Follower Tersayang

Thursday, December 8, 2011

Seindah Diari Cinta - Bab 2

2

DENGAN berbekalkan peta daripada kertas yang didapati sewaktu pendaftaran pagi tadi, Azzalea dan Maisera berjalan sambil memerhati papan tanda yang menunjukkan arah di mana bilik MPP berada.

            Jantungnya mula berdegup kencang apabila mereka hampir sampai di bilik tersebut. Dari luar lagi mereka berdua dengar suara-suara yang sedang bergelak ketawa.

            Azzalea dan Maisera saling berpandangan. Dia menarik nafas dalam-dalam sebelum mengetuk pintu bilik tersebut. Ketukan pun mula bertalu di daun pintu. Mereka berdua menunggu siapa-siapa untuk membukakan pintu.

            “Masuk!” arah seseorang dari dalam.

            Perlahan-lahan Azzalea memulas tombol pintu dan menolak supaya pintu terbuka luas. Semua mata tertumpu ke arah mereka berdua. Darah mula menyerbu ke wajah. Baik Azzalea mahupun Maisera hanya tunduk menunggu di luar.

            “Apa yang awak berdua tercegat kat luar? Masuklah.” Arah Tengku Badariah lembut.

            Perlahan-lahan mereka menapak masuk. Azzalea memberanikan diri menentang pandangan mereka yang terdiri daripada tiga orang itu. Masing-masing diam sahaja tanpa suara.

            “Awak ni yang tadi Shafwan panggil, ya?” soal Tengku Badariah membuka bicara. Dia tersenyum melihat wajah Azzalea yang agak ketakutan. Heh! Siapa yang tak takut dengan wajah singa Shafwan Zakuan? Agaknya sebab itulah sampai sekarang masih tak ada yang nakkan dia.

            “Ya, Kak Dariah. Saya dah kotorkan kasut dia.” balas Azzalea perlahan.

            “Saya jugak bersalah Kak Dariah. Saya yang tarik Lea masuk waktu tu.” sampuk Maisera antara berani-berani takut.

            Kedengaran kedua-dua lelaki yang hanya diam sahaja dari tadi mula ketawa perlahan. Tengku Badariah juga hanya tersenyum kecil. Memang teruk betul penangan si Shafwan sampai budak berdua ini takut sungguh nampaknya.

            “Jangan takutlah. Shafwan tu takkan apa-apakan awak berdua. Janji awak berdua ikut aje apa dia kata, ya?” Tengku Badariah menenangkan hati mereka berdua.

            “Macam manalah awak berdua baru hari pertama dah buat hal dengan si Shafwan tu?” soal salah seorang lelaki yang duduk sekali di situ.

            “Saya… Saya… tak sengaja.” Balas Azzalea gagap. Dia menunduk seketika.

            “Ha! Dah sampai pun!” terangkat bahu mereka berdua apabila tiba-tiba sahaja ada suara menyergah dari arah belakang. Kebetulan kedudukan mereka membelakangkan pintu bilik tersebut.

            Shafwan yang baru masuk ke bilik menghampiri meja yang terdapat di situ dan mencampakkan sahaja fail di atas meja tersebut. Kawan-kawannya yang lain hanya diam. Sudah masak benar dengan perangainya.

            Shafwan duduk sambil merenung tepat ke wajah Azzalea. Maisera di sebelah pun dia tidak pandang. Hanya Azzalea. Wajah suci gadis itu direnung seperti mahu menembusi dinding.

            “Awak tau apa kena buatkan?” soal Shafwan. Kakinya sengaja disilangkan dan diletakkan di atas meja mesyuarat yang terletak di tengah-tengah bilik itu.

            “Tau, bang. Kena basuh kasut tu.” ucap Azzalea perlahan sambil menunjukkan kedua-dua belah kasut Shafwan yang masih tersarung di kakinya.

            “Encik Shafwan! Panggil saya Encik Shafwan!” jerkah Shafwan.

            Sekali lagi bahu kedua-dua gadis yang menikus itu terhenjut kerana terkejutkan suara Shafwan yang macam halilintar.

            “Ya… Encik Shafwan. Ya, saya… saya nak basuhkanlah ni.” Azzalea segera merapati meja mesyuarat tersebut dan mahu membuka kasut Shafwan.

            “Tak payah! Biar saya bukak sendiri.” Segera pula Shafwan menurunkan kakinya. Kasut yang jenis bertali itu mula dibuka. Stokingnya juga dibuka. “Basuh stoking saya sekali. Jangan risau tak ada bau kaki punya!” sempat lagi Shafwan berseloroh.

            Maisera mencerlung memandang Shafwan. Mujur sahaja Shafwan tidak perasan. Melampau! Macam ini ke sikap yang harus ditunjukkan oleh senior? Sempat Maisera menjeling paras Shafwan yang masih tersenyum sinis.

            Azzalea mengambil kasut yang terletak di tepi kerusi yang diduduki oleh lelaki itu.

            “Lain kali kalau jalan tu pandang-pandang sikit. Jangan main terjah aje.” Ujar Shafwan lagi.

            Azzalea mengangguk perlahan.

            Tengku Badariah dan yang lain-lain sebenarnya tidak sampai hati untuk melihat Azzalea dihukum begitu tetapi mereka tidak berani mahu menentang kata-kata Shafwan selaku Pengerusi MPP. Pasti Azzalea dan Maisera malu bila mereka juga turut menyaksikan kejadian sekarang ini.

            “Ada apa-apa lagi Encik Shafwan?” soal Azzalea. Dia sebenarnya memang geram dengan sikap yang ditunjukkan oleh Shafwan. Kenapalah dia diundi untuk menjadi Pengerusi MPP.

            “Tak ada! Kalau ada pun sewaktu sesi orientasi yang bermula esok. Ingat ya, petang esok saya nak kasut saya kering.” Beritahu Shafwan sebelum kedua-dua gadis itu beredar.

            Tutup sahaja pintu bilik tersebut, Azzalea mendengus kuat. Laju dia berjalan meninggalkan kawasan itu. Maisera berlari-lari anak mengejar hayunan langkah Azzalea yang agak laju itu.

            “Lea! Tunggulah! Lajunya kau jalan.” Termengah-mengah Maisera mengejar Azzalea.

            “Aku geram sangatlah, Sera! Teruk betul senior-senior kat sini!” Azzalea menggawang-gawangkan kedua-dua belah tangannya.

            Nasib baik Maisera pantas mengelak daripada terkena hayunan kasut yang berada di tangan kawannya.

            “Sabar, sabar. Nanti tapak kasut ni melayang pulak kat kepala aku.” tegur Maisera sambil tersengih.

            Azzalea melihat sepasang kasut Vanz berwarna putih di tangannya. Ikutkan hatinya mahu sahaja dia mencampak kasut itu ke arah lumpur. Alang-alang dah kotor, biar kotor terus!

            “Lea… janganlah macam ni. Kita baru sehari sampai kat sini. Tempat ni yang buat kita semangat untuk apply sama-sama dulu. Lea, aku tolong kau basuh kasut tu, ya! Aku rendamkan dalam Clorox yang aku bawak tadi!” Maisera berusaha memujuk Azzalea yang tengah berapi itu.

            Akhirnya Azzalea ketawa juga. Dia merenung lembut ke arah kawannya yang tinggi lampai itu. Kemudian dia menggelengkan kepala.

            “Tak payahlah Sera. Aku yang pijak kaki dia, akulah yang basuh.” Azzalea tersenyum manis.

            “Aku pun salah jugak. Tarik kau sesuka hati. Aku mana nampak dia kat situ.” Lirih sahaja suara Maisera di pendengaran Azzalea.

            “Itu namanya dah nak kena. Tak apalah, Sera. Kita kenalah ikut cakap mamat tukan! Kalau tak nanti lagi teruk hukuman yang dia bagi.” Azzalea memegang lembut bahu Maisera.



KUAT betul Azzalea menyental kasut Shafwan di dalam bilik air. Rasa geram di hatinya masih belum hilang. Dia memberus lagi kasut itu sambil membayangkan yang itu adalah pipi Shafwan.

            “Eii!! Geram aku ni! Geram! Ambik kau! Ambik ni!” Sekuat hati Azzalea menyental kasut milik Shafwan.

            “Sakitlah, woi!” satu suara bergema.

            Terpelanting kasut yang ada di tangan Azzalea. Elok-elok dia bertinggung terus sahaja dia berdiri sambil matanya melilau di segenap ruang bilik air. Seram sejuk pula rasanya apabila dia terdengar-dengar satu suara memarahinya.

            Azzalea kembali memerhati ke mana perginya kasut yang tercampak itu. Dia membelek-belek kasut tersebut.

            “Kau ke yang bercakap?” bisik Azzalea sambil terus membelek kasut yang dipenuhi dengan buih sabun.

            “Apa kau belek tu?” sekali lagi kasut itu terpelanting. Suara Maisera pula yang membuatkan jantung Azzalea hampir gugur.

            “Kau ni buat terkejut aku aje!” marah Azzalea.

            Maisera hanya ketawa. Dia juga terkejut melihat kasut Shafwan terpelanting jauh.

            “Aku nak tolong kaulah! Mana lagi sebelah?” soal Maisera sambil mencari-cari kemudian dia juga bertinggung dan terus memberus kasut Shafwan.

            “Weh, Sera. Kasut mamat tu sebelah aje yang kotorkan! Aku tak puas hati betullah bila aku kena basuh kedua-dua belah kasut dia pulak!” Azzalea menjeling tajam kasut yang berada di tangan Maisera.

            Maisera hanya ketawa dengan kata-kata Azzalea. Dia hanya memerhati Azzalea melangkah malas mengambil sebelah kiri kasut itu yang terperosok di sudut bilik air yang terdapat di hujung koridor hostel mereka.

            “Buat tak tau ajelah lepas ni Lea. Asalkan kau dah buat apa yang dia suruh. Kak Dariah pun dah cakapkan supaya kita ikut cakap dia. Takkan dia nak kacau kita kalau kita tak buah halkan?” cadang Maisera sambil tersenyum manis.

            “Betul jugak. Haih… cepatlah orientasi ni habis.” Keluh Azzalea.

            Selesai memberus dan menyental kotoran yang melekat di kasut milik Shafwan, Azzalea menyepit kasut tersebut di ampaian yang terletak di ruang tengah hostel perempuan itu.

            “Moga-moga cepatlah kau kering! Menyampah aku! Huh!” Azzalea menampar kasut itu sebelum dia masuk ke biliknya semula.

No comments: