Follower Tersayang

Tuesday, January 17, 2012

Seindah Diari Cinta - Bab 5


5
PERLAHAN-LAHAN Azzalea mendekati seorang gadis yang sedang menelaah pelajaran di perpustakaan. Gadis itu memilih untuk duduk di meja persendirian di satu sudut perpustakaan itu. Dia masih menanti respons gadis yang sedang leka membaca. Kertas di tangannya di pegang erat. Azzalea sengaja batuk-batuk kecil. Gadis itu masih leka membaca buku di tangannya.
            “Ehem! Assalamualaikum, kak.” Tegur Azzalea takut-takut. Hmm! Muka dia ni pun garang macam si Shafwan sewel tu jugak! Azzalea mengerling gadis yang hanya memandang sekilas dia yang terpacak di depan.
            “Hm! Kau nak apa?” soal gadis itu kasar. Dia kembali sambung bacannya.
            “Saya… Saya…” Azzalea jadi gagap pula bila terdengar suara gadis itu yang agak kaku dan dingin. Tidak seperti Ferdi Amirul.
            “Kau ni nak apa? Jangan buang masa aku boleh tak?”
            Terangkat bahu Azzalea apabila disergah begitu. Dia mengurut dadanya perlahan. Kalau hari-hari macam ni boleh gugur jantung aku! Dia menjeling paras gadis yang masam mencuka itu.
            “Saya nak minta tandatangan. Ni dia…” Azzalea meletakkan kertas yang tak serupa kertas itu di atas meja.
            Gadis itu memandang kertas tersebut dan memandang pula wajah Azzalea. Dia menghempaskan bukunya di atas meja.
            “Apa ni?” soalnya sambil mengambil dengan dua jari iaitu ibu jari dan jari telunjuk, petanda geli mahu memegang kertas yang hampir terkoyak itu.
            Azzalea mengerling lagi kelakuan gadis itu. Eleh! Kertas tu pun nak geli! Dasar mengada-ngada! Azzalea menyumpah seranah di dalam hati. Dia mendengus keras sedikit nafasnya.
            “Hoi! Aku tanya ni jawablah!” dikeraskan sedikit suaranya bila Azzalea hanya diam membisu.
            “Kertaslah.” Jawab Azzalea pendek. Hahaha! Ingat aku tak berani melawan? Azzalea tersenyum-senyum sendiri.
            Gadis itu hanya menjeling tajam. Huh! Dia ni belum kenal siapa aku agaknya! Main-main pulak!
            “Aku taulah kertas! Sengal betul budak ni!” Gadis itu masih menjeling. Dia membaca nota yang dikepilkan kemudian kelihatan dia tersenyum sedikit. “Oh… Kena denda rupanya! Padan muka kau!” ejek gadis itu sambil ketawa perlahan.
            “Kak, saya nak minta akak tandatangan kat situ. Boleh tak?” soal Azzalea masih sopan.
            “Kalau aku tak nak tandatangan macam mana?” soal gadis itu sambil menjungkitkan kedua-dua keningnya. Dia masih tersenyum mengejek.
            “Kalau macam tu susahlah saya, kak. Nanti Encik Shafwan denda saya lagi. Saya mintak tolong sangat dengan akak tandatangan kat kertas tu.” rayu Azzalea. Dia hampir menangis bila terkenangkan wajah bengis Shafwan.
            “Bila aku jadi kakak kau?” soal gadis itu sinis.
            Azzalea terdiam dengan sergahan itu. Mereka berdua memandang sekeliling. Risau juga kalau-kalau suara mereka mengganggu pelajar-pelajar lain. Kemudian gadis itu memandang Azzalea semula.
            “Kau tau siapa Shafwan tu?” soal gadis itu.
            “Tau. Dia ketua MPP. Semua orang pun kenal dia.” balas Azzalea jujur. Dia mula malas mahu melayan gadis yang banyak songeh itu.
            “Itu aku taulah bodoh! Ish… Kenapalah junior-junior sekarang ni otak macam siput ya? Kalau kau nak tau, Shafwan tu boyfriend aku!” balas gadis itu bangga.
            “Patutlah pun…” ngomel Azzalea tanpa dia sedar.
            “Apa yang patut?” soal gadis itu lagi.
            “Err… Tak! Memang patutlah kakak dengan Encik Shafwan tu. Sepadan bagai pinang dibelah dua.” Balas Azzalea sambil tersengih-sengih.
            Gadis itu tersenyum sambil memintal-mintal rambut perangnya.
            “Mestilah! Kalau kau nak tau, akulah awek paling hot kat kampus ni.”
            Huh! Memang patutlah pun kau orang berdua jadi kekasih hati! Seorang garang nak mampus! Seorang lagi perasan lebih! Memang dah kena dah tu! Dah bertemu buku dengan ruasnya.
            “Kalau macam tu, boleh tolong saya tandatangan kat situ tak, kak?” soal Azzalea lagi. Terseksa betul batinnya kalau dia terus berada di depan gadis yang perasan cantik itu. Tak sedar wajahnya ditumbuhi banyak jerawat batu.
            Gadis itu tersenyum pula. Dia mencapai pen dan terus tandatangan di tempat yang sepatutnya.
            Azzalea menarik nafas lega bila gadis itu menyerahkan kertas renyuk itu kepadanya. Dia melihat tandatangan yang bersimpul-simpul itu. ‘Rihana namanya…’ kata Azzalea di dalam hati.
            “Kirim salam kat buah hati aku tu, ya?” balas Rihana sambil tersenyum simpul. Tubuhnya mula meliuk-lentuk macam perempuan gedik.
            “Nanti saya sampaikan. Terima kasih, ya.” ucap Azzalea dan cepat-cepat berlalu dari situ. Malas dia mahu mendengar lagi omelan Rihana.
            “Ish! Kalau ada sepuluh lagi orang macam Rihana ni, boleh mati kering aku!” Azzalea berjalan laju-laju sambil membaca siapa lagi orang yang harus dia temui.
            “Opocot mak kau!” latah Azzalea. Hampir sahaja dia terduduk bila bahunya berlaga dengan lengan sasa lelaki itu.
            Azzalea mendongak melihat siapa yang bertembung dengannya. Wajah garang Shafwan terlihat lagi.
            “Ma.. Maaf Encik Shafwan! Saya betul-betul tak sengaja.” Ujar Azzalea takut-takut.
            “Shhh!!!” Shafwan meletakkan jari telunjuk di bibirnya. Dia memerhati sekeliling. Kemudian dia mengintai melalui cermin kaca di perpustakaan itu.
            Azzalea yang memerhati, pelik dengan tindakan Shafwan yang seperti takutkan sesuatu.
            “Encik Shafwan kenapa?” soal Azzalea bila dia rimas dengan kelakuan Shafwan yang seperti takutkan sesuatu.
            “Awak ada nampak Rihana?” soal Shafwan perlahan.
            “Ada! Dia ada kat dalam…”
            “Bisinglah kau ni!” spontan Shafwan menekup mulut Azzalea sehingga gadis itu tergamam dan kaku dengan tindakannya.
Kenapa pulak si mamat ni? Tiba-tiba nampak macam penakut pulak? Kalau tak tu suara dialah yang boleh gegarkan seluruh kampus ni! Huh…
“Kenapa Encik Shafwan takut dengan Rihana ke? Diakan girlfriend encik. Takkan takut kut?” soal Azzalea jujur.
Mata Shafwan terbuntang apabila dengar kata-kata yang keluar dari mulut Azzalea. Rasa mahu dicekik-cekik sahaja leher gadis itu. Sesedap rasa aje kata Rihana tu girlfriend aku?
“Woi! Siapa kata Rihana tu girlfriend saya?” soal Shafwan agak keras tetapi matanya masih melingas untuk berjaga-jaga.
Terkerdip-kerdip mata Azzalea apabila suara Shafwan mula seperti halilintar membelah awan. Dia mendengus perlahan.
“Tadi saya jumpa Rihana. Mintak tandatangan dia macam Encik Shafwan suruh. Dia yang kata Encik Shafwan ni boyfriend dia. Ha! Dia kirim salam tadi.” balas Azzalea. Kali ini dia tersengih-sengih pula.
            Wajah Shafwan mula berkerut kemudian dia buat-buat nak muntah pula. Azzalea yang melihat mula rasa hairan.
            “Kenapa? Encik Shafwan tak suka ke?” soal Azzalea hairan.
            “Memang saya tak suka. Menyesal saya suruh awak minta tandatangan dia. Kalau dia salah seorang pelajar yang tak berpengaruh, tak ingin saya nak suruh awak jumpa dia. Ish!” Shafwan bersandar di tingkap kaca dan mula memeluk tubuh.
            Azzalea tersenyum. Dia memandang lelaki itu atas ke bawah. Mesti si Rihana tu peminat fanatik Encik Shafwan. Hahaha… Tak sangka Encik Shafwan yang garang ni ada peminat fanatik.
            “Kenapa Encik Shafwan cakap macam tu? Rihana tukan cantik.” Balas Azzalea.
            Lipat maut kepala Shafwan berpaling merenung Azzalea di sebelah. Dari wajah Azzalea ceria terus bertukar menjadi terkulat-kulat bila mata helang Shafwan merenung tajam ke arahnya.
            “Awak tak tahu apa-apa. Saya yang terseksa tahu tak? Si Rihana tu ada kat dalamlah ya?” soal Shafwan kembali kepada pucuk persoalan.
            “Ada…” balas Azzalea lemah.
            “Kalau macam tu saya tak jadi masuk library. Eh! Awak ni duduk sini ni dah habis ke orang-orang yang saya suruh cari?” soal Shafwan. Nadanya mula tinggi sedikit.
            “Belum…” Azzalea masih lemah menjawab. Bosan betul dia dengan hukuman yang dikenakan. Sudahlah dia tak kenal senior-senior kat sini, disuruh pula cari orang-orang yang dia tak kenal. Menyampah! Azzalea mengerling wajah Shafwan di sebelah. Lelaki itu hanya tahu merenung tajam macam harimau sepuluh hari tak makan!
            “Iyalah… Iyalah… Saya pergi ni.” Azzalea mengangkat kaki malas menuju ke tangga untuk turun ke bawah.

KAFE TANJUNG ramai dengan pelajar-pelajar baru yang sedang makan tengah hari waktu itu. Azzalea resah menunggu Maisera tiba. Sekejap-sekejap dia melirik jam di pergelangan tangan. Sekejap-sekejap dia melihat kertas di tangannya. Kemudian dia melilau memandang sekeliling mencari kelibat Maisera yang tidak nampak batang hidung lagi.
            “Lea!” jerit Maisera dari jauh lagi. Dia melambai-lambai sambil menghampiri tempat duduk Azzalea.
            Azzalea juga turut melambai.
            “Kenapa kau lambat? Jenuh aku tunggu.” Rungut Azzalea sambil menyambut bekas makanan di tangan Maisera.
            Sorrylah. Tadi aku jumpa Kak Dariah.” Ujar Maisera sambil menyudu nasi campur ke dalam mulutnya.
            “Kau jumpa akak tu buat apa?” soal Azzalea. Dia juga cepat-cepat makan. Masa yang tinggal tak banyak lagi. Dia harus mencukupkan tandatangan yang diminta oleh Shafwan.
            “Aku mintak rayuan kat dia, suruh dia cakap kat Encik Shafwan kau tu ringankan hukuman kau. Lagipun kita sekarang ni dalam sesi orientasi. Kalau kau asyik kena denda aje, bila yang kau ni nak fokus kat maklumat-maklumat yang kita perlu tau ni. Waktu orientasi ni aje yang dia orang nak briefing macam-macam. Kalau kau ketinggalan, macam mana nak faham semuanya?” Maisera mula membebel. Tangan dan mulutnya sama cergas apabila bergerak.
            Azzalea yang mendengar terkejut dengan kata-kata Maisera. Berani betul dia ni? Makanan yang di jamah separuh sahaja. Tiba-tiba dia jadi tak selera bila nama Shafwan kedengaran.
            “Kau dah gila ke Sera? Kalau dia terima rayuan kau tu tak apa jugak. Buatnya dia tambah lagi denda kat aku macam mana?” soal Azzalea sedikit meninggi.
            Cepat-cepat Maisera meletakan jari telunjuknya ke bibir sambil matanya memandang sekeliling. Beberapa pasang mata mula memandang ke arah mereka berdua.
            “Aku cuma nak tolong kau aje. Aku kesianlah kat kau, Lea. Aku tak ada niat pun nak susahkan kau lagi.” Balas Maisera dengan nada sedih.
            Azzalea mengeluh. Terasa bersalah pula bila dia memarahi kawannya itu. Dalam kampus itu dia hanya ada Maisera. Tak baik pula dia buat begitu.
            “Aku faham niat kau, Sera. Aku pun bukan suka asyik kena denda macam ni. Aku akan pastikan ini denda aku yang terakhir. Aku tak nak cari pasal dah.” Ujar Azzalea perlahan memujuk Maisera.
            “Tak apa, Kak Dariah tu baik orangnya. Kalau dia rasa perkara tu akan bertambah buruk, tak mungkin dia sampaikan kat Encik Shafwankan? Rilekslah…” Maisera tersengih-sengih pula.
            “Betul jugak. Aku tak boleh lama ni, Sera. Denda aku masih berjalan lagi ni.” wajah Azzalea mula cemberut. Malas betul mahu melayan perkara-perkara yang memenatkan ini.
            “Banyak lagi ke orang yang kau kena cari?” soal Maisera sambil membelek kertas yang terlipat di atas meja. “Ya Allah, Lea. Kau makan ke apa kertas ni? Dah nak terkoyak dah.” Maisera tersengih sendiri.
            “Tu la kau tak tau azab yang aku kena tanggung. Setiap orang aku jumpa, semua lain-lain perangai. Ada minah gila ni lagi buat aku sakit hati. Huh!” Azzalea menjeling tajam Maisera yang tersengih di depannya.
            “Siapa?” soal Maisera teruja ingin tahu.
            Azzalea mendekatan wajahnya ke arah Maisera untuk berbisik. Dia risau kalau-kalau Rihana dan Shafwan ada di sekitar situ.
            “Perempuan tu namanya Rihana. Dia ni aku rasa peminat fanatik kat Encik Shafwan.” Azzalea menekup mulutnya.
            Mata Maisera bulat mendengar kata-kata Azzalea. Biar betul segarang-garang Encik Shafwan ada peminat. Fanatik pulak tu! Maisera menggeleng kepala tanda tidak percaya.
            “Macam mana orangnya? Mesti cantikkan. Encik Shafwan tu pun boleh tahan.” Balas Maisera.
            “Cantik tu memanglah cantik. Tapi garang! Aku nak mintak tandatangan dia sikit punya lama. Bila dengar nama Encik Shafwan terus keluar gedik-gedik dia.” Azzalea tidak dapat menahan ketawa. Dihamburkan di situ juga.
            “Ish! Tak sabar aku nak tengok orangnya.” Balas Maisera.
            “Nanti kalau terjumpa aku tunjuklah. Ferdi pun aku tak nampak batang hidung. Kalau tak boleh aku kenalkan kat kau.” Azzalea menyisir rambutnya. Jam di dinding Kafe Tanjung dilirik. Hampir ke jam 2.00 petang.
            “Eh, aku kena gerak dululah. Nanti mengamuk pulak Encik Shafwan tu kalau aku tak dapat semua tandatangan mengarut ni!” rungut Azzalea sambil berdiri. Kemudian dia terus berlalu dari situ dengan terburu-buru.
            Maisera simpati melihat nasib Azzalea yang sering dibuli oleh Shafwan. Nak kata Shafwan sukakan Azzalea, tak nampak tanda-tanda pun. Maisera juga turut berlalu dari situ dan menyertai kumpulannya.

No comments: