Follower Tersayang

Tuesday, June 21, 2011

Tahu Rasa Cinta (3)

“GADIS idamanku… Hanya engkau yang satu… Erzalina… Dalam mimpi-mimpiku… Biar seribu, biar ramai mengganggu… Erzalina… Engkaulah ratu…” suara sumbang Anuar mula berkumandang di segenap corong kolej. Bukanlah sedap mana pun suaranya. Sampai pelajar-pelajar lain naik ‘cemuih’ mendengar Anuar menyanyi sambil ditemani gitar tongnya itu.
            Di mata Anuar kini memang hanya wajah Erzalina yang terbayang. Tidak ada wajah lain. Walaupun sebelum ini sudah banyak kali dia jatuh cinta dengan perempuan, tetapi Erzalina berlainan sama sekali. Kali ini dia betul-betul sukakan seorang perempuan sehingga mendorong niatnya untuk berkahwin dengan perempuan itu. Mangsanya adalah Erzalina.
            Anuar teruskan menyanyi. Dia perasan suaranya merdu. Dia pernah berura-ura untuk menyertai uji bakat Akademi Fantasia tetapi waktu itu dia terikat dengan peperiksaan akhir semester.
            “Erzalina! Aku cinta padamu!!” jerit Anuar penuh perasaan. Syed Bakri yang sedang menghirup kuah Maggie karinya, tersedak-sedak kerana terkejut dengan tingkah laku Anuar yang menjerit tengah-tengah malam buta.
            “Hoi, Nua! Kau sedar tak sekarang dah pukul berapa? Dah pukul 12.00 tengah malam tau! Kalau bangun warden kita nanti, nahas kau!” bidas Syed Bakri. Dia memandang Fadli yang sedang leka menghadap komputer riba sambil memakai headphone. Syed Bakri menghela nafas lega. Kalau Fadli dengar Anuar menjerit tadi memang dia hempuk aje kepala Anuar dengan komputer riba itu.
            “Aku rasa macam nak pergi panjat bumbung kolej perempuanlah, Syed.” Anuar keluh-kesah. Dia beralih tempat duduk dari menghadap tingkap, kini duduk di katilnya.
            “Kau dah hilang akal ke, Nua. Gila bayang betullah kau ni. Kalau Erzalina balas cinta kau tu tak apa jugak! Tapi kau tu syok sendiri.” Balas Syed Bakri tanpa belas kasihan. Dia menggeleng-geleng kepala. Anuar ini harus disedarkan dari khayalan dia. Nanti kalau Erzalina tak balas cinta dia, mati beragan pula!
            Anuar memetik gitar tongnya lagi. Menyanyi entah apa-apa. Sesuka hatinya menukar lirik lagu. Syed Bakri sudah tak terkata. Dia melirik lagi Fadli di sebelah. Tak boleh jadi ni. Syed Bakri menanggalkan serta-merta headphone yang melekap di telinga Fadli. Terkeluar silat Fadli mahu menepis serangan yang tiba-tiba itu sampai Syed Bakri jadi terkejut.
            “Wow! Aku tak tau kau ada silat. Kau belajar silat apa?” soal Syed Bakri lurus. Fadli hanya menjeling. Kacau! Orang tengah ‘berchatting’ ni!
            “Silat ayah aku. Kau mana tau! Aku aje yang dibenarkan belajar.” Hahaha… padan muka kena tipu!
            Syed Bakri hanya tersengih-sengih. Dia tahu Fadli bengang. Syed Bakri menunjukkan muncungnya ke arah Anuar yang ralit menyanyi sampai mendayu-dayu suaranya.
            “Apa kena dengan kawan kita tu?” soal Fadli.
            “Kau tolonglah selamatkan dia, Fadli. Dia betul-betul angaukan Erzalina.” Keluh Syed Bakri. “Tadi dia menjerit sekuat hati. Aku takut ada pulak pelajar-pelajar lain yang bakar bilik kita ni sebab tak tahankan perangai Nua.”
            Fadli menggeleng kepala. Dia mendekati Anuar yang duduk di birai katil. Bahu Anuar ditepuk-tepuk. Anuar berhenti dari memetik gitarnya dan memandang pelik ke arah Fadli.
            “Kau ni harus diberikan tazkirah agaknya. Aku bagi kau kelas tazkirah selama 1 jam mulai hari ni dengan percuma, ya?” Fadli buat muka selamba.
            “Huh? Nak buat apa? Aku tak perlukan tazkirah. Aku hanya perlukan Erzalina.” Anuar memandang ke satu sudut sambil tersenyum-senyum. “Erzalina… jomlah kahwin dengan saya…” Anuar mula merepek.
            Fadli yang mendengar, menjarakkan sedikit tubuhnya daripada Anuar. Demam agaknya Nua ni. Fadli meraba dahi Anuar. Tak panas pun.
            “Tidur ya, Nua. Esok kita ada kelas.” Fadli membaringkan Anuar. Dia menyelimutkan Anuar. Anuar hanya pandang pelik dengan kelakuan Fadli. Fadli ni dah gila ke? “Bobom ya Nua… Bobom… Shhh…” Fadli menepuk-nepuk punggung Anuar. Anuar yang tak tahan diperlakukan begitu terus menyebak selimutnya.
            “Hoi! Kau ni kenapa, Fadli? Kau ingat aku budak kecik?” kembang-kempis hidung Anuar. Dia berkerut memandang wajah Fadli yang sentiasa tenang itu.
            Syed Bakri hanya ketawa.
            “Kau tahu tak kau tu tak ubah macam orang gila meroyan? Buruk perangai sungguh namanya tu! Kau ingat dengan macam ni, Erzalina akan sukakan kau? Lagi menyampah tahu tak?” ujar Fadli.
            “Habis tu, kau rasa macam mana yang Erzalina suka?” soal Anuar macam orang dungu.
            “Macam aku! Sudahlah kacak, bergaya pulak tu. Sudahlah bergaya, pandai pulak tu. Sudahlah pandai, baik hati pulak tu. Sudahlah baik hati…”
            “Sudah-sudah! Aku tak nak dengar! Kau ni bukan nak tolong kawan. Tapi nak menjahanamkan aje! Aku nak tidur. Tolong tutup lampu!” Anuar baring kembali dan meletakkan bantal peluk kepamnya di muka.
            Syed Bakri dan Fadli hanya menahan ketawa. Mereka tak mampu nak menghalang perasaan Anuar terhadap Erzalina. Nua… Nua…

PAGI itu Anuar sudah terlambat. Mana tak lambat, asyik sangat dia mengulit mimpi berkahwin dengan Erzalina. Dia terkocoh-kocoh menuju ke makmal komputer. Sampai sahaja di makmal komputer, Anuar merempuh masuk. Sampai terkejut beruk pelajar-pelajar lain di dalam makmal itu.
            “Emergency! Emergency! Aku dalam keadaan kecemasan ni! Aku nak guna dulu printer! Tolonglah… ini antara hidup dan masa depan!” Anuar menjerit tanpa segan silu kepada seorang pelajar perempuan yang baru nak menggunakan printer.
            “Kalau iya pun, tak payahlah jerit kat saya sampai menyembur air liur.” Gumam pelajar perempuan itu. Wajahnya masam mencuka. Dia mengambil semua barang-barangnya dengan kasar dan duduk di satu meja.
            Anuar tersengih-sengih. Nasib kaulah perempuan. Aku sangat terdesak sekarang ni. Selesai melakukan tugasnya dia tersenyum ke arah pelajar perempuan tadi. Pelajar itu hanya menjeling kepadanya.
            Dalam keadaan tergesa-gesa itu Anuar tidak perasan ada sesuatu yang terjatuh dari dalam buku notanya.
Kemudian seseorang telah menjumpainya…

GELAGAT Anuar seperti ibu ayam kehilangan anak. Dia mencari-cari di sekitar tempat duduknya sewaktu tamat kuliah. Habis satu tempat duduk itu ditawafnya. Kemudian Anuar mengeluarkan segala isi di dalam beg. Habis bertaburan semuanya.
            “Kau cari apa dari tadi ni, Nua?” soal Syed Bakri yang sudah mula bosan. Fadli sudah terduduk kembali menunggu barang yang dicari oleh Anuar.
            “Cuba kau cakap barang apa yang hilang ni? Seluar dalam kau ke?!” Fadli sudah tidak puas hati. Dari tadi kawan-kawan dia duk bertanya boleh pulak buat pekak aje! Fadli menjeling Anuar yang tak sudah-sudah kelam-kabut mencari barangnya.
            “Adalah… aku tak pernah bagi tau kau orang berdua barang aku yang satu ni.” Barulah Anuar bersuara. Menyesal pula dia tak beritahu sebelum ini. Kalau tak, mesti mereka sudah sama-sama tolong mencarinya.
            “Barang apa?” soal Syed Bakri.
            “Penanda buku…” jawab Anuar perlahan.
            Kedengaran Syed Bakri dan Fadli ketawakannya. Anuar berpaling. Aik? Penanda buku aku hilang ni, boleh pulak ketawa!
            “Apa yang kau orang ketawakan? Aku serius ni!” marah Anuar. Dia teruskan usaha mencari.
            “Helo, bai! Penanda buku hilang pun nak kecoh ke? Beli barulah! Kalau tak pun, aku ada banyak. Kau ambik aje mana yang kau berkenan.” Ujar Syed Bakri.
            “Tak! Kau orang tak faham penanda buku ni special sikit. Tak ada jual. Sebab aku buat sendiri.” Balas Anuar. Suara sedihnya begitu meninggalkan kesan di hati Syed Bakri dan juga Fadli.
            “Kau cuba ingat sebelum ke kelas kau pergi mana? Makmal komputer kan?” soal Fadli.
            Ya! Baru Anuar teringat. Sebelum Anuar ke sini, dia ke makmal komputer. Mesti penanda buku itu tercicir sewaktu dia terkejar-kejar untuk ke kelas pula. Ya! Aku yakin mesti ada kat makmal komputer. Anuar segera masukkan semua barang-barang ke dalam begnya.
            “Jom!”

SAMPAI di makmal komputer, terus sahaja Anuar merangkak-rangkak sampai ke bawah meja untuk mecari penanda buku kesayangannya. Puas dia mencari tetap juga tidak jumpa.
            “Dah hilanglah, Nua. Nak buat macam mana lagi. Kita balik ajelah…” pujuk Fadli. Syed Bakri memaut bahu Anuar. Anuar sudah macam putus cinta lagaknya.
            “Aku sedihlah! Sedih sangat! Bukan senang aku nak buat penanda buku tu dengan penuh kasih sayang.” Anuar mencebik.
            Syed Bakri dan Fadli hanya saling berpandangan dengan wajah pelik. Apa-apalah Nua…
            Mereka bertiga melangkah keluar dari makmal komputer itu dan menuju ke tempat parkir motor untuk pulang ke kolej. Sewaktu berjalan, mereka terhenti tiba-tiba bila terdengar suara perempuan berdeham.
            Serentak itu mereka bertiga berpaling melihat empunya suara. Terkejut beruk mereka bertiga kerana yang berdiri di depan mereka ini adalah Erzalina. Wajah Erzalina sangat tenang. Tetapi bila dilihat wajah Anuar, peluh sudah merenik di dahinya. Bajunya juga sudah lencun.
            “Maaf.” Ucap Erzalina sepatah.
            Mereka yang lain hanya menunggu kata-kata daripada Erzalina seterusnya. Erzalina mengeluarkan sesuatu dari dalam begnya. Sebaik sahaja benda itu berada di tangan Erzalina, biji mata Anuar terbeliak seperti mahu tertanggal dari soketnya.
            “Penanda buku ni ada tertulis nama Anuar. Saya rasa ini awak punya.” Erzalina menghulurkan kepada Anuar. Anuar tertelan air liur. Perlahan-lahan penanda buku bertukar tangan.
            Erzalina hanya tersenyum sedikit dan berlalu pergi. Tidak sempat Anuar mahu mengucapkan terima kasih. Dia hanya memandang langkah Erzalina yang penuh teratur itu.
            Dua lagi rakannya segera melihat apa yang tertulis di penanda buku itu. Mereka terkejut dengan ketaksuban Anuar yang meminati Erzalina. Penanda buku itu tertulis :-

Erzalina Cintaku. Aku akan setia menantimu…
Anuar
O70000 / Engineering.    
            
 Syed Bakri dan Fadli hanya menggeleng kepala. Nua... Nua...
                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                            

5 comments:

Asrul "iLham" Sany said...

lain kali masuk le lagi blog aku ye...

;D

Hanny Esandra said...

ahahaha...
baik! ;p

JeeMacey said...

hanny pandai nya tulis novel...:)

Hanny Esandra said...

cik jee,
itu saje bakat yg saya ada cik jee..
alhamdulillah.. terima kasih..:)

Unknown said...

cepat sambung sis ! heheheh