ERZALINA sedang mengulang kaji pelajaran di dalam bilik mereka. Dia bersungguh-sungguh membuat nota kecil untuk dibaca dan dihafal. Risau pula kalau dalam peperiksaan nanti tak boleh buat. Mahfuzah rakan baiknya juga bertungkus-lumus di sebelahnya. Sesekali matanya memerhati raut wajah Erzalina yang sentiasa tenang itu.
“Petang tadi awak berbual dengan siapa?” Soal Mahfuzah.
Dia menunggu reaksi daripada Erzalina. Erzalina yang leka menulis terhenti seketika. Dia cuba mengingati apa yang berlaku petang tadi. Kemudian wajah Erzalina berubah. Huh! Sungguh memalukan.
“Saya tak kenal siapa dia tu.” jawab Erzalina. Dia kembali menulis. Kemudian terhenti lagi. “Macam mana awak tahu?”
Mahfuzah tersenyum. Dia meletakkan pen di atas meja. Memusingkan tubuhnya menghadap Erzalina. Bergosip sekejap bagus jugak ni!
“Tadi masa saya tengah tunggu bas nak balik, saya nampak awak tengah bercakap dengan sorang lelaki. Haa… siapa dia? Kalau tak kenal, takkan awak boleh bercakap dengan dia?” Mahfuzah sengaja serkap jarang walaupun dia tahu macam mana sikap Erzalina itu.
“Isy! Awak janganlah tuduh saya. Betul! Saya tak kenal lelaki seksi tu. Dia… tak kemaslah.” Erzalina tersipu-sipu menjawab soalan Mahfuzah.
Mahfuzah sudah ketawa. Erzalina… Erzalina… sopan betul awak ni. Dia faham apa yang dimaksudkan oleh Erzalina itu. Tak kemas maknanya selekehlah! Hahaha…
“Dia nak mengurat awak ke?” soal Mahfuzah lagi.
“Apalah awak ni! Tak mahulah saya! Dia main sepak takraw, tiba-tiba bola tu melantun, kena saya. Ni, tengok ni. Sampai lebam tau.” Erzalina menunjukkan tulang keringnya kepada Mahfuzah.
Terbeliak biji mata Mahfuzah yang kecil itu apabila melihatkan kaki Erzalina mula berubah berwarna kebiru-biruan.
“Dia ada bagi tau awak tak siapa nama dia? Manalah tau kalau-kalau saya kenal ke?” soal Mahfuzah lagi.
Erzalina masih terkebil-kebil cuba mengingati nama lelaki tadi. Dia terlalu malu sampai tidak ingat siapa nama lelaki itu. Di matanya terbayang wajah Anuar yang tersenyum penuh makna. Eeii… seramnya! Kemudian baru Erzalina teringat.
“Erm… Nama dia Anuar.” Ucap Erzalina perlahan.
“Anuar? Anuar budak Engineering tu ke? Muka dia yang ada janggut dan misai tu?” soal Mahfuzah. Sampai berkerut-kerut wajahnya.
“Eh, betullah tu. Mana awak kenal dia?” Erzalina pula yang teruja.
“Awak tak kenal dia? Dia salah seorang pelajar yang boleh dikatakan cemerlang tau. Cemerlang dalam pelajaran. Cemerlang jugak dalam mendapat surat saman sebab melanggar peraturan kampus.” Mahfuzah menjeling Erzalina.
Berkerut wajah Erzalina mendengar penerangan Mahfuzah. Kenapa aku tak kenal ya? Erzalina menggaru-garu kepalanya.
“Saya tak kenallah.”
“Macam mana awak nak kenal kalau hidup awak asyik dengan buku aje.” Usik Mahfuzah lagi. Erzalina tersenyum-senyum.
Mereka kembali menelaah pelajaran. Segala peristiwa petang tadi telah pun dilupakan.
“OH, Erzalina cintaku…” Anuar sudah angau. Dia betul-betul seperti orang yang sudah tersampuk. Dia mabuk kepayang. Waktu maghribnya pun terlepas. Apa yang dia tahu, Erzalina, Erzalina. Tersenyum-senyum seorang diri di atas katil. Ajakan Syed Bakri dan Fadli untuk ke surau juga tidak endahkan.
Hanya terlentang di atas katil sampailah Syed Bakri dan Fadli pulang.
“Astaghfirullah… Apa nak jadi dengan kau ni, Nua? Kau dah terkenan dengan jin hutan ke? Teruk sangat dah kau ni.” Bebel Syed Bakri.
Anuar masih lagi tersenyum-senyum. Dari terlentang dia mengiring pula. Bantal peluk kepamnya di peluk erat-erat seolah-olah itu adalah tubuh Erzalina.
“Bawak-bawak mengucaplah, Nua.” Fadli menggeleng kepala.
“Kau orang berdua tak faham. Bila kita dilamun cinta, fikiran kita mesti jadi tak betul.” Dalam angau-angau Anuar, sempat lagi dia menjawab. Bibirnya masih lagi tersenyum-senyum.
“Kau tu memang tak betul pun…” Selamba sahaja Fadli mengutuk Anuar.
“Eh, masa aku tengok kau dengan Erzalina berbual tadi, tak adalah panjang mana. Tak mesra pun. Apa yang kau angaukan sangat ni? Entah-entah sekarang ni Erzalina dah lupa pun siapa kau.” Sengaja Syed Bakri menyakitkan hati Anuar.
“Isy! Mana boleh dia lupa. Aku siap bagitau siapa nama aku tau! Disebabkan bola takraw itulah aku dapat bercakap-cakap dengan dia. Mesti kaki dia sakit sekarang ni. Ha, bila kaki dia sakit, automatik dia teringatkan aku.” Anuar tak habis-habis dengan perasannya.
“Macamlah dia cakap ‘I love you’ kat kau sampai kau teruk sangat macam ni.” Rungut Fadli pula. Dia duduk di birai katil Anuar. “Lebih baik kau bangun. Dari balik main sepak takraw petang tadi kau tak mandi-mandi. Badan kau pun dah hamis macam bau kambing.” Fadli menepuk bahu Anuar.
Anuar? Buat-buat pekaklah. Apa lagi…
SEDANG Anuar, Syed Bakri dan Fadli mengulang kaji pelajaran di perpustakaan, terdengar oleh mereka derapan tapak kaki. Bagai tahu-tahu sahaja Erzalina akan lalu, Anuar setia menanti sehingga kelibat itu muncul.
Waktu itu Erzalina sedang berbual dengan Mahfuzah sambil berjalan. Mereka juga ingin mengulang kaji pelajaran. Apabila Anuar terlihat sahaja wajah Erzalina, sengihnya sampai ke telinga. Terkocoh-kocoh dia bangun untuk menegur Erzalina. Tak sempat Syed Bakri atau Fadli menahannya.
“Assalamualaikum, Erzalina.” Tegur Anuar.
Terkejut Erzalina dan Mahfuzah dengan sapaan mengejut itu. Mereka berdua berkerut mahu mengingati di mana mereka berjumpa dengan lelaki yang errr… agak tidak elok dipandang mata. Dengan wajah yang berminyak-minyak. Dengan rambut mencecah bahu dan kusut masai. Dengan kemeja yang tidak bergosok. Nua… Nua…
Mahfuzah menyiku lengan Erzalina. Erzalina menoleh sekilas ke arah Mahfuzah kemudian kembali memusat pandangan ke arah lelaki di hadapannya.
“Awak siapa ya?” soal Mahfuzah yang agak berani itu.
Giliran Anuar memandang mereka secara bergilir-gilir. Dia memandang wajah Erzalina. Ternyata riak wajah Erzalina seperti tidak mengenalinya. Aik? Sia-sia aje aku kenalkan nama aku kat Erzalina. Dia tak ingat langsung kat aku ke?
“Awak Erzalina kan?” soal Anuar. Soalan Mahfuzah dibiarkan sepi. Hatinya lebih meronta-ronta untuk tahu sama ada Erzalina ingat padanya ataupun tidak.
Erzalina mengangguk.
“Awak tak kenal saya? Saya Anuar. Hari tu kita ada berbual sekejap.” Terang Anuar. Mahfuzah mengangkat kening. Anuar memandang Mahfuzah.
“Hah! Awak kenal sayakan? Erzalina tak ada cerita kat awak dia berbual dengan saya?” soal Anuar dengan tidak tahu malunya.
“Ada....” Jawab Mahfuzah ala kadar. Dia menyiku lengan Erzalina. Erzalina mengerutkan wajahnya.
“Awak ni cepat sangat lupalah. Awak ingat tak kaki awak yang lebam tu angkara siapa?” soal Mahfuzah seakan berbisik. Kini barulah Erzalina ingat. Oh… ‘lelaki seksi’ ini rupanya. Erzalina terangguk-angguk.
“Ha… Ingat pun. Awak apa khabar?” soal Anuar sambil menghulurkan tangan.
Syed Bakri dan Fadli yang melihat hanya mampu menggeleng kepala dan tepuk dahi. Apalah Anuar ni. Tak sensitif langsung. Ada pula nak pergi bersalam dengan Erzalina yang sangat menjaga auratnya itu.
“Khabar baik.” Erzalina hanya menganggukkan kepalanya sedikit dan tidak pun menyambut huluran salam Anuar. Mereka berdua cepat-cepat berlalu dari situ. Anuar yang terkulat-kulat hanya menggaru-garu kepalanya. Dia mendekati kawan-kawannya yang lain.
“Apalah kau ni Nua. Pergi hulur tangan nak bersalam tu buat apa?” marah Fadli. Dia menggelengkan kepala.
“Manalah aku tahu. Aku berniat baik. Bukan aku saja-saja nak pergi pegang tangan dia.” jawab Anuar sambil menyemak nota-nota yang telah disalin itu.
“Kau kenalah tengok-tengok jugak dengan siapa kau nak bersalam pun. Janganlah main redah aje.” Syed Bakri pula menyampuk.
“Erzalina ingat kau lagi tak?” soal Fadli.
“Ingat-ingat lupa.” Balas Anuar perlahan. Syed Bakri dan Fadli hanya saling berpandangan. Aik? Macam kecewa aje bunyinya? Mereka hanya tersenyum melihat Anuar dilanda kesedihan.
“Janganlah cepat putus asa, Nua. Banyak lagi masa untuk kau mengurat Erzalina buah hati pengarang jantung kau tu.” usik Syed Bakri sambil mengangkat kening. Fadli menepuk-nepuk bahu Anuar.
“Isy! Mana ada aku putus asa! Aku akan berusaha sampai Erzalina nak kahwin dengan aku. Aku nak jadikan dia suri di hati aku. Mesti bahagia kalau aku kahwin dengan dia.” Anuar tersenyum-senyum dan mengurut-urut dagu panjangnya.
“Memanglah kau bahagia. Kau rasa Erzalina bahagia tak dengan kau?” Sengaja Fadli menyiram api di hati Anuar.
“Mestilah bahagia! Aku akan tatang dia bagai minyak yang penuh. Aku akan jaga dia. Aku akan sayang dia. Aku akan jadi suami yang soleh.” Kata-kata dari angan-angan yang Anuar ciptakan itu mengundang tawa dua sahabatnya.
Jadi suami yang soleh konon. Entah siapa yang bimbing siapa entah nanti! Nua… Nua…
MAHFUZAH sudah tersenyum-senyum. Erzalina di sebelah hanya buat tak reti. Gasak kaulah Uja nak tersenyum ke, nak tersengih ke, nak ketawa ke, yang penting kerja aku siap! Aku tak ada masa pulak nak fikir mamat yang tak berapa nak sopan tu!
“Pertama kali ada yang berani nak berkenalan dengan awak. Awak ni bukan tak cantik. Tapi awak tak nak langsung berkawan dengan mana-mana lelaki. Berdosa ke Cik Erzalina kalau awak menyambut salam perkenalan mereka?” usik Mahfuzah.
Hampir tersembur tawa dari bibir comel Erzalina. Dia hanya menggeleng-geleng. Tangannya masih lagi menulis nota untuk kuliah hari esok.
“Awak ni kenapa, Uja? Awak sukakan Anuar, ya?” Terkejut Mahfuzah dengan kata-kata Erzalina. Eh… Benganglah tu aku duk senyum-senyum kenenkan dia.
“Eh, apa pulak saya… Anuar tu macam berminat nak berkenalan dengan awak.” Tersenyum-senyum Mahfuzah mengusik ‘mek kelate’ di sebelahnya ini.
“Saya datang ke sini nak belajarlah, Uja. Bukan nak bercinta. Nanti walid saya marah.” Jelas Erzalina sambil tersenyum dan menggeleng kepala. “Bercinta sebelum berkahwin ni banyak risikonya. Lebih afdal bila bercinta selepas kahwin.” Ujar Erzalina lagi.
“Saya faham tu. Saya tak kata suruh awak bercinta dengan Anuar. Saya suruh awak berkawan. Nak berkahwin macam mana kalau awak tak pernah nak berkawan dengan mana-mana lelaki.” Gulp! Terkedu Erzalina seketika dengan ulasan Mahfuzah. Dia merenung bebola mata Mahfuzah yang bersinar-sinar. Ada seulas senyuman di bibirnya. Dia tahu Mahfuzah ikhlas dalam berkata-kata.
Erzalina ketawa bagi menutup gugup di hatinya. Berkawan dengan Anuar? Kalau iya pun aku disuruh berkawan, takkan yang macam Anuar kut? Pengsan walid kat kampung nanti. Hahaha…
“Ha! Tu kenapa tersengih-sengih tu? Berangan ya?” usik Mafuzah. Mereka bergurau di situ sehinggalah ada satu suara berdeham. Kedua-duanya terus senyap. Ha! Berbual lagi dalam perpustakaan! Erzalina dan Mahfuzah tersenyum-senyum sendiri.
6 comments:
Pergh....Mahfuzah tuh..
kekeke
tak sabor nak jpa ko ahad nih...yehaaaaaaaaaaaa~~
uja,
alamak! pecah seprais aku! baru aku nk bg ahad ni.. adehhhhh.. nape ko masuk siniiiii.. arghhhh..
ct,
yeaaaa.. aku jugeee x sabooo nk jpa ko gak... mak buyung dtg kn?? x sabo nk tgkk dia..
wuwuwu..aku masuk sini pon kene marah..hihi
beb, nt ahad aku smpi awal..saing ngan ciknab kot.. insyaallah..
uja,
haahha.. marah2 syg aje.. ok! dtg la dgn dia.. saing skali.. klu tak kang ko tu pemalu.. hahaha..
Post a Comment