Follower Tersayang

Friday, December 16, 2011

Seindah Diari Cinta - Bab 3

 
3
BUNYI hailer yang membingitkan itu membuatkan kesemua pelajar baru terganggu daripada tidur. Begitu juga dengan Azzalea dan Maisera. Azzalea bingkas duduk di atas katilnya apabila pintu biliknya diketuk dengan kuat. Di dalam gelap, bibirnya merungut-rungut sambil tangannya meraba-raba mencari getah rambutnya yang terbang entah ke mana.
            Setelah rambut diikat, Azzalea menyelak langsir. Hari masih lagi gelap. Mungkin sudah masuk waktu subuh. Perlahan-lahan dia berjalan untuk memetik suis lampu bilik. Jam kecil di atas meja dilirik seketika. Patutlah bising kat bawah, dah pukul 5.30 pagi rupanya.
            “Sera! Bangun! Mamat tu dah memekak kat bawah tu dah. Bangunlah. Kita kena siap cepat.” Azzalea membaca jadual yang ditampal di dinding berhadapan dengan meja belajarnya. Kalau ikutkan, pagi ini mereka akan sembahyang berjemaah di Surau Kenanga sambil itu mendengar kuliah subuh.
            Azzalea mencapai tuala dan baldi kecil yang berisi barang mandiannya. Dia menggeleng kepala apabila Maisera masih lagi tidak bergerak dari tempat tidurnya. Makin lena memeluk bantal busuk yang dibawa bersama.
            “Ya Allah, Sera ni kenapa susah sangat nak bangun ni!” Azzalea menepuk lengan kawannya.
Barulah Maisera menggeliat sedikit. Terkebil-kebil matanya memandang Azzalea yang sudah berdiri terpacak di depannya.
“Kau dengar tak mamat tu dah memekak dengan hailer dia? Cepatlah! Aku tak nak kena lagi!” ujar Azzalea.
            Bingkas Maisera bangun dan terkocoh-kocoh mencapai tuala dan baldi barang mandiannya pula.
            Selesai bersiap mereka semua berbaris di bawah. Shafwan, Tengku Badariah dan lain-lain ahli majlis MPP berlegar-legar mengawal mereka. Sewaktu orientasi mereka mementingkan disiplin. Menepati waktu adalah perkara utama.
            Mata Azzalea berjaga-jaga memerhati di mana kedudukan Shafwan. Dia tidak mahu Shafwan memalukannya lagi. Setelah senior berpuas hati, mereka diarahkan berjalan menuju ke Surau Kenanga yang terletak dia atas bukit.
            “Weh, Lea. Mamat tu asyik jalan bersebelahan dengan kau aje.” Bisik Maisera.
            Azzalea menoleh ke arah kirinya perlahan-lahan. Memang betul Shafwan berjalan di sebelahnya. Walaupun tidak begitu dekat tetapi tetap juga membuatkan Azzalea tidak selesa.
            “Biarlah. Asalkan dia tak tegur aku sudah.” Bisik Azzalea kembali.
            “Cuba jangan bercakap waktu berjalan ke surau! Bawak-bawaklah berzikir ke ada jugak faedahnya dari mengumpat!” sindir Shafwan. Matanya masih terarah ke depan tetapi Azzalea dan Maisera tahu Shafwan menujukan kata-katanya kepada mereka.
            Kemudian masing-masing tak bercakap sehingga kuliah subuh mereka hari itu selesai. Sewaktu mahu pulang ke bilik hostel masing-masing, mereka hanya diberi selama 15 minit untuk menukar pakaian dan berada di bawah berbaris seperti waktu subuh tadi.
            Tepat 15 minit, mereka semua turun ke bawah. Entah kenapa mood Shafwan memang tidak baik hari itu. Dia menjerkah sahaja sesiapa pelajar yang berjalan lambat-lambat untuk beratur di dalam barisan memanjang dan menghadap ke bahagian hostel.
            Sepanjang hari itu mereka akan dibawa melawat ke seluruh kawasan Kolej Rimba Bestari yang boleh tahan juga besarnya. Terdapat banyak bahagian yang harus mereka ketahui sebelum memulakan sesi pembelajaran.
            “Jalan tu biar tangkas! Jangan nak terhegeh-hegeh! Macam pemalas! Kalau malas baik jangan suruh mak bapak kau orang hantar sini! Baik duduk rumah, makan lepas tu tidur!” jerit Shafwan lagi sambil berjalan ke hulu ke hilir.
            Azzalea dan Maisera hanya tunduk. Tak berani langsung dia mahu mengangkat muka memandang wajah bengis Shafwan.
            “Okey, boleh jalan dah ni, Wan.” Arah tengku Badariah.
            “Ha! Jalanlah apa lagi! Yang baris depan tu. Jalan. Kecuali, Azzalea!” Shafwan menjeling paras Azzalea yang ternyata kecut. Dia tidak jadi melangkah dan hanya memandang sayu semua pelajar-pelajar yang beratus-ratus itu berjalan meninggalkannya. “Kau pun pergi dulu, Dariah.”
            Tengku Badariah mengangguk dan meninggalkan Shafwan dan Azzalea. Dia tidak tahu kenapa Shafwan jadi panas hati hari ini. Setelah semua pelajar beredar, Shafwan kembali memusatkan pandangan ke arah Azzalea yang masih tunduk menikus.
            “Azzalea!” tegur Shafwan.
            Terhenjut lagi bahu gadis itu. Jantungnya hampir luruh bila disergah begitu. Dia memandang wajah singa Shafwan sekilas kemudian kembali tunduk menekur jalan raya.
            “Awak tau kenapa saya tak kasi awak ikut kawan-kawan awak yang lain tu?” soal Shafwan sekadar menduga.
            Azzalea pantas menggeleng.
            “Dah bisu ke? Saya nak awak jawab.” Ada sahaja yang Shafwan tidak puas hati.
            “Tak, Encik Shafwan. Saya tak tau.” Jawab Azzalea perlahan.
            Ada rasa yang menusuk sanubari Shafwan apabila mendengar suara halus merintih itu, tetapi segera dia menepis. Dia harus tegas dan bukan masanya lagi untuk dia menunjukkan sikap sebenarnya. Biar dia harus berlakon menjadi orang yang agak tidak berhati perut untuk mengajar pelajar-pelajar baru. Selama dua tahun dia menjadi Pengerusi MPP, rata-rata pelajar baru tida senang akan dirinya. Tetapi bila habis sahaja minggu orientasi, Shafwan kembali menjadi dirinya yang sebenar, yang suka tersenyum. Ramai pula yang suka untuk merujuk kepadanya. Buktinya Tengku Badariah yang kini berada di tahun dua. Gadis itu dulu selalu sahaja kena marah dengannya sewaktu mula-mula menjalani minggu orientasi di situ. Akhirnya dia dan Shafwan bersahabat baik bagai isi dengan kuku.
            “Dengar sini. Saya memang tak puas hati dengan awak ni. Macam mana cara awak keringkan kasut saya?” soal Shafwan.
            Terus sahaja Azzalea memanggung kepala dan menatap wajah Shafwan. Apa lagi salah aku kali ni? Kan ke kasut dia tu aku tengah jemur bagi kering? Takkan nak guna hair-dryer pulak? Apalah mamat ni!
            “Kenapa Encik Shafwan? Memang saya tengah jemur kasut encik kat ampaian. Biar cepat kering.” Balas Azzalea takut-takut berani.
            “Ha… sidai kat ampaian ya! Memang bagus tindakan awak tu! Awak ingat kasut saya tu macam baju-baju kecik awak nak sidai merata-rata tempat macam tu?” sakit sungguh hati Azzalea mendengar Shafwan berkata begitu. Kalau iya pun dia bersalah menjemur dengan cara begitu, tak perlulah nak disebut semua benda-benda peribadi macam tu! Huh!
            “Maaf, Encik Shafwan. Saya tak ada niat nak buat macam tu. Saya nak bagi cepat kering. Lagipun kalau jemur kat dalam bilik, mana nak kena matahari.” Azzalea memberanikan diri menjawab tetapi langsung dia tak pandang wajah Shafwan.
            “Baguslah kalau awak ada inisiatif macam mana nak keringkan kasut saya. Tapi, bukan macam tu caranya. Awak ingat saya beli kasut tu kat kedai longgok? Sepuluh ringgit boleh dapat tiga? Kalau kasut saya hilang, siapa nak bertanggungjawab? Awak?” balas Shafwan.
            “Maaf, Encik Shafwan. Saya pergi ambil sekarang.” Azzalea terus berlari menuju ke arah ruang tengah hostel perempuan. Di situ memang tersedia tempat untuk menyidai pakaian.
            Dua minit selepas itu Azzalea kembali menghampiri Shafwan. Sisa-sisa air mata dikesat dengan cepat. Dia tidak mahu Shafwan perasan yang dia menangis.
            “Boleh saya pergi sekarang?” Azzalea meminta izin.
            “Boleh, tapi sebelum tu awak didenda atas kesalahan tadi.” jawab Shafwan tegas.
            Azzalea pasrah menunggu kata-kata Shafwan seterusnya. Dia mengait jari-jemari kiri dan kanannya dan setia menunggu. Matanya menentang lembut wajah Shafwan. Shafwan terpaku seketika.
            “Saya akan bagi denda tu waktu petang nanti.” Balas Shafwan pendek. Dia masih merenung wajah sendu Azzalea. Kulit gadis itu yang putih bersih membuatkan Shafwan senang mengecam bila gadis itu menangis.
            “Awak menangis?” soal Shafwan. Suaranya tidak sekasar tadi.
            “Tak adalah, Encik Shafwan. Saya selsema aje.” Dalih Azzalea.
            “Ha, dah! Awak boleh pergi sekarang. Pandai-pandailah cari kat mana dia orang semua.” Balas Shafwan dan terus berlalu meninggalkan Azzalea di situ.
            Azzalea mendengus geram dan terus pergi dari situ. Terkial-kiallah dia nak mencari di mana mereka sekarang.

LEKA Maisera melihat Azzalea mengikat mengikat tali di kasut milik Shafwan. Entah kenapa mood rajin dia kembali. Tali kasut itu dianyam seperti bersilang. Sambil melakukan kerja sambil dia tersenyum-senyum.
            Maisera yang melihat juga turut hairan. Berkerut-kerut dahi dia memikirkan kawan baiknya ini. Tadi punyalah menangis beriya-iya sebab geramkan Shafwan tu. Alih-alih tersenyum-senyum macam orang jatuh cinta pula.
            “Kau ni dah kenapa? Tersengih-sengih pulak? Tadi punyalah marah dengan Shafwan gila tu.” soal Maisera.
            “Shhh… jangan cakap kuat-kuatlah, nanti dia dengar.” Azzalea merapatkan jari telunjuk di bibirnya.
            “Dengar apa? Inikan kat hostel perempuan. Kita rehat sampai malam nanti. Lepas tu kang ada taklimat pasal subjek pulak.” Balas Maisera sambil menyemak jadual di tangannya.
            “Eh, nanti kau teman aku ya hantar kasut dia.” Azzalea memandang wajah Maisera sekilas.
            “Boleh. Aku tengok kau buat macam ni, dah macam rupa menganyam tikar. Tak pun macam buat ketupat.” Maisera terus gelak sekuat hatinya. “Kau tak takut ke kena marah?” soal Maisera selepas dia reda dari ketawanya.            
            “Biarlah dia nak marah pun. Memang sengaja aku nak sakitkan hati dia. Asyik dia aje yang sakitkan hati aku. Baru dua hari aku kat sini dah rasa macam dua tahun kau tau tak?” jawab Azzalea sambil menjeling Maisera yang masih tersenyum.
            “Teruk betul dia tukan? Siapalah yang malang dapat dia tu nanti.” Maisera bersandar pula pada kaki katil.
            “Entahlah, Sera. Dia pun dah nak habis tahun ni.” Azzalea mendengus.
            Setelah siap mengikat tali kasut, Azzalea meletakkan kasut tersebut di atas kerusinya sementara dia bersiap-siap untuk menyerahkannya kepada Shafwan. Siap mengenakan cardigan berwarna kuning air, Azzalea melihat wajahnya di cermin. Kulitnya sedikit gelap walaupun baru sahaja dua hari dia menjalani orientasi di situ.
            “Dah! Tak payah nak belek-belek muka! Bukannya Shafwan tu terpikat dengan kau pun.” Gurau Maisera sambil ketawa kuat.
            Azzalea hanya menjeling geram. Isy! Tak ingin pun nak jatuh hati dengan lelaki yang macam singa tu! Buat sakit hati aje.

MEREKA berjalan rapat-rapat sewaktu sudah sampai di depan pintu bilik MPP. Masing-masing tolak menolak untuk mengetuk pintu bilik tersebut. Kemudian Azzalea yang memberanikan diri mengetuk pintu bilik tersebut memandangkan yang dikenakan hukuman adalah dia.
            “Masuk.” Arah satu suara dari dalam.
            Azzalea yang mendengar seakan tak percaya. Suara itu dia kenal. Tapi… kenapa lembut sahaja? Boleh cair hati dibuatnya. Perlahan-lahan tombol dipulas dan dia menolak pintu tersebut. Kelihatan Shafwan sedang tunduk menulis sesuatu. Azzalea berdeham seketika. Maisera di sebelahnya hanya diam tak terkata.
            Shafwan memanggung kepala. Wajahnya berubah melihat dua orang gadis yang tercegat di depannya.
            “Ha! Nak apa?” soal Shafwan kasar.
Tadi punyalah lembut suara! Tapi bila nampak aku aje terus berubah! Huh! Azzalea hanya merenung wajah Shafwan. Kasut yang disorok di belakang punggungnya beralih pula ke sisi.
            “Saya datang ni nak pulangkan kasut Encik Shafwan. Dah kering dah.” Jawab Azzalea. Wajahnya hanya buat-buat selamba. Padahal dalam hatinya kecut hanya Tuhan sahaja yang tahu.
            “Oh… Nak pulangkan kasut! Meh nak tengok kasut saya! Entah apa jadi agaknya.” Balas Shafwan sambil matanya melilau mencari kasut yang dipegang oleh Azzalea.
            Maisera yang mendengar hanya mencemik. Macamlah dia sorang aje pakai kasut mahal-mahal. Aku pakai kasut mahal tak kecoh pun. Kalau dah basuh hilanglah kotor tu! Mengada-ngada punya mamat! Huh…
            “Ini dia.” Azzalea meletakkan kasut milik Shafwan di sisi kerusi yang didudukinya.
            Shafwan melihat sisinya di mana Azzalea meletakkan kasut. Dia terdiam seketika. Entah kenapa dia jadi berminat pula dengan tali kasut yang macam ketupat pula anyamannya.
            “Siapa suruh awak buat macam ni?” soal Shafwan. Dia merenung tajam kedua-dua gadis yang berdiri di hadapannya.
            Azzalea dan Maisera saling berpandangan. Maisera sudah buat muka kelat. Itulah! Azzalea ni suka cari pasal! Bukan dia tak tau angin si mamat Shafwan ni. Suka memandai-mandai. Tak serik agaknya kena denda.
            “Saya yang buat, Encik Shafwan. Saya ingat encik…”
            “Bagus! Pertama kali saya setuju dengan apa yang awak buat. Saya tau mesti awak nak ambil hati saya balik sebab awak dah sidai kasut saya macam awak sidai…”
            “Cukup, encik. Jangan sebut lagi.” Azzalea memberanikan diri mencantas kata-kata Shafwan. Dia tahu apa yang Shafwan ingin katakan, jadinya dia tak sanggup nak dengar Shafwan mengulang-ulang ayat-ayat tersebut.
            Shafwan tersengih. Dia tahu Azzalea bengang dengannya. Apa yang penting dia puas hati bila Azzalea menurut segala perintahnya.
            “Dah tu? Apa tercegat lagi? Malam nanti ada taklimat mengenai subjek. Saya tak nak ada yang lambat! Bila lambat mulalah tak faham. Lepas tu buat silap. Menangis-nangis nak drop subjectlah, itulah! Inilah! Manja sangat!” Shafwan mula memetir.
            “Tak apalah kalau macam tu, encik. Saya keluar dulu.” balas Azzalea perlahan. Dia hanya mampu mengeluh di dalam hati. Aku bukannya jauh sangat sampai dia kena terik-terik suara sampai tegang urat leher.

7 comments:

Secret Garden said...

akak, memang best cerita ni. tapikan , ayatnya terlampau GRAMATIS! berpinar mata. maklumlah, saya budak baru belajar. hehehe

Hanny Esandra said...

adik,
gramatis sangat ke? akak buat ayat standart tu.. :) utk pengetahuan adik, akak memang dah jadi penulis pun.. kat side kanan tu semua novel akak yg dah terbit..:)

Secret Garden said...

oooo... bleh x bagi tahu tajuk2 buku yg akak tulis. akak, nak tulis buku nih, standart nye berapa muka surat akak?

Hanny Esandra said...

tajuk2 & gambar buku semua ada dalam blog ni. adik tengok aje belah kanan. semua ada..

utk standard novel - 350 muka surat ke atas.

Secret Garden said...

kalau cerita jenis pendek? kulit buku ditaja ke?

Hanny Esandra said...

semua pihak publisher akan buat. jenis pendek? kalau remaja @ kanak2 dalam 90-250ms.

kalau nk sng, adik berurusan la dgn pihak pblisher ya.

Secret Garden said...

ha? biar betul. kena call2 lah ye kak. aduhai!!!!