Follower Tersayang

Monday, February 20, 2012

Seindah Diari Cinta - Bab 8


8
MAISERA yang baru sahaja membancuh secawan Nescafe, hairan dan hanya memerhati tingkah laku Azzalea. Mug yang berisi air panas itu diletak berhati-hati di atas meja belajarnya.
            Maisera hanya bersandar di meja sambil berpeluk tubuh. Kelihatan Azzalea sedang sibuk ke hulu ke hilir mengganti baju. Bila dah tak tahan dan pening melihat Azzalea yang seolah-olah tak pernah penat berjalan akhirnya Maisera bersuara.       
            “Kau nak ke mana ni? Dah macam ayam nak bertelur aje aku tengok.”
            “Aku nak ke bilik Encik Shafwan!” jawab Azzalea dengan wajah masam mencuka. Sengaja dia menekankan perkataan ‘encik.’
            “Nak buat apa?” soal Maisera lagi.
            “Nak buat apa kau tanya? Tu nak baling semua kain baju tu depan muka dia!” Selesai mengikat rambut ala kadar, Azzalea melangkah laju dan mengangkat bakul yang diletakkan di sudut pintu almarinya. Kurang ajar punya mamat! Ingat aku ni bibik dia agaknya!
            “Eh! Baik jangan! Nanti aku takut dia tambah lagi denda kat kau!” tegah vMaisera. Risau pula kalau Azzalea mengamuk di bilik MPP nanti.
            “Aku peduli apa? Aku dah tak kisah dah, Sera. Apa nak jadi, jadilah. Dia kena ingat yang dia tak boleh buat ikut suka hati dia.” balas Azzalea.
            “Aku tau! Tapi dia tu orang yang berpengaruh kat kolej ni, Lea. Esok-esok kita akan jumpa dia jugak.” Maisera masih cuba menasihati kawannya yang betul-betul sedang marah itu.
            “Huh!” Azzalea mendengus sambil berpeluk tubuh. Dia memaling wajahnya dari terus memandang wajah Maisera. “Kalau kau tak cakap apa-apa kat Kak Dariah, mesti semua benda ni tak jadi.” Sambung Azzalea.
            Maisera tersentak mendengar rungutan kawan baiknya itu. Dia terdiam seketika. Bila Azzalea berkata begitu, dia tak tahu nak buat apa. Akhirnya dia hanya diam menunduk.
            Azzalea tidak sedar kata-katanya mengguris hati Maisera. Bila kata-katanya tidak mendapat respons, Azzalea memanggung kepala memandang ke arah Maisera yang sudah terduduk di birai katil sambil tertunduk merenung lantai. Ibu jari kakinya menguis sesama sendiri. Azaalea jadi serba salah. Menyesal pula bila bibirnya lancang menuturkan kata-kata. Mesti minah ni merajuk! Kenapalah aku ni kalau nak bercakap tak fikir dulu tadi? Huh…
            “Alalala… Sorrylah Sera. Aku tak ada niat nak kecikkan hati kau. Jangan marah aku ekh?” Azzalea segera menghampiri Maisera yang masih membatukan diri.
            “Aku tak marah kau.” balas Maisera walaupun lambat. Perlahan sahaja suaranya. Dia takut kalau dia bercakap banyak nanti air matanya merembes keluar pula.
            “Aku tak sengaja. Aku cuma.. Cuma geramkan si Shafwan tu aje.” Azzalea bela dirinya lagi. Dia memeluk bahu Maisera sambil mengusap-usapnya perlahan.
            Maisera masih tunduk. Dia cuba mengalihkan tangan Azzalea yang masih mengusap lembut bahunya.
            “Ish! Janganlah macam ni, Sera. Aku tau aku salah. Janganlah merajuk dengan aku. Aku tak salahkan kau pun. Sikit pun aku tak salahkan kau. Aku tau kau nak tolong aku, tapi dah namanya Shafwan tu hati dia keras macam batu, tak boleh terima cadangan orang lain agaknya.” Terang Azzalea panjang lebar. Dia menarik perlahan dagu Maisera. Macam manalah dia boleh terlupa yang Maisera ini sensitif orangnya.
            “Aku tau, aku sedar akulah punca segala-galanya dari awal kita masuk kolej ni lagi. Aku yang menyebabkan hubungan kau dengan Encik Shafwan tu tak berapa baik. Maafkan aku, Lea. Aku tak sangka akan jadi macam ni. Kalau boleh aku nak ganti tempat kau. Biar aku yang kena denda.” Maisera serta-merta berdiri.
 “Biar aku yang basuh baju-baju tu.” Maisera berjalan pantas mendapatkan bakul sepi yang terperuk di sudut pintu almari milik Azzalea. Bakul tersebut diangkat dan dikelek di pinggangnya. Maisera berjalan laju menuju ke tandas di hujung koridor tingkatnya.

“SERA, nanti!” belum sempat Azzalea menghalang, Maisera sudah mencampakkan kain baju milik Shafwan ke dalam besen besar. Sabun serbuk juga sudah selamat dituang ke dalam besen tersebut.
            Azzalea hanya memandang lemah apabila Maisera terus sahaja mengisi besen tersebut dengan air sehingga separuh penuh.
            “Kau tak payah cakap apa-apa. Lea. Biar aku yang buat semuanya. Kalau boleh aku nak hantarkan depan muka pintu bilik Encik Shafwan tapi aku takut nanti kau kena denda lagi.” Maisera membebel sambil tangannya lincah menggonyoh baju kotor itu.
            Azzalea mendengus geram. Geramkan Shafwan yang membuatkan hubungan dia dan Maisera mula menampakkan bunga-bunga pertengkaran. Padahal dia dan Maisera tak pernah pun berselisih faham. Selama ini hanya Maisera sahaja yang sudi menjadi pendegar setianya.
            “Tak apalah kalau macam tu. Jomlah kita basuh sama-sama.” Keluh Azzalea. Dia sama bertinggung dengan Maisera untuk membasuh baju-baju kotor yang disaluti lumpur itu. Naik geli pula mereka mahu membersihkannya.
            “Maafkan aku ekh, Sera. Tak bestlah kau merajuk sampai panjang-panjang muncung macam ni! Takkan kita nak gaduh sebab si mamat sewel tu kut?” sambung Azzalea sambil tersengih. Dia menjentik buih-buih sabun yang semakin membesar ke wajah Maisera.
            Maisera membulatkan matanya apabila buih-buih sabun itu mengenai batang hidungnya. Dia membalas kembali. Terjerit-jerit mereka saling membalas sehingga kedua-duanya basah lencun.
            “Gilalah kita ni…” ujar Maisera tercungap-cungap.
            Azzalea masih lagi ketawa. Mereka sama-sama sudah terduduk di lantai tandas. Di situ memang tersedia ruangan untuk mencuci pakaian.
            Selesai mencuci mereka segera menjemurnya pula. Maisera dan Azzalea saling berpandangan dan tersenyum. Azzalea mengerling baju jersi yang meliuk-liuk apabila ditiup angin. Harap-harap cepatlah kering baju oi! Aku dah tak sanggup tengok baju ni! Tengok baju ni samalah macam aku tengok tuan punya baju! Huh…   “Dah, jom kita beli makanan kat Kafe Tanjung. Kita bungkus ajelah, makan kat bilik.” Maisera memaut bahu Azzalea walaupun tak berapa sampai kerana Azzalea jauh lebih tinggi darinya yang kecil molek.

KEKENYANGAN menyebabkan mereka tersandar di kepala katil masing-masing. Mata mereka juga sudah kuyu. Alamatnya sekejap lagi memang hanyutlah mereka. Tambahan pula hari itu memang tidak ada aktiviti sehingga waktu malam mereka mengadakan malam persembahan untuk pelajar-pelajar baru.
            “Lea, pergilah ambil baju-baju yang tergantung kat ruang tengah tu. Nanti kalau hilang ke kan susah.” Ujar Maisera. Suaranya malas sahaja.
            “Belum keringlah.” Balas Azzalea sambil menyelesakan dirinya di atas katil. Bantal di sisinya dipeluk erat sambil memejamkan mata. Rasa mengantuk mula bertandang.
            “Memanglah tak kering lagi. Tapi baik kau ambik sebelum apa-apa berlaku.” Balas Maisera kembali.
            Dengan malas Azzalea bangkit juga. Geram betul bila dia lihat Maisera yang sedang sedap baring membelakangkannya. Azzalea tersenyum nakal. Tak semena-mena dia menepuk punggung Maisera sebelum berlari keluar dari biliknya. Azzalea ketawa pula apabila terdengar sayup-sayup suara Maisera menjerit memarahinya.
            Beberapa minit kemudian Azzalea kembali semula dengan bakul yang dikelek di pinggangnya. Dia kembali menggantung baju-baju tersebut. Bukan hanya baju, seluar jersi pendek dua helai, stoking dua helai, baju juga dua helai. Nasib baik dia tak bagi seluar kecik dia sekali! Kalau ada benda alah tu, memang betul-betul aku campak kat muka dia! Huh!
            Selesai menggantung di tingkap bilik dia kembali baring untuk merehatkan badan. Belum pun lama dia baring, ketukan di pintu pula bertalu-talu. Makin dibiarkan makin menjadi-jadi pula kuatnya. Terpaksalah Azzalea bangkit untuk membuka pintu.
            Dari dalam kedengaran suara seseorang sedang memanggil-manggil namanya dan nama Maisera. Azzalea melekapkan telinganya di daun pintu. Eh, suara macam kenal.
            “Azzalea, Maisera, lebih baik awak buka cepat pintu ni. Kalau tak saya terpaksa pakai kunci pendua yang ada dengan saya!” jerit suara itu dari luar.
            Azzalea yang mula cam dengan suara yang menjerit-jerit di luar itu. Ni mesti Cik Bedah Ketom si warden yang cerewet gila ni! Dengan pantas Azzalea mencicit lari mendapatkan Maisera yang masih lagi nyenyak tidur akibat kekenyangan.
            “Sera! Sera! Bangun! Cik Bedah Ketom kat luar!” sebut sahaja nama Cik Bedah Ketom, Maisera bingkas bangun dengan mata terbeliak.
Siapa yang tidak kenal dengan Cik Bedah Ketom. Nama ‘manja’ warden hostel yang masih bujang walaupun umur sudah menjangkau 40-an itu diberi oleh para penghuni hostel sejak turun temurun. Nama sebenarnya Zubaidah Kalsom yang sedap itu telah ditukar kepada Cik Bedah Ketom kerana sikapnya yang sangat cerewet dan selalu memantau apa sahaja kegiatan para penghuni hostel yang di bawah jagaannya.
            Cik Bedah Ketom bukan tak tahu nama gelaran yang diberikan oleh para pelajar, tetapi dia malas mahu melayan. Kalau dia tanya pun pasti tidak ada siapa yang nak mengaku. Janji dia melakukan tanggungjawabnya! Sudahnya, sampai ke sekian kalinya nama Cik Bedah Ketom itu begitu popular di hostel.
            “Apa Cik Bedah Ketom tu nak?!” soal Maisera sambil kelam-kabut mengikat rambutnya.
            “Aku rasa ni mesti ada kena-mengena dengan benda-benda yang tergantung tu!” jawab Azzalea.
            Mereka saling berpandangan untuk beberapa ketika. Masing-masing bagai dapat membaca isi hati masing-masing. Mereka cepat-cepat menggapai baju-baju yang tergantung.
            “Weh, nak sorok kat mana ni?” Maisera kelihatan cemas. Dia berlari ke hulu ke hilir sambil memikir di mana tempat yang sesuai hendak diletakkan baju-baju milik Shafwan.
            “Aku rasa baik letak dalam kotak makanan kau! Ha! Gerenti Cik Bedah Ketom tak check! Takkan dia nak panjat rak atas tu semata-mata nak bukti! Badan diakan semangat! Hihihi...” Sempat lagi Azzalea ketawa.
            Maisera memandang kotak makanan yang menempatkan biskut, roti, nestum dan minuman paket 3 dalam satu. Dia segera memanjat kerusi dan mencapai kotak makanan tersebut.
            “Cepat, Sera! Nanti jadi hijau pulak Cik Bedah Ketom kat luar tu!” ujar Azzalea.
            Maisera mengangguk sekali. Pantas sahaja tangannya melipat kecil-kecil dan ala kadar untuk menyembunyikan baju-baju tersebut. Hantu punya Shafwan! Pasal kau aje buat kita orang dah kena suspek dengan Cik Bedah Ketom.
            “Dah! Baik kau pergi bukak pintu tu!” arah Maisera.
            Azzalea sudah berlari-lari anak menuju  ke daun pintu.
            “Eh! Nanti! Nanti!”
            “Ish! Kau ni apa lagi! Dah memekak kat luar tulah!” bisik Azzalea dengan suara keras. Dia hampir-hampir pulas tombol pintu tapi ditegah pula oleh Maisera. Apa lagi helah kawannya ini.
            “Kau ingat dengan muka suci macam ni, Cik Bedah Ketom tak tanya kau ke kenapa lambat bukak pintu?” soal Maisera sinis. “Baik kau kusut-masaikan rambut kau tu. Muka tu buat-buat mengantuk! Menguap besar-besar depan dia.” sambung Maisera sambil dia sendiri turut membuka ikatan rambutnya.
            Bila mereka sudah sedia untuk berlakon, Azzalea membuka pintu biliknya. Matanya sengaja dikecilkan. Mulutnya sengaja dibuka lebar-lebar tanpa menutupnya. Cik Bedah Ketom yang melihat juga menjauhkan wajahnya dan menutup mulut. Agaknya mesti nafas Azzalea bau seperti bangkai!
            Maisera pula menjengulkan wajahnya. Azzalea menoleh seketika Maisera di sisi. Rasa terkejut sampai hampir gugur jantungnya. Entah manalah Maisera dapat bedak sejuk yang ditempek penuh satu muka. Kat lengan pun habis disapunya. Huh!
            “Ya, Cik Bedah, opssss!!!” Nur Maisera menepuk dahinya. “Ya, Cik Zubaidah, ada apa-apa yang kami berdua boleh tolong?” sambung Maisera.
            “Kenapa awak berdua lambat sangat bukak pintu?” soal Cik Bedah Ketom sambil kepalanya terjenguk-jenguk ke dalam bilik yang di halang oleh Azzalea dan Maisera.
            “Kami tidurlah, Cik Zubaidah. Penat sangat. Hari nikan memang hari rehat kami.” Balas Azzalea sambil berpura-pura mamai.
            Maisera mengerling sekilas Azzalea di sisi. Hampir-hampir sahaja dia meledakkan tawanya melihat lakonan Azzalea yang bersungguh-sungguh itu.
            “Heh! Macam-macam! Ke tepi! Saya nak periksa bilik kamu.” Cik Bedah Ketom menolak kedua-duanya dan dia menyelit di tengah-tengah di antara mereka. Hampir-hampir sahaja Azzalea dan Maisera jatuh terduduk. Mujur mereka sempat memaut pada bingkai pintu.
            Maisera dan Azzalea cepat-cepat mengikut Cik Bedah Ketom yang sedang bercekak pinggang sambil memerhati sekeliling bilik. Mereka berdiri betul-betul rapat di belakang warden yang berbadan gempal itu.
            “Saya nampak awak gantung baju lelaki dalam bilik. Mana baju-baju tu? Awak ada simpan lelaki dalam bilik ni, ya?” jerkah Cik Bedah Ketom.
            Sejurus itu dia terus ke almari pakaian milik Azzalea. Diperiksa satu per satu. Diselak segala pakaian yang bergantung. Dipunggah segala laci yang ada.
            Azzalea hanya memandang pelik kelakuan Cik Bedah Ketom. Apa ke hal pulak nak check sampai ke laci? Muat ke kalau aku simpan lelaki dalam laci tu? Huh…
            Kemudian Cik Bedah Ketom beralih pula kepada almari pakaian milik Maisera. Perkara yang sama dilakukan oleh Cik Bedah Ketom. Mencari lelaki di dalam almari pakaian!
            “Mana dia?” soal Cik Bedah Ketom sambil menujah pandang kepada dua gadis yang sedang tersengih-sengih di depannya.
            “Siapa Cik Zubaidah?” soal Maisera buat-buat tak faham.
            “Lelaki tulah!” jerit Cik Bedah Ketom kembali.
            Hampir bingit kedua-dua belah telinga mereka. Hisy! Cik Bedah Ketom ni sama aje dengan Encik Shafwan! Suka nak jerit-jerit.
            “Mana ada Cik Zubaidah. Kalau tak percaya, Cik Zubaidah boleh periksa seluruh bilik ni.” balas Azzalea sambil tersenyum manis.
Dia sekadar bermanis mulut sahaja. Harapannya janganlah Cik Bedah Ketom memeriksa keseluruhan bilik mereka. Takut pula mereka ‘terkantoi’ baju yang disorokkan di dalam kotak makanan milik Maisera.
“Betul tu Cik Zubaidah. Kalau ada pun, manalah muat kalau nak sorok dalam laci.” Berani sungguh Maisera berkata sinis kepada Cik Bedah Ketom.
Sepantas kilat Cik Bedah Ketom yang memakai kaca mata itu membeliakkan biji matanya ke arah Maisera. Huh! Berani mereka ni main-mainkan aku! Tak apa… Tak apa…
            Cik Bedah Ketom masih tidak puas hati. Dia mencari pula di sekitar katil mereka berdua. Kain cadar dan comforter habis dipunggahnya. Azzalea dan Maisera hanya mampu melopong melihat kelakuan Cik Bedah Ketom yang sungguh tak masuk akal. Kalau betul ada lelaki di situ, pasti dari jauh lagi Cik Bedah Ketom telah pun melihatnya.
            Cik Bedah Ketom yang membelakangkan dua gadis itu tersenyum puas. Huh! Baru kau tahu siapa aku! Baru masuk ke sini dah berlagak mengalahkan senior kau orang pulak! Dia kemudiannya menuju ke tingkap pula. Manalah tahu kalau-kalau ada lelaki yang berani mati bergayut di bingkai tingkap.
            “Melampau betul si Cik Bedah Ketom nikan, Lea! Menyampah aku!” bisik Maisera. Geram sungguh dia dengan Cik Bedah Ketom yang tak tahu diri ini.
            “Habis katil kita, Sera!” balas Azzalea pula seraya menjeling Cik Bedah Ketom yang beriya-iya mahu mencari ‘lelaki’ yang bersembunyi di dalam bilik mereka.
            Azzalea yang mula malas mahu melayan kerenah Cik Bedah Ketom mula berjalan dan duduk di birai katil. Belum lima saat dia memanaskan punggung, Cik Bedah Ketom terus berpaling menghadap mereka berdua. Spontan Azzalea berdiri kembali.
            “Jumpa, Cik Zubaidah?” soal Azzalea tiba-tiba. Tapi segera pula dia menutup mulutnya yang dirasakan lancang pula. Maisera yang berada berdekatan dengannya hanya menjeling paras Azzalea.
            “Nasib kamu berdua baik! Tapi jangan ingat saya tak pantau kamu berdua. Saya memang nampak ada baju lelaki tergantung kat sini. Atau kamu berdua ni dah bertukar jantina pulak ke?” soal Cik Bedah Ketom sambil mencerlung memandang dua gadis di depannya.
            “Eh! Mana ada Cik Zubaidah. Cik Zubaidah yang salah tengok ni. Entah-entah budak tingkat atas ke? Kami berdua ni masih normallah.” Balas Maisera. Dalam hatinya berdoa supaya Cik Bedah Ketom ni cepat-cepatlah keluar dari bilik mereka.
            “Baik! Saya lepaskan kamu berdua hari ni. Kalau saya tangkap kamu bawak masuk lelaki, saya akan buat surat kepada ketua jabatan kamu.” Cik Bedah Ketom memberi amaran keras. Dia melangkah keluar dari bilik itu.
            Tertutup sahaja pintu bilik, Azzalea cepat-cepat menguncinya kemudian dia terus memanjat mendapatkan kotak makanan milik Maisera. Segera baju-baju milik Shafwan dikeluarkan. Bimbang sekiranya dipengap terlalu lama, kain baju itu akan berbau busuk. Dia dah tak kuasa untuk membasuhnya buat kali kedua.
            “Nasib baik kita rendam dengan softlan tadikan? Kalau tak mesti dah berbau busuk baju-baju tu.” ujar Maisera yang sedang mengemas katilnya yang diselerakkan oleh Cik Bedah Ketom.
            “Ni semua si mamat sewel tu punya pasal! Kalau tak, kita takkan jadi mangsa Cik Bedah Ketom yang ‘kerek’ tu.” Marah Azzalea kepada Shafwan masih lagi bersisa. Dia turut sama mengemas katilnya pula. Baju-baju yang masih lembap itu terpaksa disangkut di bahagian kepala katilnya sahaja untuk dikeringkan dengan bantuan kipas.
           

No comments: