Follower Tersayang

Monday, February 20, 2012

Seindah Diari Cinta - Bab 9


Perhatian : Seindah Diari Cinta dalam proses untuk diterbitkan. Cover dan juga tajuk akan diubah sepenuhnya. Terima kasih kepada anda yang sudi membaca. Nantikan novel saya dalam versi cetak. :) Luv all of u.

9
MALAM itu malam kemuncak mereka menjalani orientasi. Mulai esok, mereka akan bergelar sebagai pelajar secara rasminya. Malam terakhir itu mereka semua akan berhibur dengan program-program yang telah pihak MPP sediakan.
            Rata-rata para pelajar berhias cantik dan bebas mengenakan baju apa pun. Begitu juga dengan kesemua ahli jawatankuasa MPP yang dilantik. Azzalea dan Maisera bergurau senda sewaktu melintasi pintu Dewan Kemboja.
            “Ops, sorry.” Spontan Shafwan memegang kedua-dua belah bahu gadis yang sudah tercengang memandang ke arahnya. Tanpa sengaja dia terlanggar bahu Azzalea sewaktu mahu keluar dari Dewan Kemboja.
            Tapi mereka begitu hanya untuk beberapa saat sahaja. Shafwan sudah pun keluar dan tak perasan langsung gadis yang dilanggar itu adalah Azzalea.
            “Itu… si mamat sewel tukan?” soal Maisera meminta kepastian. Telunjuknya masih ke arah luar dewan manakala matanya masih setia memandang Azzalea dengan kerutan terentang di dahi seakan-akan cuba memikir tekaannya.
            “Hmm… Iyalah! Siapa lagi.” Balas Azzalea lemah.
            Mereka berdua menuju ke bahagian meja yang masih ada tempat kosong. Dia melemparkan senyuman kepada dua lagi rakan barunya.
            “Kenapa dia macam tak kenal kita, ekh?” soal Nur Maisera. Masih lagi tak puas hati dengan tindakan Shafwan tadi yang seolah-olah tak kenal mereka berdua.
            “Selalu dia tengok kita selekeh aje. Hari ni kan kita meletup bergaya mengalahkan ‘mak datin.’” Jawab Azzalea selamba. Dia melilaukan pandangan memerhati segenap ruang Dewan Kemboja. Cantik! Kreatif betul dia orang ni hias Dewan Kemboja ni dah macam ‘Ballroom’ pulak.
            Maisera yang masih terkesan dengan kata-kata Azzalea memandang diri mereka berdua. Hahaha. Betul jugak! Aku sikit punya comel pakai dress kembang paras lutut warna kuning air. Azzalea pulak cantik dengan dress tanpa lengan warna merah hati dengan jaket untuk menutup lengannya. Maisera tersenyum bangga. Maknanya mesti Encik Shafwan terpukau dengan Lea. Lepas ni mesti dia takkan buli Lea lagi. Mesti dia cakap baik-baik dengan Lea.
            “Yang kau tersengih sorang-sorang ni kenapa? Aku dah lapar ni. Jomlah ambik makanan.” Teguran Azzalea membuatkan Maisera mematikan senyumannya. Dia terkulat-kulat menggaru dahi.
            Selesai mengambil makanan, mereka berdua duduk di tempat mereka semula. Sesekali mata Azzalea melirik ke arah lelaki berkemeja putih dan berseluar slack hitam. Ringkas dan kemas. Dia sibuk ke hulu ke hilir bagi menjayakan program terakhir mereka. Apabila mata itu bertemu dengan matanya, Azzalea segera mengalihkan pandangan. Cis! Mamat sewel ni perasan pulak aku tengah intai dia!
            Azzalea sambung makan. Dia jadi tidak keruan pula apabila sepasang mata helang Shafwan berjaya mengesan anak mata Azzalea yang curi-curi pandang ke arahnya.
            “Hai, gadis!” sapa seseorang.
            Azzalea dan Maisera memandang serentak ke arah suara yang menegur mereka berdua. Mata Azzalea bersinar terang apabila Ferdi yang sedang tersenyum merenungnya. Maisera di sisi pula sudah menyenggol lengan Azzalea yang nampak seperti terpukau dengan kehadiran Ferdi.
            “Boleh duduk sini ke?” soal Ferdi kali kedua apabila Azzalea hanya mematung tanpa mengalihkan pandangan.
            “Kau ni kenapa Lea? Tersampuk hantu ke?” bisik Maisera sambil sesekali matanya melirik ke arah pemuda yang masih belum dikenalinya. Mesti Lea kenal dia. Kalau tak, takkan dia tegur Lea.
            “Err… Duduklah. Tapi kat meja ni semua junior-junior aje.” Balas Azzalea apabila dia tersedar dari lamunannya. Dia memandang wajah tanda tanya Maisera. Azzalea mendekatkan bibirnya ke telinga Maisera.
            “Ini Ferdi Amirul. Dia yang tolong aku masa kena denda pasal tandatangan tu.” ujar Azzalea.
            Kelihatan Maisera terangguk-angguk sambil matanya melirik ke arah Ferdi yang setia memandangnya.
            “Boleh tahan!” bisik Maisera kembali.
            “Kau ni! Hari tu kata Encik Shafwan boleh tahan, Ferdi pun kau kata boleh tahan. Mana satu yang kau nak ni?” soal Azzalea yang sebenarnya lebih kepada menutup debaran di dada. Mata Ferdi setia merenungnya. Bibir Ferdi setia tersenyum ke arahnya juga.
            “Aku tak cakap aku nak dia orang ni. Aku puji aje…” balas Maisera bersahaja.
            Kelihatan Ferdi mengambil tempat duduk bersebelahan dengan Azzalea. Jantung Azzalea mula berdegup kencang. Tak keruan jadinya apabila tubuh Ferdi mula bersentuhan dengan lengannya. Amboi… Rapat betul!
            “Awak tak nak makan?” soal Azzalea. Dia hanya mengerling Ferdi dengan ekor matanya.
            “Saya dah makan. Saya dari meja sana. Nampak awak, teruslah datang sini.” Balas Ferdi sambil tersenyum. Dia melirik ke wajah cantik Azzalea. Baginya, Azzalea manis bila tersenyum. Nampak lucu bila dia kelam-kabut. Kelihatan comel bila dia geram atau marahkan Shafwan. Memang dia selalu perhatikan Azzalea hanya untuk satu perkara. Dia harap perkara itu akan menjadi kenyataan. Dia mesti lakukan itu.
            “Oh...” Itu sahaja yang mampu Azzalea katakan. Dia mengalih pandang ke arah sebuah meja yang ditunjukkan oleh Ferdi. Kelihatan semua kawan-kawan Ferdi tidak dikenali. Huh… Nasib baik! Ingatkan dia ni sekutu dengan si mamat sewel tu!
            Dari kejauhan dan kesibukan sempat lagi Shafwan menjeling-jeling ke meja yang diduduki oleh Azzalea. Terkejut beruk dia apabila melihat Azzalea dan Ferdi berbual mesra. Sesekali mereka ketawa. Eleh! Apalah yang ada kat budak sengal Azzalea tu. Bukannya cantik pun! Huh…
            Mereka semua mengalihkan pandangan apabila Shafwan mahu memulakan ucapan dan kata-kata aluan sebelum merasmikan majlis mereka malam itu. Tidak berkelip Azzalea memandang lelaki segak di tengah-tengah pentas.
            Eleh! Bukan handsome pun! Lepas tu berlagak nak mampus! Blahlah! Siapalah yang buta pergi undi dia jadi ketua MPP pun tak taulah! Huh…
            “Lea,” tegur Ferdi sambil menyentuh sedikit lengan Azzalea.
            “Hah!” Azzalea terpinga-pinga. Dia begitu khusyuk mengutuk Shafwan di dalam hati sampai lupa pada orang di sekelilingnya.
            “Saya tengok awak pandang Shafwan tu macam nak telan aje.” Tegur Ferdi. Dia tersenyum memerhati gelagat Azzalea yang mula kelam-kabut mahu menutup tingkahnya yang kurang sopan sebentar tadi.
            Dia memandang Maisera di sebelah. Gadis itu hanya tersenyum mengejek ke arahnya. Maisera tahu apa yang ada dalam fikiran Azzalea. Kalau boleh memang dia mahu telan Shafwan itu hidup-hidup.
            “Awak tak suka Shafwan?” soal Ferdi memandang lembut wajah Azzalea.
            “Bukan tak suka. Tapi…” Azzalea terrhenti. Risau pula kalau-kalau Ferdi ni bermulut tempayan kemudian sampai ke telinga Shafwan? Kalau lelaki itu tahu pasti Azzalea akan menjadi mangsa lagi. Pasti Shafwan akan mencari alasan untuk mengenakan dia lagi. Padahal salahnya cuma satu. Terpijak kasut mahal dia tu!
            “Tak apa.. Ab… Err… Dia tu memang macam tu. Tapi kalau kenal dia betul-betul dia memang baik.” Jawab Ferdi. Mujur dia tak terlepas kata. Dia memang sengaja tidak mahu Azzalea tahu bahawa mereka berdua adalah adik-beradik. Risau kalau Azzalea tahu mereka adik-beradik, langsung Azzalea tak mahu berkawan dengannya dan pasti misinya tidak akan berjaya.
            Azzalea hanya menerling paras Ferdi yang hanya tersenyum sambil mengusap batang tengkuknya. Huh! Baik apa! Menyusahkan aku lagi adalah. Ada aje yang tak kena kalau berkaitan dengan aku. Apalah Ferdi ni. Buta agaknya menilai si mamat sewel tu!
            “Cuba awak tengok dia. Awak rasa dia baik ke jahat?” Ferdi menunjuk ke arah Shafwan yang sedang berbual mesra dengan seseorang. Kemudian dia berjalan pula dan membantu seorang lagi kawannya sambil dia menepuk bahu kawannya itu.
            “Itu kawan-kawan dia. Memanglah dia baik. Tapi saya ni siapa nak berkawan dengan dia. Sebelah mata pun dia tak pandang. Lagi dia menyampah dengan saya adalah. Saya ni hanya layak basuh kasut dia. Baju baju sukan dia.” rungut Azzalea merendah diri. Memang itu pun kenyataannya.
            “Baju?” soal Ferdi sedikit terperanjat. Kalau kasut, ya, dia memang tahu. Shafwan ada beritahunya. Tapi… baju? Bila masa dia suruh Azzalea basuh baju dia. Baju sukan. Hmm…
            Ferdi cuba mengingati sesuatu. Manalah tahu mungkin ada kaitan dengan baju yang disebutkan oleh Azzalea tadi. Baru-baru ni… Ahah! Ferdi sudah ingat. Baru-baru ni Shafwan ada perlawanan ragbi antara kolej. Mesti baju-baju jersinya itu diserahkan kepada Azzalea untuk dicuci. Dia tahu sangat perangai abangnya. Abangnya itu paling tak suka basuh bajunya sendiri menggunakan tangan. Kalau basuh mesin dengan segala lumpur dan pasir itu, pasti maknya akan mengamuk dan membebel sepanjang masa. Shafwan ni memang melampau…
            “Err.. tak! Maksud saya, kalau saya kotorkan baju dia, mesti saya jugak yang akan disuruh basuh macam mana kasut dia tu.” balas Azzalea tergagap-gagap. Dia cuba berdalih. Takut kalau Ferdi akan sampaikan kepada Shafwan.
            Ferdi hanya ketawa. Di dalam hati dia tahu, Azzalea masih tidak percayakan dia. Dia tahu Azzalea takut kalau dia itu adalah ‘mata-mata’ Shafwan.
            Tiba-tiba keadaan Dewan Kemboja yang tadinya terang-benderang menjadi gelap. Hanya satu lampu spotlight yang menyuluh ke tengah dewan. Kesemua pelajar yang ada hanya diam dan memerhati sahaja. Mereka tahu apa aktiviti yang seterusnya.
            Kelihatan Shafwan sudah tersenyum-senyum di tengah-tengah dewan dengan lampu terang menyuluh ke arahnya.
            “Rasanya semua pelajar maklum kenapa kita bergelap sekarang ni.” Shafwan tersengih-sengih sambil memegang sebuah kotak berwarna putih. Dimain-mainkan kotak sederhana besar itu di tangannya. Dilambung perlahan-lahan.
            “Permainan yang akan berlangsung ini akan diberi nama Kiub Puaka. Dalam kiub ini ada bermacam-macam kertas yang minta mangsanya melakukan apa yang disuruh.” Ujar Shafwan. Matanya melilau memandang ke segenap pelosok dewan.
            Azzalea dan Maisera hanya saling berpandangan. Dalam hati mereka janganlah mereka berdua menjadi mangsa Kiub Puaka.
            Permainan sudah bermula. Jantung masing-masing mula berdegup kencang apabila Kiub Puaka yang dari satu tangan ke satu tangan beralih. Selagi muzik masih dipasangkan Kiub Puaka akan bergerak. Apabila muzik diberhentikan, mangsanya adalah orang yang terakhir memegang Kiub Puaka itu.
            Keadaan menjadi bingit dengan tawa dan jeritan para pelajar yang takut Kiub Puaka menjadikan mereka mangsa. Kiub Puaka masih terus berjalan. Azzalea menelan liur. Janganlah aku kena! Janganlah aku kena!
            Kiub tersebut semakin dekat ke mejanya. Dia sudah nekad dan pasrah. Harap-harap dia bukan mangsa pertama. Kiub Puaka disentuh.
            Pap! Muzik berhenti. Kiub Puaka betul-betul di tapak tangan Azzalea. Siut punya muzik! Harus ke berhenti kat tangan aku! Huh.. Azzalea memandang lama kiub di tangannya. Degup jantungnya semakin kencang apabila terdengar suara Shafwan berdeham. Entah ini memang kerja dia nak kenakan aku atau secara kebetulan pun tak tahulah! Yang penting sekarang macam mana aku nak menghadapi kertas kat dalam Kiub Puaka ini. Kalau sampai memalukan aku, memang siaplah kau Shafwan! Azzalea terjeling-jeling kiub di tangannya.
            Maisera juga memandang Azzalea dengan penuh simpati. Kenapalah dengan nasib kau ni Lea! Selalu aje terkena perkara-perkara macam ni. Lagilah suka si mamat sewel tu tengok kau kelam-kabut macam ni. Maisera menyentuh lembut lengan Azzalea. Azzalea menoleh merenung wajah Maisera meminta simpati.
            Maisera mengangguk memberi semangat kepada kawan rapatnya itu. Dia mula berdiri dan takut-takut memandang sekeliling yang pastinya sedang menujah pandang ke arahnya.
            “Ehm… Nampaknya kita dah ada mangsa pertama.” Mata helang Shafwan merenung Azzalea yang tidak keruan. “Sila Cik Azzalea, jangan malu-malu ambik segulung kertas kat dalam kiub tu.” arah Shafwan pula.
            Azzalea teragak-agak mahu menyelukkan tangannya ke dalam Kiub Puaka. Dengan lafaz Bismillah, dia menarik keluar segulung kertas. Entah bila masa Shafwan berdiri di sebelahnya pun dia tidak sedar. Tahu-tahu sahaja jemari Shafwan menyentuh jemarinya yang dingin. Dia menoleh sekilas Shafwan di sisi.
            “Awak nak baca atau saya?” soal Sahfwan perlahan.
            “Encik Shafwan aje yang baca.” Balas Azzalea juga perlahan sambil menunduk. Tak sanggup dia mahu menatap mata-mata yang sedang memerhati. Dia malu dengan semua pelajar. Dia malu dengan Ferdi yang hanya diam membisu. Entah apa yang lelaki itu fikirkan agaknya.
            “Kehidupan awak sebenarnya membosankan. Jadi gembirakan hari orang lain supaya tidak turut bosan.” Kiub Puaka mula ‘bersuara.’ Sebenarnya orang yang membacakan kertas itu sebenarnya yang lebih berpuaka! Shafwan sudah mengerling sambil tersenyum jahat kepadanya. Hehehe. Padan muka kau minah!
            “Apa yang patut saya buat, ya?” soal Azzalea agak gugup. Sesekali matanya memandang wajah Shafwan.
            “Apa yang perlu awak buat? Bagi saya, awak kelakar dan akan menggembirakan semua yang ada kat sini terutama saya dengan jalan itik satu pusingan.” Shafwan mengenyitkan matanya.
Dia bercakap perlahan dan hanya pelajar di meja Azzalea sahaja yang dengar apa kata-kata Shafwan. Kesemuanya agak terpempan dengan kata-kata kurang sopan dari Shafwan. Tapi siapalah mereka untuk melawan.
            Azzalea merenung tajam wajah Shafwan. Dia ingat aku ni apa senang nak diperkotak-katikkan. Aku taulah aku selalu patuh pada arahan dia! Jangan dia ingat dia boleh mempermainkan aku sesuka hati!
            “Saya tak ingin nak ikut cakap Encik Shafwan yang gila tu!” balas Azzalea sedikit keras.
Dia cuba mengawal nada suaranya agar yang lain tidak dengar. Cukuplah pelajar yang ada di mejanya sahaja. Itupun dia sudah cukup malu dan tak tahu mana mahu disorok wajahnya.
“Kalau macam tu, apa yang awak boleh buat untuk menggembirakan pelajar yang lain? Kalau awak tak dapat buat dalam masa 5 minit, saya nak awak buat apa yang saya cadangkan tadi.” Shafwan masih dengan lagaknya. Masih dengan senyum jahatnya.
            “Encik Shafwan, Encik Shafwan tak boleh buat macam tu…”
            “Awak siapa nak halang saya?” mata helang Shafwan beralih kepada Maisera yang cuba membela nasib kawannya.
            “Bukan macam tu encik…”
            “Tak apa Sera, aku datang ke sini memang nak buat semua benda-benda ni.” pintas Azzalea pula. Lirih sahaja bunyi suaranya. Dalam pada masa yang sama dia sebenarnya menyindir Shafwan.
            Azzalea memberanikan diri merenung wajah Shafwan. Dia merampas mikrofon di tangan Shafwan. Apa nak jadi, jadilah. Hanya ni aje bakat yang aku ada. Azzalea memilih untuk bernyanyi.
            “Err… Awak nak nyanyikan Lea? Betulkan? Lagu apa ya? Hmm… Shania Twain okey? Lagu top dia yang dulu tu, err… You’re Still The One? Bolehkan? Kalau kita nak hiburkan yang lain, nyanyi kena ada muzik.” tiba-tiba sahaja Ferdi berdiri. Dia lebih berniat mahu menyelamatkan keadaan. Dia tidak mahu Azzalea terus-terusan dimalukan. Atau dia sendiri yang akan memalukan dirinya. Manalah tahu kalau-kalau Azzalea tidak berjaya menghiburkan pelajar yang lain, dia nekad mahu berjalan itik pula! Ikut sangat perangai si gila Shafwan.
            Azzalea agak terpempan seketika. Namun dia cepat-cepat sedar dan mengangguk perlahan. Ini peluang dia untuk terhindar dari terus dikenakan oleh Shafwan yang kejam! Dia harus gunakan kesempatan ini.
            Ferdi bergerak sedikit ke tengah pentas sambil mula menyilangkan tali gitarnya ke bahu. Bersedia untuk mengalunkan irama dari lagu Shania Twain. Azzalea memandang Shafwan di sisinya. Wajah lelaki itu sedikit berubah tapi tidak terlalu ketara. Dia tau pasti Shafwan bengang. Sedikit sebanyak dia juga rasa bersalah. Dia takut pulah kalau-kalau Shafwan turut bermusuh dengan Ferdi. Cukuplah dia sahaja menjadi musuh tak rasmi lelaki itu.
            Petikan di gitar mula berbunyi. Azzalea sudah bersedia untuk menyanyikan lagu tersebut. Shafwan mula ke tepi memberi ruang kepada Azzalea dan Ferdi. Shafwan harus akur yang Azzalea pandai bernyanyi. Cis! Kacau betul si Ferdi ni! Aku baru aje nak kenakan si Azzalea. Shafwan mengetap gigi tanda geram.
            Selesai persembahan, mereka mendapat tepukan yang gemuruh. Di satu sudut, masih ada yang memandang jengkel gadis dan dua lelaki di tengah dewan itu.
            Rihana menjeling ketiga-tiganya. Muka budak perempuan tu jugak yang famous! Aku ni yang dengan rela hati nak pegang Kiub Puaka tu pun dia orang ni tak nampak! Saja aje aku agihkan lambat kat orang sebelah! Teruk Shafwan ni! Entah-entah dia sukakan budak perempuan tu! Nantilah kau! Rihana mengepal penumbuknya.
            “Terima kasih. Memang persembahan yang menarik. Apatah lagi dibantu oleh Ferdi yang memang dah terkenal dengan jejari runcing dia yang seksi tu!” Shafwan sebenarnya sudah berapi. Waktu-waktu inilah ada pulak hero nak selamatkan dia! Macam dalam filem Hindustan pulak! Huh…
            Ferdi hanya tersenyum sedikit. Selebihnya dia hanya ketawa di dalam hati. Dia tahu Shafwan pasti bengang dengan dia.
            Azzalea berjalan menghampiri Shafwan. Mata mereka masih bertentangan. Tanpa sedar, kaki Azzalea tersadung wayar yang menyambungkan tali gitar ke audio.
            “Oh, mak kau!” latah Azzalea spontan. Tubuhnya ringan melayang dan terdorong ke depan.
            Shafwan segera menyambut tubuh langsing itu. Tindakan refleksnya. Tak ada niat langsung dia nak selamatkan gadis itu. Kalau dia tahu Azzalea mahu tersadung pasti dia biarkan sahaja tubuh itu jatuh tersembam. Hahaha! Baru padan muka kau! Barulah hiburan bagi aku!
            “Ei! Apa ni! Lepaslah! Saya dah selamat dari jatuh dah!” rontaan Azzalea membuatkan Shafwan tersedar dari lamunannya.
            Dia melepaskan pinggang Azzalea. Nasib baik tak terjatuh untuk kali kedua. Shafwan memandang sekeliling. Hampir semua pelajar bersorak dan bertepuk tangan. Apa kes ni? Niat nak malukan si minah ni! Alih-alih aku yang dah tersipu-sipu kat tengah dewan ni kenapa?
            “Err… Okey! Jom teruskan! Sampai mana Kiub Puaka tadi?” Shafwan sudah tidak keruan. Dia malas nak layan keadaan sekeliling yang sudah mula hingar-bingar.
            Azzalea dan Maisera sudah menggenggam tangan sesama sendiri. Hari ini baru dia rasakan kemenangan berpihak kepadanya. Majlis terus berlangsung dan Azzalea menjadi penonton dengan senang hatinya.

No comments: