Follower Tersayang

Tuesday, April 17, 2012

Lelaki Cadangan - Bab 1



1
ALAMAK! Mati aku, dah lambat ni, matilah! Affirina ke hulu ke hilir dengan selendang di tangan yang masih belum digosok. Matanya memandang jam yang terpaku di dinding bilik. Sepatutnya waktu begini dia sudah keluar untuk merempuh kesesakan jalan raya.
Itulah kau Fir, entah apa yang kau buat semalam. Sibuk dengan jigsaw puzzle tu! Sekarang dah lambat nak pergi temuduga! Affirina berkata-kata di dalam hatinya. Dia berlari pula ke bilik menggosok. Mujur kakinya sempat berhenti, kalau tidak sudah tercium belakang badan abangnya.
            “Fir ni kenapa? Itulah, orang suruh tidur awal sibuk pergi main jigsaw puzzle tu. Ini dah solat subuh ke belum tak taulah!” jeling Alphy sambil tangannya lincah menggosok kemeja untuk ke tempat kerja.
            “Jangan membebel boleh tak? Cepatlah gosok baju tu! Fir dah lambat ni.” Malas Affirina mahu melayan bebelan Alphy. Dia berdiri sambil menghentak-hentak kaki.
            “Sabarlah, Fir nampakkan abang tengah buat apa ni?” gurau Alphy sambil buat muka selamba. Dia mengangkat baju dan periksa kalau-kalau ada kedut lagi sengaja mahu menyakitkan hati adiknya.
Affirina menolak badan Alphy. Kurang sabar betul dia dengan perangai Alphy! Orang tengah serius ni, main-main pulak!
            “Hisy! Siku kang!” Alphy sudah mula menunjukkan sikunya.
Affirina buat tidak kisah. Apa yang penting dia sudah lewat untuk menghadiri temuduga. Akhirnya Alphy menarik rambut Affirina. Sepantas kilat dia berlari menuju ke biliknya sebelum sempat Affirina memberi tendangan maut. Affirina mendengus geram.
            Setelah selesai menggosok selendang, seperti lipas kudung Affirina berlari menuju ke biliknya semula, mandi dan bersiap. Di depan cermin lagi satu masalah.
            Nak pin macam mana ni? Macam ni ke? Macam ni? Dia bergaya ala-ala model di depan cermin. Akhirnya dia melilit selendangnya gaya ala-ala perempuan Arab. Selepas bersiap Affirina segera turun ke tingkat bawah. Alphy sudah tersengih-sengih kambing.
            “Ibu, abah, Fir dah lambat ni. Fir pergi dulu, bye!” Affirina sudah melangkah ke muka pintu.
“Tak minum dulu ke?” ujar Puan Farah.
Affirina pula kelam-kabut menyarung kasut dan menekan punat alarm keretanya. “Tak apalah ibu, nanti Fir sarapan kat luar.”
Tidak sampai beberapa minit, deru enjin kereta milik Affirina sudah pun lenyap.
Puan Farah hanya mampu menggeleng kepala dengan perangai anak perempuannya itu yang serba-serbi kelam-kabut.
            “Ribut betul anak awak sorang tu.” ujar Encik Afzan sambil menghirup kopi susu.
            “Bukan ribut lagi bah, puting beliung!” Alphy tersengih sambil menyapu jem di rotinya.
            “Ibu dah pesan dengan dia jangan tidur lewat-lewat sangat. Tengok sekarang, kan dah lambat.” Sampuk Puan Farah pula. Lincah tangannya menyenduk bihun goreng untuk suaminya.

NAK ketuk pintu ke tak payah? Buka aje? Bagi salam? Eh, nanti dibuatnya bukan Islam, padan muka aku! Mata Affirina segera menatap nama yang tertera. ‘Mohd. Edikasyah Zainuddin.’ Ha… Islam. Dia tersengih-sengih di depan muka pintu.
            “Assalamualaikum.” ucap Affirina perlahan namun jelas di pendengaran Syah.
Segera Syah memanggung kepala. Wajah keruh itu ditatap.  Syah membetulkan cermin matanya yang melurut. Senyuman yang Affirina beri pun tidak dibalas.
            “Tak tau ketuk pintu ke?” sinis suara Syah menghentam gegendang telinga Affirina.
            Gulp! Baru setapak aku melangkah dah kena ‘tembak!’
            “Maaf encik!” Bibir bawahnya digigit-gigit. Affirina agak takut-takut memandang wajah keruh lelaki yang sedang meneliti sebuah fail. Dia tahu dirinya salah tidak mengetuk pintu sebelum masuk ke ruangan bilik yang besar itu.
            “Duduk.”
            “Apa?”           
            “Duduk!” Sepantas kilat Affirina duduk.
Mata Syah merenung gadis di depannya. Manis tetapi wajahnya nampak tidak ikhlas. Syah menjeling dan meneliti kembali fail di tangannya.
Affirina hanya menunggu kata-kata seterusnya daripada Syah. Walaupun dia bengang dengan lelaki yang nampak berlagak di hadapannya ini, Affirina tetap cuba untuk tersenyum. Manalah tahu kalau ada rezekinya di syarikat ini, lelaki di hadapannya inilah yang akan menjadi majikannya. Jadi, dia kena berbuat baik. Dadanya mula terasa berdebar yang sukar untuk ditafsirkan.
Syah meletakkan fail di atas mejanya. Jemarinya bertaut antara satu sama lain. Dia masih merenung gadis yang sudah seperti cacing kepanasan.
            Tell me about yourself.” Tutur Syah lembut.
            “Hmm…”
            “Hmm… what hmm..?” Syah sudah memintas kata-kata Affirina. Matanya tajam merenung gadis di depannya.
Terbuntang biji mata Affirina apabila melihat lelaki di depannya ini penuh dengan gaya yang sombong dan bongkak. Alahai… Ingat ini temuduga nak jadi askar ke nak garang-garang macam tu? Affirina menarik nafas panjang. Kemudian satu per satu kata-kata diatur. Mata Syah tidak lepas dari meratah raut wajah Affirina sewaktu sesi temuduga itu dijalankan.
            Hampir satu jam mereka bersoal jawab, Affirina menarik nafas lega setelah segalanya selesai diucapkan. Syah merenung wajah Affirina. Kaca mata nipisnya diletakkan di atas meja. Borang di tangannya direnung. Affirina seperti menunggu hukuman mati mandatori.
            You know what? Company I dah pun jumpa interior designer yang sesuai. Kalau you awal satu jam, mungkin I boleh pertimbangkan.” Senyuman Syah menyakitkan hati dan seperti sengaja mahu mengejek diri gadis di hadapannya.
            “Encik boleh beritahu saya awal-awal kalau jawatan tu sudah terisi! Tak perlu temuduga saya!” Mendidih rasa darahnya. Sudahlah aku terkocoh-kocoh datang ke sini. Patutlah sampai kat ruangan penyambut tetamu tu dah lengang. Cakap awal-awalkan senang. Baik aku balik terus tadi.
            “Temuduga bermula pukul berapa, cik?” soal Syah. Formal.
            “Pukul 8.00 pagi!” Affirina menjeling.
            “You datang pukul berapa?” Syah menyilangkan jemarinya sambil menongkat dagu.
            “Pukul 10.00 pagi. Alah, encik faham-faham ajelah waktu pagi macam ni, traffic jammed.” Affirina memberi alasan.
Syah menggeleng kepala.
            “Itu bukan masalah I! Carilah alternatif lain, keluar subuh-subuh ke, sebelum lalat bangun ke, tolong jangan bagi I alasan yang bodoh macam tu! Kalau staf I datang kerja pukul 9.01 minit pagi pun, I suruh dia balik. Bila I kata 9.00 pagi, maksudnya 8.45 pagi you mesti dah ada terpacak kat sini. Faham?” sinis suara Syah menuturkannya. Dia hanya tersenyum. Seronok dapat melihat wajah bengang Affirina.
            “Tak apalah encik, bukan rezeki saya. Terima kasih.” Buang masa layan mamat poyo ni. Affirina berlalu ke muka pintu. Dia sudah memegang tombol pintu dan bersedia untuk membukanya.
            Wait!” Syah berdiri. Affirina yang sudah berada di muka pintu menoleh.
            “Ada lagi jawatan kosong, kalau you tak kisah.” Wajah Syah kelihatan serius.
Affirina menjongketkan kening. Masih merenung Syah yang sedang berdiri.
            Tea lady for me.” Sinis sekali senyuman yang Syah lemparkan. Kedua-dua tangannya menekan meja kerjanya sambil matanya tak lepas memandang wajah Affirina.
Mulut Affirina sudah melopong. Bagi dia, lelaki di hadapannya ini sudah betul-betul melampau. Belum pun reda sakit hati kerana senyuman sinisnya, ditambah lagi dengan kata-kata yang menyakitkan hati. Dia betul-betul tak puas hati.
            “Hei!” Affirina menapak semula ke arah Syah. Dia menepuk meja kerja Syah sekuat hati sehingga terkerdip mata Syah dibuatnya. “I tak mati kalau tak kerja kat sini, okey!” Nafas Affirina turun naik. Apa? Dia ingat aku kebulur ke kalau tak dapat kerja kat tempat dia. Ini Firlah! Aku boleh hidup kalau kau campak kat pulau sekalipun.
            “Okey…” Syah menjongketkan bahu. Dia tersenyum sumbing. Dia boleh nampak api kemarahan yang ditahan-tahan itu. “You may go now.” Dengan angkuhnya Syah memerintah Affirina keluar dari biliknya. Manakala dia dengan selamba kembali duduk dan meneruskan kerjanya yang tergendala.
            Affirina mendengus. Tanpa menunggu lama dia terus berpaling dan keluar dari bilik yang seumpama neraka itu. Tak kuasa nak menatap wajah lelaki bermata sepet itu!

AFFIRINA mengeluarkan telefon bimbitnya. Matanya masih terbayang wajah sinis Syah. Menyampahnya aku dengan mamat tu. Kenapalah mesti aku dipertemukan dengan dia? Aku harap aku takkan berjumpa lagi dengan dia! Affirina mendengus geram.
            “Hello..”
            “Hello, Min! Kat mana?”
            “Kerjalah!”
            “Jumpa lunch hour!”
            “Mana?”
            “Coffee Bean!” Affirina mencampak telefon ke tempat duduk sebelah. Jasmin sahajalah tempat tumpah perasaannya. Nasib kaulah Min. Kau tadah ajelah telinga dengar aku membebel sekejap lagi.

WHAT’S up?” Jasmin segera duduk di depan Affirina. Jasmin menjeling wajah Affirina yang masam mencuka.
“Woi! Cukup-cukup buat muka cekodok basi kau tu! Apa kena dengan kau. Ceritalah!” Jasmin menampar lengan Affirina.
 “Aku baru balik interview.” Ujar Affirina perlahan.  Minuman yang baru tiba dicapai dan disedut dengan rakus.
“Hah! Macam mana?” Jasmin kelihatan teruja.
“Tak dapatlah, Min.” Affirina membetulkan selendangnya.
Dah agak dah! Sudah lama dia mengenali gadis bernama Affirina ini. Sudah masak luar dan dalam dengan perangai dia. Mereka sama-sama menuntut di Excellent College. Seorang gadis yang agak kasar perwatakannya. Affirina takkan kacau orang kalau orang tidak ganggu hidup dia. Jasmin tersenyum sendiri.
“Apa hal sengih kambing? Sukalah aku tak dapat kerja tu!” Affirina menjeling tajam. Minumannya disedut lagi.
Jasmin menggaru kepala. Hisy! Kena sembur lagi. Fir ni bilalah agaknya nak berubah menjadi perempuan sejati.
“Tak apalah, Fir. Tak ada rezeki. A…”
“Aku tak kisah tak dapat kerja kat situ, Min. Tapi yang aku bengang tahap tak ingat, dia boleh suruh aku jadi tea lady dia! Apa? Dia ingat aku ni kuli batak dia ke? Itu tahap nak makan kaki akulah tu!” Affirina menjeling lagi.
Jasmin sudah ketawa mendengar omelan Affirina. Teringin pula dia melihat siapa gerangannya yang berani mempermainkan Affirina.
Affirina mengerutkan dahi. Pelik bila melihat Jasmin ketawa seperti mencabar kewibawaannya.
 “Susah-susah sangat, kau kerjalah kat butik aunty aku.” Cadangan Jasmin buat mata Affirina membulat.
“Kerja dengan aunty kau? Kau nak aku koyak-koyakkan baju pengantin tu ke?” Affirina sudah ketawa di dalam hati. Jasmin memang sudah hilang akal! Cara dia bercakap macamlah baru kenal Affirina itu sehari.
            “Alah, Fir, cubalah dulu. Kerja sekarang ni pun bukan senang nak dapat. Lagipun aunty aku memang tengah cari team wedding planner baru. Nak harap aku buat semua sendiri? Matilah aku.” Jasmin sudah merayu.
Ah, sudah. Biar betul. Affirina bekerja di Butik Andaman dan Pengantin Zaza? Kalau ibu dengan ayah tahu, mereka buat pulut kuning tanda kesyukuran. Kalau abang pula tahu, berguling-guling dia gelak dari tingkat atas, melarat ke tingkat bawah.
            “Jomlah, Fir!”
            “Aku tak ada jiwa kerja macam tulah.” Affirina protes.
            Try!”
            “Gila kau! I’m graduated as an Interior Designer. Not a Wedding Planner! Tak ada jiwa!”
            “Lebih kurang ajelah kerja kau tu!”
            Ewah-ewah… Senang betul mak cik ni bercakap. Dia ingat lukis pelan tu sama dengan lukis baju pengantin agaknya?
            No!” bantah Affirina lagi.
            Please…”
            Jasmin sudah mula merayu. Dia betul-betul mengharap kalau Affirina membantunya di butik berkenaan. Wajah keruh Affirina ditatap dalam-dalam.
            “Kau nak aku rosakkan majlis kahwin orang ke, Min?” ugut Affirina. sedaya-upaya dia mahu menolak ajakan Jasmin untuk bekerja sama-sama dengannya.
            I know you won’t do that.” Jasmin sudah buat muka macam lepat basi. Hisy! Betullah si Jasmin ni suka merayu yang tak kena dengan mintanya.
            “Min…”
            “Fir…”  Jasmin merenung meminta simpati Affirina.
Affirina mengeluh berat. Memang betul, kerja bukan senang nak dapat. Zaman sekarang ini bukan masa untuk memilih kerja.
            “Fir.” Affirina mengangkat kening. “Aku janji gaji kau sama macam mana kau dapat sebelum ni.” Jasmin mengangkat sebelah tangannya seperti orang berikrar.
            Affirina ketawa perlahan sambil menggeleng kepala. Mentang-mentanglah perniagaan Aunty Zaza merupakan maju sekarang ni, banyak cawangan,  ikut suka hati dia aje nak letak gaji berapa.


2 comments:

CintaZulaikha said...

nad, lama da tak dgr kabor???

Hanny Esandra said...

kabor baik... ;p