. Nanti lambat pula sampai sana. Si Sera dah bertolak dah.” Sampuk Azzalea sambil terus menonong masuk ke dalam kereta.

MEREKA bergandingan menuju ke dewan yang menempatkan taklimat dan juga pendaftaran. Baik Azzalea mahupun Maisera masih tercangak-cangak memerhatikan seluruh kawasan Kolej Rimba Bestari. Memang betullah apa yang dicanangkan sebelum ini. Kolej Rimba Bestari memang ada keunikan tersendiri. Bukan seperti kata pepatah ‘Indah Khabar dari Rupa.’
            Kolej Rimba Bestari memang punya konsep tersendiri. Konsep dalam taman diterapkan memang menjadi sebutan. Sesuai dengan namanya Kolej Rimba Bestari. Azzalea dan Maisera jadi bangga apabila diterima menjadi warga kolej tersebut.
            “Betul ke kat sini, Lea?” soal Maisera kurang percaya.
            “Habis tu kau ingat kat mana lagi? Kau tak nampak punya ramai manusia kat sini?” soal Azzalea kembali. Naik lemas pula dia dengan soalan-soalan Maisera yang sudah terang-terang jawapan di depan mata.
            “Jomlah masuk. Selesaikan pendaftaran dulu. Kesian kat mak ayah kita nak kena tunggu lama kat Kafe Tanjung pulak.” Balas Maisera sambil menarik pergelangan tangan Azzalea untuk masuk ke dalam dewan.
            “Adoi!!” jerit seorang pelajar lelaki. Dia menyeringai sambil melihat kakinya yang dipijak oleh Azzalea.
            Azzalea panik seketika. Sikap Maisera yang terburu-buru menariknya menyebabkan Azzalea terdorong ke depan dan sampai di muka pintu dewan dia memang betul-betul tak perasaan ada seorang lelaki berdiri di situ.
            Sorry, bang!” ucap Azzalea kalut.
            “Apa abang-abang?” jerkah lelaki itu.
            Terkebil-kebil biji mata Azzalea dan Maisera melihat wajah bengis lelaki yang masih tidak diketahui statusnya. Sama ada dia pelajar baru seperti mereka juga ataupun pelajar senior. Kalau pelajar senior, mampus aku! Bisik Azzalea di dalam hati.
            “Apa yang terkebil-kebil macam tapir tu?! Pergi daftar cepat! Sekejap lagi ada taklimat!” jerit lelaki itu lagi.
            Hampir-hampir sahaja Azzalea menutup telinganya kerana tak tahan bingit dengan suara lelaki itu.
            “Boleh saya tau abang ni siapa?” soal Maisera dengan berani.
            Lipat maut tengkuk Azzalea memandang Maisera di sebelahnya. Biar betul Sera ni?! Sejak bila dia berani dengan ‘spesis liar’ macam ni, ya?
            “Oh… Tanya siapa saya ya? Kejap lagi awak berdua tau siapa saya!” jawab lelaki itu kemudian dia keluar dari dewan.
            Azzalea dan Maisera saling berpandangan. Masing-masing tahu apa yang berlegar di fikiran masing-masing.
            “Kau rasa siapa?” soal Azzalea perlahan.
            “Aku rasa dia tu mesti mamat sewel yang terlepas dari wad sakit jiwa.” Jawab Maisera disertai dengan ketawanya yang galak.
            “Ish! Kau ni! Kalau dengar dek mamat tu, mati kita tau! Diamlah! Kau ni bisinglah.” Marah Azzalea apabila Maisera susah betul mahu berhenti dari ketawanya.
            Maisera menekan-nekan perutnya. Kemudian memegang kedua-dua belah pipinya kerana penat ketawa tak henti-henti.
            “Aku rasa dia tu mesti senior kat kolej ni. Kalau tak, takkan dia berani jerit-jerit macam tu! Macamlah aku ni pekak! Aku kat sebelah dia aje, kan?” soal Azzalea tidak puas hati.
            Maisera sudah menutup mulut menahan ketawa. Kalau dia ketawa lepas nanti pasti tangan Azzalea akan singgah lagi di lengannya. Mereka beratur dan menunggu giliran untuk melaporkan diri dan mengambil beberapa barang yang diberi.
            Selesai urusan mereka dengan kaunter pendaftaran, Azzalea dan Maisera memakai tag nama yang menunjukkan mereka pelajar baru di kolej tersebut. Kemudian mereka terus menuju ke Kafe Tanjung.
            “Dah selesai semua?” soal Encik Aziz yang duduk semeja dengan orang tua Maisera.
            “Dah. Tapi kejap lagi ada taklimat pulak. Kesian mak dengan abah kena tunggulah.” Ujar Azzalea dan dipersetujui oleh Maisera.
            “Tak apa. Sini ada surau, kan? Sekejap lagi masuk waktu zuhur abah dengan mak ke suraulah. Kita orang rehat-rehatlah kat sana kejap dengan Mak Cik Ainon dengan Pak Cik Shuib kau ni.” balas Encik Aziz.
            Kelihatan Azzalea dan Maisera mengangguk tanda faham. Mereka juga hanya ada satu jam untuk mengisi perut di Kafe Tanjung ini sebelum dipanggil masuk ke dalam dewan.
            Tepat pukul 1.00 petang Azzalea dan Maisera kembali masuk ke dalam dewan dan duduk di bahagian tengah. Mereka hanya memerhati pelajar-pelajar baru di sekeliling mereka. Bermacam-macam rupa dan gaya.
            Keadaan mula sesak di dalam dewan. Penuh dengan pelajar-pelajar baru. Di bahagian depan beberapa orang yang menghadap mereka mungkin     pelajar senior yang akan memberi taklimat kepada mereka.
            “Assalamualaikum!” kedengaran satu suara perempuan memberi salam.
            Kesemua pelajar di dewan tersebut mula senyap dan memberikan perhatian terhadap pelajar perempuan tersebut.
            “Hai, selamat datang dan selamat menjadi warga Kolej Rimba Bestari. Saya Tengku Badariah selaku naib pengerusi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Kau orang semua boleh panggil saya Dariah. Di sini kita ada beberapa taklimat mengenai bilik hostel dan pengenalan mengenai Kolej Rimba Bestari.” Tengku Badariah mula memberi penerangan. Satu per satu wajah pelajar-pelajar baru direnungnya. Dia harus bersikap tegas dan nampak garang walaupun sikapnya bukan begitu.
            Setelah memberi serba-sedikit penerangan dan diberikan kunci bilik, seorang lelaki masuk dan terus mendekati Tengku Badariah.
            “Okey semua, saya nak kenalkan kita punya pengerusi MPP yang akan bersama kita. Kau orang semua wajib kenal dia sebab kalau ada apa-apa urusan atau masalah kau orang akan berhubung dengan dia terlebih dahulu. Kenalkan, Shafwan Zakuan. Shafwan ni merupakan pelajar tahun tiga jurusan kejuruteraan mekanikal.” Terang Tengku Badariah dengan panjang lebar.
            Mic bertukar tangan. Shafwan mula berdeham-deham. Tak pasti sama ada mahu menguji kelantangan vokal atau bunyi mic itu. Dari arah atas, dua wajah sudah mula cuak. Terutama sekali Azzalea. Dia tahu dan perasan mata helang Shafwan sentiasa hinggap ke arahnya. Mesti mamat ni nak kenakan aku!
            “Saya harap semua selesa di sini. Ini baru hari pertama. Kita akan tempuh enam hari bersama. Itu kita panggil orientasi. Semua pun mesti tau, kan.” Ucap Shafwan sambil tersenyum dalam ketegasan. Dia memerhati seluruh ceruk dewan. Semuanya diam mendengar taklimat yang dia berikan.
            Selesai memberi taklimat yang dirasakan perlu untuk pelajar baru, tiba-tiba Shafwan terpandang ke arah mereka berdua. Kali ini lama. Dia diam sahaja sambil merenung Azzalea terutamanya.
            “Lea, dia tengok kaulah!” bisik Maisera sambil menyiku lengan Azzalea.
            Azzalea hanya tunduk menikus. Dia tahu pasti dia akan kena. Suara Shafwan berdeham buat perut Azzalea makin kecut.
            “Saudari yang berbaju putih tu! Yang ikat rambut macam ekor kuda tu!” suara Shafwan bergema.
            Azzalea segera memanggung kepala. Dia melihat bajunya sendiri. Dia meraba rambut panjang yang diikatnya.
            “Iya! Awaklah… Siapa lagi yang ikat rambut macam tu.” sinis sungguh suara Shafwan.
            Perlahan-lahan Azzalea bangun. Dia menanti kata-kata Shafwan seterusnya.
            “Ke sini.” Arah Shafwan lagi.
            Perlahan-lahan Azzalea turun dengan wajah sedih. Huh! Baru hari pertama dah kena dah! Belum masuk sehari pun. Baru aje beberapa jam. Mak! Nak balik… Sementara berperang dengan kata hatinya sendiri, tahu-tahu sahaja Azzalea sudah sampai betul-betul di hadapan Shafwan.
            Wajah lelaki itu masam mencuka. Azzalea masih tunduk menunggu arahan seterusnya. Dia dapat rasakan semua mata tertumpu ke arahnya seorang.
            “Saya nak awak basuh kasut saya yang awak pijak ni! Esok petang saya nak kasut ni kering!” arah Shafwan.
            Terkebil-kebil Azzalea mendengar arahan lelaki itu. Selamba sahaja wajahnya apabila mengarahkan Azzalea membasuh kasut berjenama Vanz yang berwarna putih itu. Azzalea memandang kasut Shafwan pula. Memanglah kasutnya kotor apabila kakinya tak sengaja terpijak kaki lelaki itu tadi, tapi takkanlah sampai dia kena basuh kasut ni pulak!
            “Petang nanti saya nak awak jumpa saya di bilik MPP.” Kata-kata Shafwan membuatkan Azzalea kembali ke dunia nyata. Dia mengangguk perlahan. Ikutkan sajalah! Nama pun senior!
            Kedengaran suara pelajar mula berbisik-bisik. Tidak lagi senyap sunyi seperti tadi. Mesti dia orang semua mengumpatkan aku! Huh!
            “Dah! Tunggu apa lagi. Baliklah ke tempat awak.” Sergah Shafwan lagi.
            Segera Azzalea berpusing dan menuju ke tempatnya. Maisera hanya mampu memandangnya dengan perasaan simpati. Sedikit sebanyak dia juga patut turut dipersalahkan. Dia yang menarik lengan Azzalea. Tapi Azzalea sedikit pun tak mengaitkan namanya.
            Selesai segala urusan dan meletakkan barang di dalam bilik, Azzalea dan Maisera melambai orang tua masing-masing yang bergerak menuju pulang ke rumah.


7 comments:

CintaZulaikha said...

novel nih ke yg ko nak antor tuh???

Secret Garden said...

thanks kerana berkongsi cerita ni. BEST!

Secret Garden said...

thanks kerana berkongsi cerita ni. BEST!

Hanny Esandra said...

ct,
yup..

secret garden,
hehehe..thnks keh.. trus baca tau..:)

Secret Garden said...

akak, follow lah balik ye! akak ni dah boleh jadi penulis! ke dah jadi dah?

Secret Garden said...

yg paling best! Azzalea tu nama adik saya...

Hanny Esandra said...

oh yeke..
hehhee.. kemsalam kat adik..