Follower Tersayang

Wednesday, February 22, 2012

Seindah Diari Cinta - Bab 10

*Perhatian : Seindah Diari Cinta dalam proses untuk diterbitkan. Cover dan juga tajuk akan diubah sepenuhnya. Terima kasih kepada anda yang sudi membaca. Nantikan novel saya dalam versi cetak. :) Luv all ...

 
10
PETIKAN gitar terus berlagu di luar dewan selepas majlis berakhir. Maisera sudah selamat pulang dengan Anida. Katanya tak mahu kacau daun! Siut punya budak! Aku dibiarkan berdua-duaan dengan Ferdi! Kalau Ferdi apa-apakan aku nanti macam mana? Amboi… Sampai ke situ fikiran kau, Azzalea. Hehehe.
            Tambahan pula Ferdi juga beriya-iya mahu menemaninya pulang ke hostel. Nasib baik tak jauh sangat. Itupun dia tetap berdegil nak hantarkan juga. Azzalea melihat sekelilingnya. Ah! Ramai lagi yang bercengkerama rupanya. Apa salahnya aku hirup udara malam ni sekejap.
            “Terima kasih sebab tolong saya. Kalau tak ada awak, saya rasa mesti saya buat jalan itik tu.” ucap Azzalea tersipu-sipu malu.
            Kedengaran Ferdi ketawa halus. Azzalea memandang sisi Ferdi yang masih lagi ketawa. Dia mengerut.
            “Kenapa ketawa?” soal Azzalea lagi.
            “Saya tak dapat bayangkan kalau awak terpaksa jalan itik. Mesti buruk rupanya!” Hahaha. Ferdi tak dapat mengawal tawanya.
            Azzalea mengetap bibir geram. Amboi, amboi! Gelak besar nampaknya! Tak boleh jadi ni. Azzalea pantas menampar lengan Ferdi dengan segulung kertas yang diberikan kepada setiap pelajar mengenai atur cara majlis malam itu.
            “Sanggup awak bayangkan, ya! Tapi apa-apapun saya nak ucap terima kasih banyak-banyak sebab tolong saya tadi. Tak sangka betul saya akan kena. Saya rasa mesti ada yang sabotaj saya.” Balas Azzalea. Dalam fikirannya tak ada wajah lain selain Shafwan.
            “Wah… Popular sangatlah awak ni sampai ada yang cemburu nak sabotaj awak.” Usik Ferdi sambil ketawa kecil.
            Azzalea hanya tersenyum sambil menggeleng. Ferdi tak tahu apa yang berlaku antara dia dan Shafwan.
            “Awak rapat dengan Encik Shafwan?” soal Azzalea sambil memandang wajah Ferdi sekilas.
            Ferdi diam memikir. Apa aku patut terus terang atau diamkan aje? Kalau terus-terang memang sah-sah tak dapat jalankan misi yang aku dah fikir lama ni.
            “Err.. Kenal dia sebab dia ketua MPP kita.” Balas Ferdi sambil menggaru kepala. Rasa bersalah pula bila berbohong begitu.
            “Saya rasa dia tu teruklah! Tak ada hati perut! Macam mana awak boleh kata dia tu baik? Saya tak fahamlah. Tak ada apa yang baik kat mata saya. Apa yang saya tahu dia tu asyik nak marah-marah.” Rungut Azzalea.
            Mereka berjalan menelurusi jambatan yang menghubungkan Dewan Kemboja dan Taman Saujana yang lengkap dengan kolam air pancur. Lampu-lampu berwarna hijau menyerlahkan lagi tempat itu yang sememangnya penuh dengan tumbuhan hijau.
            “Mungkin awak tak kenal dia lagi kut?” soal Ferdi cuba untuk menduga hati Azzalea.
            “Ish! Saya tak faham betullah. Betul ke awak ni tak rapat dengan Encik Shafwan? Awak macam sebelahkan dia aje.” Protes Azzalea. Dia mengerling wajah Ferdi dengan ekor mata.
            Ferdi ketawa. Perlahan dan romantik. Wajah Azzalea ditenung lama. Dia mengerdipkan mata tanda menyuruh Azzalea mempercayainya. Entah kenapa Azzalea rasa pipinya panas dan wajahnya mula kemerahan.
            Ish! Kenapa nak pandang macam tu tengah-tengah malam ni? Seramnya! Azzalea memerhati sekeliling Taman Saujana.
            “Cantikkan? Rasa macam nak duduk lama-lama kat sini. Tapi dah tengah malam pulak. Karang nampak benda lain susah.” Azzalea tersengih.
            “Tak apa. Sayakan ada?” jawab Ferdi. Ringkas tapi cukup membuaikan perasaan Azzalea.
            Mereka berdua mula tak keruan. Azzalea tersipu-sipu malu tetapi Ferdi terasa bersalah pula. Dia tak mahu Azzalea fikir yang bukan-bukan tentang dirinya.
            “Erm… Jom saya temankan awak balik.” Ferdi memutuskan untuk menghantar Azzalea pulang ke hostelnya.

DARI awal pertemuan mereka sehinggalah Ferdi menghantar Azzalea pulang, ada seseorang yang memerhati. Memang tak puas betul rasa hatinya apabila Ferdi cuba rapat dengan gadis itu. Cis! Perempuan tu jugak yang kau kejar Ferdi. Banyak lagi perempuan lain.
            Shafwan mengeluh perlahan. Dia tak sangka Ferdi boleh rapat dengan Azzalea. Gadis yang selalu menyakitkan hatinya! Gadis yang selalu buat dia rasa nak buli terus. Gadis yang bila dia marah, wajahnya biasa-biasa aje. Gadis yang suka lawan cakap-cakapnya. Biarpun nadanya perlahan, tetapi kata-kata dari Azzalea selalu sahaja menjengkelkan.
            Tetapi… kadang-kadang dia suka tengok Azzalea marah. Sebab itu dia suka buat perkara yang mendatangkan kemarahan gadis itu. Dia suka lihat wajah gadis itu kemerahan menahan marahnya. Gadis yang suka protes kerana tak dapat melepaskan kemarahannya. Mahu melawan tapi tahu dia tak punya kuasa itu.
            Shafwan tersenyum pula. Dia tak pernah lupa akan senyuman Azzalea. Gelak ketawa Azzalea bila bersama Maisera. Kadang-kadang mengetuk kepala kawannya itu sesuka hati. Kemudian Shafwan tersedar, apahal pulak sampai ke situ aku fikirkan dia? Takkan aku sukakan dia kut? Tak mungkin…
            Dalam dia sibuk berperang dengan perasaannya sendiri, kedengaran gelak ketawa dari Azzalea yang bersabung dengan Ferdi. Shafwan terus setia memerhati kedua-duanya yang mula bergerak menuju ke arah hostel.
            Shafwan juga turut meninggalkan Taman Saujana. Dia yang bersembunyi di balik pohon yang merimbun, bergerak pergi. Aduh! Kerja gila pulak aku buat sampai menghendap! Kalau pelajar lain tau, mesti dia orang semua ingat aku ni angaukan Azzalea! Huh! Buang masa aje.
           
SEWAKTU masuk ke dalam bilik, Azzalea masih tersengih-sengih sampaikan Maisera naik meluat melihatnya. Dari masuk sehinggalah Azzalea terbaring di atas katil, dia masih lagi tersenyum sambil bermain dengan rantainya sendiri.
            “Sudah-sudahlah tu. Pergilah mandi, ganti baju!” Maisera yang sedang membaca majalah mengerling Azzalea seketika sebelum menyambung pembacaannya semula.
            “Seronoknya, Sera! Esok kita dah mula kelas! Dah tak ada lagi orientasi! Tak payah aku nak menghadap muka si mamat sewel tu!” Azzalea duduk di birai katil pula. Dia menggeliat seketika.
            Maisera dari meniarap kini dia baring pula. Tersenyum memandang Azzalea yang masih berangan entah apa-apa.
            “Siapa kata kau terlepas dari Encik Shafwan? Tu? Baju-baju dia kau belum lipat lagi. Dah kering dah tu.” Panjang muncung Maisera menunjuk baju-baju milik Shafwan.
            Senyuman yang tersungging di bibir Azzalea terus mati apabila terpandangkan baju-baju tersebut yang masih bergantungan.
            “Ish! Esok kena menghadap muka dia lagi! Aku harap-harap esok last aku jumpa dia.” rungut Azzalea sambil mencapai baju-baju yang bergantungan itu. membentak-bentak sahaja kerjanya.
            Maisera sudah gelakkan Azzalea. Panjang muncung Azzalea apabila mengenangkan sikap Shafwan.
            “Apa cerita tadi? Kau orang buat apa ha…?” usik Maisera sambil terus duduk di atas katil menghadap Azzalea yang sedang mengeluarkan penyangkut baju dari baju jersi tersebut.
            “Buat apa? Kau ni suka fikir bukan-bukan kan? Kita orang berbual ajelah.” Azzalea tersenyum malu sambil tangannya lincah melipat baju Shafwan. Ikutkan hatinya mahu sahaja dikoyak-koyakkan baju tersebut.
            “Iyalah! Kau orang berbual apa? Nasib baik aku balik dengan Anida. Kalau tak nanti aku kacau daun aje.” Maisera sudah tergelak besar.
            Seluar jersi pendek yang ada di tangan Azzalea dibaling tepat ke wajah Maisera. Terjerit-jerit Maisera apabila seluar itu terkena wajahnya. Nasib baik dah berbasuh. Kalau masih belum basuh, mesti aku pengsan! Teruk betul Lea ni!
            “Kita orang tak berbual apa pun. Saja kenal-kenal. Tapikan… aku rasa Ferdi tu romantiklah. Dari senyum dia aku dapat rasakan dia ikhlas. Dari renungan dia. Semualah! Kalau dia tak tolong aku, mesti si mamat sewel tu berjaya kenakan aku.” balas Azzalea.
Sedih dan lirih. Memang dia tak faham kenapa Shafwan tak boleh berbaik dengan dia sedangkan dengan pelajar lain dia sangat manis tersenyum dan melayan mereka dengan ramah. Padahal mereka semua sama seperti dia. Pelajar tahun satu.
            “Sabarlah, Lea. Kau jugak yang kata esok last kau jumpa dia. Mana tau lepas ni dia memang tak kacau kau lagi dah? Anggap aje masa orientasi tu dia nak mengajar kita berdikari.” Nasihat Maisera.
Tetapi dia sendiri tak yakin dengan nasihatnya sendiri. Apa-apapun Maisera tahu, pasti ada sesuatu dalam hati Shafwan yang orang lain tak tahu.

No comments: