Follower Tersayang

Tuesday, January 3, 2012

Seindah Diari Cinta - Bab 4



4
“FAHAM?!” jerkah Shafwan.
            Azzalea mengangguk dengan pantas. Dia menggenggam kemas kertas yang baru diberi oleh Shafwan. Pagi ini denda dia mula berkuat kuasa. Siut betullah! Mana aku nak kenal senior-senior ni? Azzalea merenung lama kertas di tangannya. Dia memandang wajah Shafwan. Lama.
            “Apa tengok-tengok saya? Awak tak puas hati?” soal Shafwan sambil menjegilkan biji matanya.
            “Macam mana saya nak dapatkan tandatangan dia orang ni semua? Sorang pun saya tak kenal.” Perlahan sahaja tutur kata Azzalea. Dia cuba untuk membela nasibnya.
            “Itu pandai-pandai sendirilah, ya. Masa senior-senior ni ada dan memperkenalkan diri masing-masing, awakkan dengan saya. Masa awak tinggal sorang-sorang, yang lain semua melawat kawasan Kolej Rimba Bestari ni. ” Jawab Shafwan sambil tersenyum mengejek.
            Ini tak adil! Azzalea merengus di dalam hati. Dia terus keluar dari bilik Shafwan. Langkahnya sengaja dilajukan. Azzalea hanya ada masa sehingga pagi esoknya. Semalam dia rasa selamat dan Shafwan lupa akan denda yang dikenakan terhadapnya, tetapi rupa-rupanya tidak. Pagi-pagi lagi Azzalea sudah dipanggil ke biliknya.
            “Apa yang saya tahu, esok pagi saya nak list ni penuh dengan tandatangan dia orang. Jangan cuba tipu saya sebab saya tahu tandatangan dia orang ni semua.” Shafwan seakan mengugut.
            Azzalea terpaksa pasrah. Perlahan-lahan dia mengangguk dan keluar dari bilik Shafwan. Nak atau tak nak, dia tetap kena akur dengan arahan Shafwan ataupun dia akan didenda lagi.
            “Mana aku nak cari ni? Kalau ajak Sera, nanti si senget tu tau pulak! Ish! Menyusahkan orang betul. Ingat dia bagus sangat ke? Ingat aku takut ke dengan dia? Eh! Aku tak takutlah! Bila-bila masa aje aku boleh…”
            Buk! Affirina jatuh terlentang. Dia memegang dahinya yang terasa berdenyut-denyut. Wajahnya berkerut menahan sakit. Dia masih belum tahu benda keras apa yang menghentam kepala dan bahu kanannya.
            “Eh, dik! Tak apa-apa ke? Okey tak?” soal seorang lelaki. Dia betul-betul tak sangka gadis itu akan lalu tatkala dia mengangkat beg berisi gitar untuk digalasnya.
            “Tak ada apa-apa kut.” Jawab Azzalea perlahan. Dia masih mengusap-usap dahi sambil cuba untuk bangun.
            “Nak saya tolong?” soal lelaki itu.
            “Tak… Tak apa. Boleh bangun sendiri.” Balas Azzalea. Dia masih lagi tunduk. Tak berani mahu bertentang mata dengan lelaki tersebut.
            Lelaki itu tersenyum. Dia tahu Azzalea pelajar baru. Tengok baju-T yang dipakai Azzalea juga dia sudah tahu. Lelaki itu memandang kertas yang hampir lunyai di tangan Azzalea.
            “Pelajar baru?”
            Azzalea mengangguk.
            “Nama siapa?”
            “Aina Azzalea.”
            “Oh… Aina Azzalea nak ke mana? Kenapa tak ikut group yang lain? Kenapa sorang-sorang kat sini? Sesat ya?” soal lelaki itu lagi.
            Azzalea memberanikan diri menentang pandangan dengan lelaki yang begitu prihatin terhadap dirinya. Mata itu redup merenungnya. Tiada tanda-tanda seperti mata helang Shafwan. Dia masih leka memerhati wajah bersih lelaki itu.
            “Panggil Lea aje.”
            “Oh, lupa pulak nak kenalkan nama. Nama saya Ferdi. Ferdi Amirul. Panggil Ferdi aje.” Ferdi menghulurkan tangan untuk bersalam.
            Azzalea seperti rasa dipukau. Bila Ferdi melambai-lambaikan tangan terus mata Azzalea berkelip-kelip semula. Baru dia berpijak di bumi yang nyata. Cepat-cepat Azzalea menyambut huluran tangan lelaki itu. Kemudian dia teringat kertas yang sudah keronyok di tangannya. Cepat-cepat pula dia buka kertas itu kemudian dia meneliti satu per satu nama yang Shafwan senaraikan. Rasanya ada…
            Mata Azzalea bersinar terang. Senyuman mula tersungging di bibirnya. Dia memandang kertas dan wajah blur Ferdi silih berganti.
            “Awak Ferdi Amirul?!” soal Azzalea dengan teruja. Ferdi mengangguk. Dia masih menunggu kata-kata Azzalea seterusnya. “Awak boleh tolong sign kat sini tak? Sini.” Azzalea menunjukkan tempat untuk ditandatangan.
            Ferdi pelik. Kenapa dia disuruh menandatangani kertas itu? Dia mengambil kertas tersebut dan membaca nota yang dikepilkan sekali untuk sesiapa yang bertanya kenapa mereka perlu turunkan tandatangan.
            Ferdi tersenyum sedangkan Azzalea sudah terkulat-kulat malu. Pasti Ferdi fikir yang bukan-bukan terhadap dirinya. Pasti Ferdi fikir dia adalah gadis nakal yang melanggar peraturan atau melawan arahan senior.
            “Kena denda ya?” usik Ferdi sambil tersenyum manis.
            Azzalea menunduk. Perlahan-lahan dia mengangguk.
            “Kenapa kertas ni dah sampai macam ni?” soal Ferdi lembut. Dia berusaha untuk menandatangani juga walaupun dia pening tak tahu mana nak turunkan tandatangan sebab kertas itu pun hampir lunyai.
            Ferdi meletakkan kembali beg gitar yang digalasnya. Kemudian dia bertinggung di situ juga. Kertas itu diletakkan di atas gitar yang berbalut dengan beg itu.
            Azzalea hanya melihat Ferdi menurunkan tandatangan. Kemudian Ferdi kembali berdiri dan menyerahkan kertas itu kepada Azzalea.
            “Kenapa kena denda?” soal Ferdi agak ramah.
            “Sebenarnya saya… saya… saya dah terpijak kasut Encik Shafwan.” Jawab Azzalea jujur.
            “Encik Shafwan?” soal Ferdi kembali agak terkejut. Kerut terentang di dahinya.
            “Ya, mesti awak kenal siapakan? Kita punya Pengerusi MPP.” Terang Azzalea.
            Ferdi tahu. Malah kenal sangat dengan Shafwan Zakuan. Apa yang dia hairan sekarang kenapa Azzalea diajar untuk memanggil Shafwan itu dengan panggilan Encik Shafwan. Huh! Memang sengaja nak buli budak perempuan comel ni.
            “Dia suruh awak panggil dia encik?” soal Ferdi lagi.
            Azzalea mengangguk pantas. Kemudian dia memandang tunak lelaki tinggi lampai itu.
            “Awak satu course dengan Encik Shafwan?” soal Azzalea.
            “Taklah. Saya ambil jurusan Performing Arts. Ni…” Ferdi menunjukkan gitar yang disandarkan di kakinya.
            “Hmm… Kalau macam tu, saya mintak diri dululah, ya. Ramai lagi orang nak saya cari ni. Tak taulah sempat ke tak nak sampai ke meja Encik Shafwan esok pagi.” ujar Azzalea. Sugul sahaja riaknya. 
            “Bagi saya tengok kejap siapa lagi yang awak kena cari. Kalau boleh saya tolong, saya tolong.” Balas Ferdi. Simpati betul dia dengan Azzalea. Dia yakin pasti Shafwan sengaja membuli gadis di depannya itu. Takkanlah disebabkan Azzalea terpijak kasut dia pun, dia nak denda yang mengarut sampai macam ni sekali? Tanpa sedar Ferdi menggeleng kepala.
            Azzalea betul-betul gembira. Tak sangka Ferdi sanggup untuk membantunya. Cepat-cepat dia menunjukkan kembali kertas tersebut.
            “Kalau saya tolong ni, awak nak balas apa kat saya?” soal Ferdi sekadar mengusik. Dia mengerling wajah Azzalea yang ternyata sudah cuak. Hahaha! Baru cakap macam tu, dah pucat semacam muka dia!
            “Kena ada balasan, ya?” soal Azzalea. Dia mula rasa tidak selesa. Dia ingatkan Ferdi ini ikhlas mahu menolongnya tapi dia harus sedar, tidak ada perkara yang percuma di dalam dunia ini. Sedangkan nak masuk tandas pun dah kena bayar 20 sen.
            Dalam dia berfikir-fikir itu, kedengaran suara Ferdi ketawa dengan kuat. Azzalea kembali memanggung kepala memandang wajah Ferdi yang sudah kemerahan.
            “Kenapa awak ketawa?” soal Azzalea pelik.
            “Awak ni, saya bergurau pun tak boleh. Memang ada balasannya, tapi itupun kalau kita terserempak lagi lepas ni, awak belanja saya makan kat Kafe Tanjung, ya?” balas Ferdi sambil merenung wajah Azzalea.
            “Oh… Belanja makan aje. Kalau itu, saya tak kisah!” balas Azzalea dengan riang. Dia mula rasa seronok berkawan dengan Ferdi. Ferdi tidaklah sombong macam Shafwan.
            Teringatkan Shafwan dia kembali kecut perut. Wajahnya berubah kelat. Dia harus selesaikan denda yang diberikan dengan segera. Kalau tak pasti Shafwan akan memekik kat telinganya macamlah dia tu pekak yang dah tahap kritikal.
            “Okey, saya dah tuliskan beberapa senior yang awak cari tu, tadi saya jumpa dia orang. Awak try cari kat tempat-tempat ni sebab tadi dia orang ada kat situ.” Balas Ferdi. Dia menyerahkan kembali kertas itu.
            “Okey, terima kasih ya.” balas Azzalea. Dia betul-betul gembira. Kertas yang dihulurkan disambut dengan baik.
            “Pesan saya, nanti jangan sampai kertas tu dah tak jadi rupa kertas bila sampai kat meja Encik Shafwan awak tu.” usik Ferdi.
            Azzalea hanya mampu tersenyum malu. Dia tahu kertas itu jadi begitu kerana salah dirinya. Disebabkan dia terlalu bengang dengan Shafwan, kertas itu yang menjadi mangsa. Sekarang dirinya sendiri yang susah.
            “Kalau macam tu saya pergi dulu. Kalau terjumpa kat kafe Tanjung nanti saya belanja awak, ya.” Azzalea terus berpaling dan berlari-lari anak menuju ke beberapa tempat yang telah ditulis siap-siap oleh Ferdi untuk mencari beberapa orang senior yang dilihatnya. Masih ada beberapa lagi yang perlu dia cari sendiri. 
Ferdi hanya menggeleng kepala melihat kesungguhan Azzalea. Haih! Nasib kaulah Lea, dapat Pengerusi MPP sengal macam Shafwan tu. Dia tak jadi untuk pulang, langkahnya diatur menuju ke bilik MPP.

FERDI memulas tombol pintu tanpa mengetuknya. Shafwan yang sedang membaca sesuatu di dalam fail, hampir terjatuh dari kerusi yang sengaja dijongketkan ke belakang. Dia mengerling sahaja Ferdi yang sudah mentertawakannya.
            “Gila!” jerkah Shafwan sambil menjeling.
            Ferdi yang melihat hanya mencebikkan bibir. Langsung dia tak gerun dengan Shafwan. Apa yang nak digerunkan, Shafwan tu abangnya sendiri. Dia hanya tersenyum sambil menggeleng kepala.
            “Amacam hari ni Encik Shafwan? Sihat?” soal Ferdi kemudian dia ketawa sendiri.
            Shafwan hanya tersenyum kecil. Dia tahu Ferdi mengusiknya. Pasti Azzalea telah berjumpa dengan adiknya untuk minta tandatangan.
            “Budak tu dah jumpa kau, ya?” soal Shafwan sambil meletakkan fail di sisinya. Dia tersengih menumpukan perhatian kepada adiknya yang sudah duduk bertentangan dengannya.
            “Kau ni pun tiap-tiap tahun nak garang macam singa! Kesian budak-budak baru tu. Ada yang mengadu kat aku, kalau dia orang kena sergah waktu orientasi dulu, dah hampir nak terkencing sebab takutkan kau.” Ferdi ketawa perlahan.
            Shafwan juga tak dapat menahan ketawanya.
            “Tapi apa jadi dengan yang semua mengadu kat kau? Semua suka kawan dengan akukan? Semua kata kau untung dapat abang macam aku.” Shafwan menjungkitkan kening berkali-kali.
            “Memanglah. Tapi kau ni pun nak garang berpada-padalah sikit. Kesian aku tengok Azzalea tu. Kelam-kabut nak cari orang-orang yang kau senaraikan.” Ferdi menggeleng kepala.
            “Biar dia rasakan! Siapa suruh pijak kasut aku? Kasut tukan hadiah kau bagi time birthday aku? Dahlah warna putih.” Rungut Shafwan sambil melihat-lihat kasut di kakinya.
            “Kasut pun nak jadi hal! Kalau basuh hilanglah kotor tu. Alah! Saja kau tu nak buli dia. Ke kau dah tersangkut dengan dia?” usik Ferdi sambil mengurut-urut dagunya.
            “Ish! Gila kau. Baru dua hari takkan aku nak sangkut kat junior pulak? Jatuhlah martabat aku sebagai Pengerusi MPP.” Shafwan menyelak rambutnya yang terjuntai di dahi.
            “Sudahlah kau. Ni aku nak balik dah. Malam ni ada taklimat lagi ke?” soal Ferdi seraya bangun dan menggalas beg gitarnya.
            “Ada. Macam biasalah aku balik lambat. Bagitau mak dengan abah.” Jawab Shafwan.
            Ferdi hanya mengangguk kemudian terus keluar dari bilik tersebut.