Follower Tersayang

Friday, May 27, 2011

Tahu Rasa Cinta (1)


ORANG kata cinta itu datang secara perlahan-lahan. Datangnya secara tiba-tiba. Tidak kira siapa. Boleh jadi datang dalam waktu terdekat, kalau tidak pun bila umur dah masuk paras senja. Pendek kata, memang datangnya secara tidak terduga.
            Bila datangnya cinta, segala apa yang dilakukan pun semuanya tidak kena. Buat itu tak kena, buat ini tak kena. Lebih-lebih lagi kalau seseorang itu cintanya adalah syok sendiri. Lagilah parah. Hanya dia sahaja yang tersenyum-senyum sampai nak tersimpul berangankan pasangannya. Bila tahu orang yang diidamkan itu sudah bertemu dengan cinta sejatinya, apa lagi, menangis tak berlagulah nampaknya.
            Inilah cerita yang mengisahkan rentetan perjalanan cinta seorang lelaki yang bernama Anuar. Dia begitu mencintai gadis bernama Erzalina. Lahirnya seorang gadis bernama Erzalina memang di dalam pakej. Erzalina sangat cantik. Sudahlah cantik, lemah lembut dan sopan pula. Ditambah pula wajahnya yang bagaikan ada tarikan untuk lelaki memandangnya buat kali kedua. Mungkin itulah yang dikatakan ‘nur’ yang terbit di wajahnya. Erzalina sangat menjaga aurat dan batas pergaulan. Dia hanya mengenakan baju kurung kain kapas atau pun baju muslimah yang sedang hangat di pasaran serta tudung yang elok dipin di hadapan menutup dadanya. Di dalam almari kolejnya hanya ada baju-baju sebegitu. Tidak ada seluar jeans gaya masa kini, tidak ada baju kembang atau jerut sana-sini, atau pun baju yang berlubang kiri dan kanan.
            Jalannya juga teratur. Sentiasa murah dengan senyuman kalau berjumpa dengan kawan-kawannya, tetapi kalau berselisih dengan orang yang tidak dikenali, Erzalina lebih selesa menunduk bila berjalan. Gelak tawanya juga sangat sopan. Sentiasa menutup mulutnya apabila ketawa.
            Anuar memang selalu menjadi pengintip tak bergaji. Ke mana sahaja Erzalina pergi, apa sahaja Erzalina buat, apa aktiviti Erzalina juga diambil tahu. Dia terlalu ingin memiliki Erzalina sampai dia tidak sedar dirinya yang selekeh itu. Dia mahu mengambil hati Erzalina tetapi tidak kena gayanya. Solat lima waktunya juga selalu rongak. Mengaji juga ikut mood. Selalu melepak dengan gitar tuanya dan menyanyi kuat-kuat. Tetapi dia punya azam. Azam mahu memiliki Erzalina.
            “Kau orang tau apa azam aku untuk tahun baru ni?” soal Anuar sewaktu mereka yang terdiri daripada tiga orang duduk melepak menyiapkan tugasan sambil bermain gitar.
            “Potong semua rambut yang ada kat badan kaulah! Apa lagi?”
            “Hisy! Inilah aset aku! Aku nampak tampan lagi bergaya tau dengan rambut macam ni.” Anuar menjeling Syed Bakri yang sudah ketawa.
            “Aset apa! Dah macam Orang Utan aku tengok! Tolonglah buang janggut dengan misai kau yang tak teratur tu.” bebel Fadli.
            “Itu semua tak penting. Apa yang penting azam baru aku mesti tercapai.” Anuar mengurut-urut misainya.
            “Apa azam kau?” soal Syed Bakri dan Fadli serentak.
            “Aku nak kahwin dengan Erzalina.”
            Bila kawan-kawannya dengar azamnya itu, mereka gelak sambil menekan perut. Ada sampai yang berguling-guling.
            “Hoi! Kau ingat aku main-main ke? Aku betul-betullah! Aku nak kahwin dengan Erzalina.” Pekik Anuar. Kembang-kempis hidungnya menahan marah.
            “Hei, Nua! Cubalah kau sedar diri kau tu! Kalau dengan keadaan kau macam penagih ni, kau ingat Erzalina tu nak ke kat kau? Sebelah mata pun dia tak pandang tau!” selamba sahaja Syed Bakri mengutuk kawannya itu.
            “Penagih kau cakapkan aku? Apa? Tak cukup handsome ke aku ni?” soal Anuar yang masih lagi tak sedar-sedar diri. Dia mula berdiri. Meletakkan satu kaki di atas kerusi dan bergaya seperti model sambil memegang dagu runcingnya.
Kelebihan Anuar memang terletak pada dagu runcingnya. Tidak payah disuntik dengan botox. Memang benar kata-kata Syed Bakri dan Fadli, Anuar ini kalau pembersih dan buang semua bulu-bulu di wajahnya memanglah dia tampan. Tapi, Anuar tetap Anuar. Tidak pernah sedar semua itu. Penampilannya membuatkan pelajar lain memandang serong kepadanya.
            “Kau sedar tak kawan-kawan kita semua dah gelarkan kau Orang Utan! Selekeh!” Fadli memang seorang yang cakap lepas.
            Anuar mengerling Fadli sekilas. Orang Utan? Melampaulah tu! Kalau aku seperti orang di hutan itu sekali pun, pelajaran aku sentiasa cemerlang. Eleh! Mereka semua cemburu dengan akulah tu! Anuar mencemik. Dia berjalan dan berdiri di depan cermin. Tak kacak lagi ke aku?
            “Sudah-sudahlah berangan tu Nua oi! Assignment kita ni nak submit esok. Group kita pulak ada presentation. Jangan kau buat-buat lupa.” Syed Bakri menggeleng-geleng kepala.
            Anuar kembali menyertai kawan-kawannya. Membuka buku dan mula menelaah pelajaran. Tanpa Syed Bakri dan Fadli sedari, Anuar mempunyai satu penanda buku buatannya sendiri. Dia melukis gambar Erzalina kemudian dia hantar ke kedai untuk laminate supaya keras. Itulah penanda buku yang sangat dia sayangi. Anuar tersenyum.

“ANUAR!” jeritan yang mampu menggegarkan seluruh kolej itu pun belum tentu dapat mengganggu tidur Anuar yang sangat nyenyak. Jeritan itu bagaikan irama yang mendodoikannya dan membuatkan dia semakin syok menarik selimut membaluti tubuhnya.
            Fadli bercekak pinggang sambil menggeleng-geleng kepala. Astaghfirullah… Apalah nak jadi dengan budak Anuar ni! Nak suruh sembahyang subuh pun liat ada hati nak pergi mengurat anak Ustaz Haji Zamidi.
            “Kau tercegat kat situ pun tak gunalah, Li. Baik kau pergi bilik air, ambil segayung air simbahkan aje kat muka dia tu!” Syed Bakri yang sudah lengkap berkopiah hanya menggeleng kepala dengan sikap Anuar.
            “Isy! Tak boleh jadi macam ni.” Rungut Fadli. Dia menurut saranan Syed Bakri. Dengan pantas dia menuju ke bilik air.
Syed Bakri hanya ketawa bila melihat wajah Fadli yang putih bersih itu kemerah-merahan menahan geram yang amat sangat. Fadli keluar dari bilik air dengan segayung air sejuk di tangan.
Dengan sepenuh hati dia menyimbah segayung air itu ke wajah Anuar yang masih berdengkur. Melompat Anuar bangun sambil menggawang-gawangkan tangannya.
            “Tolong! Tolong! Tsunami! Ya Allah, ampunkan hamba-Mu ini ya Allah!” bersungguh-sungguh Anuar memohon keampunan. Syed Bakri yang mendengar hanya tergelak-gelak.
            “Hoi! Banyak kau punya tsunami! Aku yang simbah air kat kau!” Fadli menyedarkan Anuar yang bertinggung di atas katilnya.
            Anuar kembali ke alam nyata. Matanya mencerlung memandang wajah Fadli yang begitu berani menyimbahnya. Habis lencun katil aku! Nampaknya kena jemur tilam lagilah! Mesti aku kena bahan dengan budak-budak lain. Mesti dia orang ingat aku ni selalu kencing malam! Tak guna punya Fadli.
            “Kenapa kau siram aku! Sejuk tau tak?” Anuar menjegilkan biji matanya.
            “Ini untung aku siram kau dengan air sejuk. Kalau aku siram kau dengan air panas, kau nak?” ugut Fadli. Cepat-cepat Anuar menggeleng. “Ha! Tau pun takut! Esok kalau aku kejut sembahyang subuh kau liat lagi, aku tak teragak-agak nak siram kau dengan air panas! Biar melecur satu badan! Biar kau tak dapat pikat Erzalina. Aku dengar cerita, Erzalina syok kat Syed Bakri ni. Macam Syed Bakri inilah baru calon yang bagus. Hari-hari jadi imam! Bukan macam kau!” bebel Fadli.
            Syed Bakri tercengang-cengang. Sejak bila pula Erzalina syok kat aku? Nak dengar suara Erzalina tu pun susah sangat. Nak jeling-jeling anak Ustaz Haji Zamidi tu pun aku tak berani!
            “Apa? Erzalina syok kat kau, Syed? Tak boleh jadi macam ni! Kau ni tak baik buat aku macam ni! Kawan makan kawan!” Emosi Anuar terlebih-lebih pula. Fadli hanya menahan ketawa. Cakap aku pun kau percaya! Nua… Nua…
            “Dah! Jangan nak mengarut. Sejak bila pula Erzalina syok kat aku! Kau tu, pergi mandi cepat! Aku dengan Fadli tunggu kau ni! Kita pergi surau solat sama-sama.” Balas Syed Bakri.
            Tersengih-sengih Anuar mendengar jawapan Syed Bakri.

PEMBENTANGAN kumpulan Anuar, Syed Bakri dan Fadli berlangsung dengan lancar. Anuar sentiasa kuat dengan hujah-hujahnya. Segala soalan-soalan daripada pelajar-pelajar lain senang sahaja dijawab tanpa ragu-ragu.
            Dia memang seorang pelajar yang cemerlang, tetapi sikapnya pula tidak seiring dengan kepandaiannya. Kadang-kadang Anuar ponteng kelas. Kadang-kadang dia suka melepak sampai remang senja baru ingat jalan pulang. Entah apalah nak jadi Anuar ini.
            Selesai pembentangan Anuar dan rakan-rakannya mendapat tepukan. Pensyarah juga tersenyum. Bangga dengan pencapaian mereka. Anuar, Fadli dan Syed Bakri menuju ke tempat duduk mereka di dalam dewan kuliah itu.
            “Huh… lega! Satu pembentangan dah selesai. Aku nak balik tidurlah kejap lagi.” Bisik Anuar. Dia bersandar di kerusi berwarna biru itu. Jemarinya mencatat sesuatu di dalam sebuah buku nota yang sentiasa ada dalam begnya.
            Dua pasang mata merenung tajam wajah Anuar. Pembentangan seterusnya di dalam dewan itu tidak lagi menarik perhatian mereka. Syed Bakri menyiku lengan Anuar. Anuar menoleh dengan malas.
            “Kita kan dah janji nak jumpa budak-budak lain. Nak main sepak takraw petang ni?” Syed Bakri mengingatkan Anuar. Dia mengangkat kening ke arah Fadli. Fadli hanya mampu menjungkitkan bahu.
            Anuar terkebil-kebil. Mencerna segala kata-kata Syed Bakri yang masuk ke dalam gegendang telinganya. Macam mana aku boleh berjanji dengan dua orang mangkuk ni?
            “Aku ada cakap nak main dengan kau orang ke?” soal Anuar.
            “Adalah.. semalam! Masa tu kau baru bangun tidur, aku terus cakap kat kau. Tak ingat?” balas Fadli.
            Anuar menepuk dahinya sendiri. Aduh… Kalau dah aku mamai baru bangun tidur, buat apa ditanya macam-macam soalan. Memang jawapan aku ‘ya’ ajelah. Fadli memang suka buat aku macam ni!
            “Tak naklah. Aku letih. Aku nak balik, berehat.” Balas Anuar.
            “Janganlah macam ni, Nua…” pujuk Syed Bakri.
            “Kau orang kena faham, otak aku perlukan rehat setelah seharian bekerja. Nak prepare segala macam jawapan dari soalan-soalan budak-budak tu bukannya senang. Nak harapkan kau orang, jawabnya terkebil-kebil satu jam kat depan tu.” bebel Anuar.
            “Shhh!!!” seorang pelajar perempuan di depannya menjeling ke arah mereka bertiga. Syed Bakri dan Fadli tersenyum-senyum.
            “Okey, macam ni. Habis aje kelas ni, kita pergi makan. Lepas makan kita terus balik kolej. Aku bagi kau tidur sampai petang. Nanti petang aku kejutlah kau, okey tak?” pujuk Fadli pula.
           
PETANG itu, sekali lagi Fadli menjadi tukang kejut Anuar bangun daripada tidur. Antara Syed Bakri dan Fadli, Fadlilah yang paling penyabar untuk kejutkan Anuar. Kalau Syed Bakri, alamatnya merah-merahlah belakang badan Anuar akibat dipukul.
            “Nua! Aku kira sampai tiga, kalau kau tak bangun jugak, aku bagi cop lima kat tengah belakang badan kau.” Ugut Syed Bakri.
            Spontan Anuar duduk di atas katilnya. Ngeri bila mendengar Syed Bakri sebut cop lima. Peritnya hanya Tuhan sahaja yang tahu.
            “Oh… Itu rupanya ubat kau ya? Lepas ni aku nak suruh Syed ajelah yang kejutkan kau.” Usik Fadli sambil menukar bajunya.
            Malas Anuar mahu melayan kawan-kawannya yang banyak kerenah itu. Dia bangun perlahan-lahan dan menuju ke almari pakaian untuk menukar baju. Baju tanpa lengan dan seluar pendek diambil.
            Siap berpakaian mereka menuju ke gelanggang yang disediakan. Sampai di sana kawan-kawan mereka yang lain telah pun menunggu.
            “Wei, dah naik berjanggut berjambang macam si Nua dah aku tunggu.” Usik Helmi yang tinggi lampai itu. Mereka yang lain hanya ketawa terbahak-bahak.
            “Kau jangan salahkan aku dengan Syed. Kau tanya Nua ni. Kalau dia dah dapat katil dengan bantal, harimau nak terkam dia pun dia tak hairan.” Fadli menjulingkan mata ke atas.
            “Kita datang ni nak main takraw kan? Kenapa mesti cerita hal-hal peribadi aku? Nanti kalau orang dengar, habis kena gosip satu kolej.” Anuar bercekak pinggang.
            Helmi hanya menggeleng kepala. Siapa pula yang nak sangat ambil tahu pasal kau tu? Nua… Nua…
            “Sudah. Jom kita mula. Nanti kalau dah petang-petang sangat, dapat dua game aje.” Syed Bakri juga yang menyelesaikan segala-galanya.
            Mereka betul-betul mengeluarkan peluh. Anuar yang selalunya lebih suka melepak dan tidur, kini bersemangat mahu menghabiskan permainan yang terakhir. Anuar melibas bola yang sampai kepadanya. Entah macam mana bola itu tersasar jauh dan bergolek sampailah ke kaki seorang gadis manis.
            Gadis itu berhenti. Wajahnya berkerut sedikit menahan perit bola takraw yang keras itu menghentam tulang keringnya. Bola takraw itu betul-betul berhenti bergolek.
            Syed Bakri, Fadli dan Anuar sudah bertolak-tolak antara satu sama lain. Masing-masing segan dengan gadis itu. Gadis itu masih lagi tertunduk mengusap-usap kakinya.
            “Nua! Kau kan nak kahwin dengan Erzalina. Kau layak pergi ambil bola kat kaki dia tu!” Fadli menolak tubuh Anuar.
            “Alah! Aku seganlah… Kau tolonglah pergi ambil.” Anuar menolak kembali tubuh Fadli.
            “Pergilah, Nua. Inilah peluang kau nak berkenalan dengan Erzalina. Langkah pertamanya macam inilah. Pergilah…” Syed Bakri berusaha memujuk Anuar. Dia tersengih-sengih. Heh! Harap-harap Nua termakanlah pujuk rayu aku. Kalau kena sembur dengan Erzalina pun, Anuar yang malu. Hahaha…
            “Oh… macam tu ke? Kalau macam tu, aku pergi ambillah!” Anuar terus bergerak menuju ke arah Erzalina yang sudah pun memegang bola takraw tersebut. Wajahnya kelihatan malu-malu apabila Anuar yang tak tahu malu dengan baju tanpa lengan dan seluar pendek itu menuju ke arahnya.
            “Hai!” tegur Anuar. Pertama kali dia melihat wajah Erzalina secara dekat. Amboi… kulit Erzalina sangat mulus. Tak sabar aku nak kahwin dengan kau Erzalina. Mahu cubit-cubit pipi gebu kau itu!
            Erzalina hanya menundukkan kepalanya sekali. Tidak berani dia mahu menentang mata tajam Anuar yang memandangnya dengan penuh rasa kasih. Kononnyalah!
            “Saya Anuar. Siapa nama awak?” soal Anuar lagi. Ewah! Macamlah kau tak tahu nama dia, Nua! Anuar betul-betul berusaha mahu berbual dengan kekasih idamannya itu. Nua… Nua…
            Erzalina sudah gelisah. Bola takraw di tangannya hanya dipegang dan diramas-ramas perlahan. Berdiri berhadapan dengan lelaki yang ketika ini berpakaian seksi macam Anuar ini buat Erzalina tak tentu arah. Malu jika matanya terarah ke aurat lelaki itu.
            “Erzalina.” Sepatah perkataan yang keluar daripada bibir comel Erzalina itu sudah buat Anuar gila bayang.
            “Erzalina. Sedapnya nama awak.” Puji Anuar. Ikhlas!
            Erzalina menghulurkan bola takraw kepada Anuar. Matanya masih tunduk menekur ke jalan raya.
            “Oh! Maaf ya! Saya tak sengaja. Tak sangka bola ni melantun kat awak pulak. Maafkan saya, ya?” bersungguh-sungguh Anuar meminta maaf.
            Semakin tunduk Erzalina menekur ke jalan raya, semakin membongkok Anuar mahu menatap mata Erzalina. Erzalina hanya mengangguk sekali. Tanda maaf diterima.
            “Terima kasih. Saya betul-betul tak sengaja. Terima kasih sudi maafkan saya. Mungkin kita boleh jumpa lagi ya lepas ni?” Anuar masih mencucuk jarum.
            Erzalina mahu melangkah, tetapi dihalang oleh Anuar. Erzalina ke kiri, Anuar ke kiri. Erzalina ke kanan, Anuar ke kanan. Erzalina melangkah ke depan, Anuar berundur. Akhirnya Erzalina berhenti. Dia merenung wajah Anuar. Geram sungguh dia dengan lelaki di depannya ini. Tak tahu malu!
            Anuar jadi keras kejang bila melihat wajah Erzalina yang cantik, putih bersih dan mulus itu. Mata Erzalina yang merenungnya juga turut membuatkan Anuar terbuai-buai dengan perasaannya sendiri.
            Cantiknya Erzalina. Manisnya Erzalina. Anuar menghadiahkan senyuman kepada Erzalina cinta hatinya itu. Erzalina hanya tunduk kembali. Dia berjalan cepat-cepat untuk menghindari renungan Anuar yang gatal itu.
            Anuar biarkan sahaja. Dia hanya memandang langkah Erzalina yang laju, tetapi masih lagi ada sopannya.
            “Nua! Jom balik. Azan maghrib dah berkumandang tu.” tepukan Syed Bakri di bahunya buat Anuar sedar dari angan-angannya mahu memiliki Erzalina. Mereka berenam pulang ke kolej kediaman masing-masing.                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                        

2 comments:

CintaZulaikha said...

kakkakkakka...Nua2...kena banyak usahalan nak ngorat awek cenggitu~~

smabung nad, sambung....

Hanny Esandra said...

hehehhee.. ye2.. akan ku sambung..