Follower Tersayang

Thursday, June 14, 2012

Lelaki Cadangan - Bab 7


7
AFFIRINA hanya diam membatu sewaktu makan malam. Alphy sesekali menoleh ke arah Affirina di sebelah. Apa kena dengan adik bertuah seorang ni? Muka macam belacan aje. Selalu dialah yang paling kepoh kat meja makan ni.
            “Fir, kenapa dikuis-kuis nasi tu? Tak ada selera?” tegur Encik Afzan.
Affirina memandang satu per satu wajah di depan dan sebelahnya. Kemudian nasi disuap lagi ke dalam mulut.
            “Selalu Firkan suka ibu punya masak asam ni?” soal Puan Farah.
            “Jatuh cinta kut, bu,” usik Alphy sambil tersengih mengerling Affirina di sebelah.
Affirina jeling Alphy di sebelah. Dia menyiku Alphy yang tengah menyuap nasi. Nasi jatuh kembali dalam pinggan.
            “Woi! Apa ni!” jerit Alphy tidak puas hati.
 Affirina ketawa melihat wajah Alphy merah padam. Padan muka! Asyik nak loyar buruk aje!
            “Fir kenyanglah, bu, abah. Tadi dah makan dengan Min,” balas Affirina sambil tersengih. Dia mengangkat pinggan ke dapur. Selesai basuh pinggan Affirina ke ruang makan semula.
            “Naik dulu!” Affirina segera meniti anak tangga. Tiga pasang mata memerhati langkah Affirina. Kemudian dua pasang mata beralih memandang Alphy pula.
            “Abang?” Alphy mengangkat muka.
            “Kenapa dengan Fir?” Puan Farah merenung Alphy. Anak lelakinya ini memang manis. Sekali pandang macam Hans Isaac.
            “Nanti abang tengok dia.” ujar Alphy. Fir ni mesti ada malasah. Kalau senyum pun ala-ala pelakon wanita terbaik macam tu, memang ada yang tak kena.

KETUKAN di pintu dipandang sepi. Affirina tahu itu Alphy. Abangnya memang seorang kawan yang baik. Kalau Alphy tak ada, dia pasti bosan seumur hidupnya. Affirina pasti mati kutu. Alphy menjengukkan wajah sambil menjulingkan biji mata. Affirina hampir tergelak melihat wajah Alphy.
            “Di mana dia, adik kambing saya… adik kambing saya yang suka nangis-nangis…” Sengaja Alphy menyanyi untuk menghiburkan hati Affirina.
Affirina hanya tersenyum hambar. Abang ingat aku darjah satu ke nak nyanyi lagu tu. Affirina ketawa. Dia membetulkan duduk sandarnya di kepala katil sambil memeluk anak patung Spongebob pemberian Alphy.
            Alphy melangkah lambat-lambat sambil memeluk tubuh menghampiri katil adiknya. Affirina sudah tidak keruan melihat Alphy merenungnya bagai dapat membaca apa yang terkandung di dalam hatinya.
            “Masalah negara apa yang adik tengah fikir sekarang ni?” Alphy cuba berjenaka. Dia menghempaskan tubuh di atas katil. Affirina menjeling.
            “Kalau rasa-rasa nak share, bagi tau ajelah!” Alphy masih memujuk. Dia tahu adiknya akan bercerita.
Affirina menghela nafas panjang. Sesungguhnya dia tak mahu lagi membuka lipatan sejarah yang satu ini. Kalau boleh hendak dibuang jauh-jauh supaya parut yang sedia ada tidak terluka kembali.
            “Entah, Fir bengang!” Affirina berpeluk tubuh. Di ruang ingatannya terbayang senyuman sinis seorang lelaki bernama Syah.
            “Kenapa?” Alphy mengerutkan dahi.
            “Someone just called me Rina.”
Alphy terpempan. Adiknya yang seorang ini pasti terkenang kisah silam. Alphy terbayang wajah lelaki yang berjaya mencuri hati Affirina. Agus Rahfiz.

 GO to hell!!”Affirina menolak keras bahu Agus. Wajah Affirina naik merah padam. Dia ingat aku apa? Macam perempuan-perempuan lain? Tahulah kacukan Melayu-Belanda! Tak payahlah perangai nak buat macam kat barat sana! Damn!
            “Relax… Rina, cool baby…” Agus cuba meraih bahu Affirina. Cool?! Nak cool pergi kawan dengan Mat Kool! Dasar monyet!
            “You are too much, Agus! Mula-mula ajak pergi makan-makan! Kata ada Ema dengan Apis! Lepas tu you buat cerita dia orang ada hal! I percaya lagi kat you. Lepas tu I suruh you hantar I balik, you sibuk nak jalan-jalan!” Affirina menepis tangan Agus. Dadanya berombak kencang. Dia pantang betul dengan lelaki yang suka mengambil kesempatan.
            “Hey… takkan kiss sikit pun tak boleh? Sportinglah sikit, youkan girlfriend I.” Agus mendekatkan wajahnya. Affirina pantas mengelak, tetapi tenaga Agus melebihi segala-galanya. Tubuh Affirina dirangkul kemas. Cup! Agus berjaya mengucup seulas bibir comel Affirina. Sekuat tenaga Affirina menolak tubuh Agus. Tersasar Agus ke belakang. Affirina mula naik gila. Mengamuk sakan dengan sikap Agus yang tidak menghormatinya.
            “Kurang ajar! Aku bukan betina murahanlah, bodoh! Kau ni patut mampus! Pergi berambuslah lelaki jahanam!” Satu tamparan hinggap di pipi Agus.
Agus termalu sendiri. Dia sangka, Affirina seperti gadis-gadis lain yang jual mahal pada mulanya tetapi kemudian jatuh ke dalam dakapannya dengan rela. Dia merenung wajah Affirina yang merah padam. Dia tersengih mencabar gadis itu.
            “You ingat, you tu baik sangat ke?” balas Agus.
Affirina terundur ke belakang apabila Agus mara ke hadapan. “Kalau you baik, you takkan terima I.”
            “Agus…”
            What? Mengaku ajelah! You memang sama macam betina murahan yang pernah I jumpa!” tengking Agus. Dia menjeling paras Affirina.
Affirina terasa hendak menangis mendengar lemparan kata nista daripada Agus.
            “I ingat you ikhlas.” suara Affirina berubah. Dadanya bagai hendak pecah menahan sebak yang dikumpul. Perlahan-lahan air matanya gugur ke pipi.
            “Ikhlas?” Agus ketawa terbahak-bahak. “Ikhlas apa? Mengarutlah semua tu! Tak ada benda yang free. Tak ada benda yang tak ada balasan. Get what I mean?” suara Agus sinis. Dia ketawa. Ketawa puas dapat mempermainkan Affirina yang kononnya tidak suka bergandingan dengan lelaki. Tidak merasa dia memerlukan kaum lelaki. Sekarang baru kau tahu langit itu tinggi atau rendah.
            “You tipu I? You fooling me around!” Affirina menuding jari ke arah Agus. Selama ini dia ingatkan kebaikan dan kejujuran yang Agus tunjukkan adalah ikhlas dari hati. Dia tidak sangka Agus yang pandai bermain dengan kata-kata itu telah menipunya hidup-hidup. Mempermainkan perasaannya yang pada ketika itu baru hendak menerima kehadiran seorang lelaki dalam hatinya. Memang benarlah kata kawan-kawannya, Agus itu kaki perempuan. Sedikit pun kata-katanya tak boleh dipercayai. Disebabkan rasa suka disulam perasaan cinta, Affirina abaikan semua itu.
Agus ketawa megah. Dia merenung wajah Affirina yang berkerut-kerut. Agus menggelengkan kepala.
            “Hey, you yang bodoh, sebab percayakan I. You dah tau daripada kawan-kawan you yang I dah kepit ramai betina, tapi you nak jugak kat I. Tak payahlah nak berlagak baik dengan pakai tudung macam ni!” Agus merentap tudung Affirina.
Affirina terpempan. Segera dia mengambil tudung yang tercampak di atas jalan. Mujur orang tidak ada. Mujur juga anak tudung masih melekat di kepalanya.
Agus ketawa kuat. Kurang ajar! Bisik Affirina di dalam hatinya.
            “You hina I! You hina agama kita! Hidup you takkan selamat, Agus! Allah akan balas segala perbuatan you.” Affirina sudah dibanjiri air mata.
Agus meninggalkannya di situ. Affirina tidak menunggu lama. Dia mendail nombor telefon bimbit Alphy.

KETIKA Alphy sampai, dia meliarkan matanya. Mana adik… mana adik… tangannya mengetuk-ngetuk stereng kereta. Berderau darahnya apabila menerima panggilan Affirina dalam keadaan gadis itu menangis teresak-esak. Dia waktu itu yang sedang santai menonton televisyen sambil makan keropok Chipster melompat bangun apabila Affirina memberitahu lokasinya.
            Mata Alphy tertancap ke arah satu tubuh yang sedang duduk memeluk lutut di tembok jalan. Segera Alphy turun mendapatkan adiknya.
            “Fir…” Meloncat Affirina bangun dan memeluk abangnya. Segala-galanya diceritakan tanpa tertinggal satu pun. Teresak-esak dia menangis waktu itu.
            “Damn.” Itu sahaja yang keluar. Alphy memeluk Affirina. Erat. Memang tempah maut betul budak Agus ni. Alphy betul-betul menaruh dendam.

KEESOKAN malam, Alphy tekad menjejaki Agus sampai ke lubang cacing. Apa nak jadi, jadilah! Aku mesti bagi penumbuk kat hidung budak Agus tu! Berani sungguh dia mempermain-mainkan adik aku! Jumpa dia kejap lagi aku bagi dua pilihan aje. Hantar masuk kubur atau terlantar koma di hospital.
            Sedar tak sedar, Alphy sudah memberhentikan kereta di depan restoran mamak tempat Agus selalu melepak dengan kawan-kawannya. Mata Alphy tajam menikam memandang Agus dan beberapa kawannya yang lain yang sedang bergelak ketawa. Tak apa! Aku bagi kau gelak puas-puas sekarang. Sebab kejap lagi penumbuk maut aku ni kalau makan mulut kau, memang setahun tak boleh ketawa. Jangan kata ketawa, sengih kambing pun tak dapat!
            Alphy memperlahankan lagu Krazy daripada Pitbull featuring Lil John yang berdentam-dentum dari tadi. Dia mematikan enjin kereta. Bersedia, drama swasta akan bermula…
Alphy berjalan menghampiri Agus dan kawan-kawannya. Tanpa banyak cerita Alphy terus menghadiahkan penumbuk sulungnya kepada Agus. Agus dari duduk di atas kerusi terus jatuh terjelepuk di atas jalan tar. Dia terus memandang siapa yang menghadiahkan penumbuk kepadanya. Darah yang terbit di bibir dikesat perlahan. Malunya dia tak terkata.
            “Alphy…”      
            “Ya! Aku Alphy. Abang tiri, lain mak lain bapak dengan kau!” Alphy mencekak leher Agus. Matanya mula merah menahan marah. Wajah sendu adiknya Affirina yang terbayang di ruang mata membuatkan marahnya makin menjadi-jadi.
Terkial-kial Agus mahu berdiri. Kawan-kawan Agus yang lain cuba untuk membantu tetapi telunjuk kiri Alphy hidup menunjuk ke arah mereka semua.
            “Yang lain jangan masuk campur!”
Kesemuanya mengangkat tangan macam komunis kena acu dek senapang. Alphy kemudian mengalih pandang ke wajah lesu Agus. Huh! Jantan lembik! Baru sekali kena penumbuk dah tumbang. Kalau macam ni, memang tak boleh harap pun nak jaga adik aku! Kemudian Alphy bagi lagi sebiji penumbuk.
            “Itu untuk kau hina adik aku.” Dengan rasa tidak puas hati Alphy bagi lagi sebiji penumbuk tanpa Agus sempat mengelak.
            “Itu pulak untuk kau campak tudung adik aku!” Agus semakin lemah. Alphy masih tidak puas. Dia bagi lagi sebiji penumbuk. Tersembur darah daripada mulut Agus.
            “Dan yang itu, untuk kau buat adik aku menangis.” Alphy melepaskan nafas lega. Memang hatinya betul-betul lega dapat belasah Agus. Pelanggan di restoran tersebut semuanya tercengang. Tak ada seorang pun yang berani masuk campur.
            “Dah! Aku dah settle, hantar dia ke hospital.” Tutur Alphy selamba. Dia terus berlalu. Wajahnya merah padam.
Fir, abang tak sanggup tengok Fir menangis. Abang buat semua ni untuk Fir. Abang sendiri tak pernah buat Fir menangis, berani-berani aje Agus buat macam tu. Alphy masuk ke dalam perut kereta dan terus memecut pergi.

“ABANG belasah Agus.”
            “Apa?!” Affirina terkejut beruk.
            “Abang belasah Agus, ni bukti!” Alphy menunjukkan buku limanya yang merah dan bengkak.
            “Macam mana keadaan dia?” kelihatan Affirina agak risau. Walaupun Agus sudah melukakan hatinya, tetapi atas dasar perikemanusiaan, Affirina tetap juga ada rasa risau. Kalau Agus laporkan pada polis, memang kes naya betul abang aku ni!
            “Mati kut.” Wajah Alphy selamba apabila menjawab soalan Affirina.
            “Abang!” Affirina mendengus.
Alphy ketawa panjang.
            Don’t worry, sikit aje,” Alphy mengusap kepala adiknya.

“WOI!”
Alphy tersedar dari lamunan bila bahunya ditampar oleh Affirina. “Abang fikir apa?” Alphy menggeleng sambil tersengih. Eleh… macam orang tak perasan dia mengelamun. Kalau dah hidung tu kembang kempis, kembang kempis maknanya beranganlah tu!
            “Fir, siapa lelaki yang panggil Fir, Rina tu?” soal Alphy seteah mereka berdua membisu seketika.
            “Lelaki yang sama langgar Fir.” Lambat-lambat Affirina menjawab soalan abangnya. Mengenangkan lelaki bernama Syah, dia jadi tak semangat mahu melakukan kerja barunya.
            “Lelaki tu tak salah.”  Jawab Alphy perlahan.
Affirina pantas memandang Alphy. Ini yang aku tak puas hati ni! Syah adik dia atau aku adik dia sekarang ni?
            “Apasal pulak?” Affirina melahirkan nada tak puas hati.
            “Dia tak tau apa-apa pun. Fir kena tolak ansur sikit, okey?” Alphy raih bahu Affirina.
            “Fir dah cakap, panggil Fir aje. Bukan Rina. Tapi dia degil sengaja nak cari pasal!” Affirina rebahkan kepala di bahu Alphy. Di matanya kini terbayang wajah Syah. Wajah Syah yang dingin. Wajah Syah yang satu macam aje. Wajah Syah yang suka menjeling. Arghhh… tensionnya aku!
            “Bila Fir jumpa dia?” soal Alphy.
            “Tadi.” Jawab Affirina pendek. Rambut yang disepit diuraikan.
            “Kat mana?”
            “Butik.”
            “Dia nak kahwin?”
Affirina mengangguk. Alphy tersenyum.
            “Dia nak kahwin dah pun, lepas ni tak jumpa dia dah.” Alphy menarik hidung mancung Affirina.
Affirina hanya mengeluh kecil. Harap-harapnya macam itulah! Tolonglah… baru kenal beberapa hari dah rasa sesak nafas. Kalau berhari-hari? Mahu mati aku.
            “Tapi, mungkin lepas selesai semua majlis, dia akan datang butik lagi.” Sambung Alphy.
Affirina mengangkat wajah merenung Alphy dengan pelik. Wajah Alphy kelihatan serius sambil matanya terkebil-kebil.
            “Kenapa?”
            “Firkan bakal jadi isteri kedua dia.”
            “Kurang ajar!” Affirina buka silat nak belasah Alphy.
Alphy meloncat bangun dan berlari ke muka pintu. Kemudian dia berhenti. Alphy menadah tangan untuk berdoa.
            “Ya Allah, kau jodohkanlah Fir dengan lelaki itu, amin…”
            “Abang!!!” Alphy berlari keluar dari bilik untuk menyelamatkan diri. Bantal yang dibaling Affirina hanya terkena pada belakang pintu.
            Haruskah abang aku ni doakan aku macam tu? Kalaulah doanya dimakbulkan, sanggupkah abang lihat adiknya dimadukan? Ecehhh…

No comments: