DARI sampai ke dalam bilik sehinggalah ke malam hari Anuar hanya diam. Malu-malu sahaja gayanya. Syed Bakri dan Fadli pula hanya tersenyum-senyum. Sesekali mereka berbisik-bisik dan ketawa geli hati. Sikap mereka itu membuatkan Anuar jadi panas hati. Dia betul-betul malu dengan apa yang berlaku.
Memanglah Anuar mahu Erzalina tahu dia menyimpan perasaan terhadap gadis itu, tetapi bukanlah begitu caranya. Anuar ada caranya tersendiri. Dia jadi malu dengan dua orang lelaki yang sedang tertawakannya ketika ini.
Anuar mula berdiri. Menatap mereka yang masih lagi bergosip mengenai dirinya. Macamlah Anuar seorang artis yang mereka sibuk mahu bergosip tentangnya. Anuar bercekak pinggang pula. Ewah! Aku yang sudah macam naga ini pun mereka tidak takutkan aku! Melampau sangat ni!
“Sudah-sudahlah gelakkan aku tu! Apa yang kelakar sangat?” Anuar menghamburkan kemarahannya.
Syed Bakri dan Fadli memandang Anuar serentak. Mereka terdiam serta merta bila melihat wajah Anuar yang sudah merah padam.
“Alah… relakslah Nua. Bukan apa. Aku rasa betul-betul romantiklah tindakan kau ni. Ini yang membuatkan aku pun nak jatuh cintalah dengan perempuan.” Perli Syed Bakri.
“Iyalah Nua! Tak sangka kau ni betul-betul sukakan Erzalina. Aku ingat kau ni tak tahu serius dalam nak membina hubungan.” Fadli menahan ketawa.
“Banyaklah kau orang! Itulah… kau orang semua tak faham perasaan aku yang betul-betul ikhlas cintakan Erzalina. Sekarang ni aku dah malulah! Tak tahu nak buat apa. Macam manalah penanda buku tu boleh terjatuh.” Keluh Anuar.
“Tak apalah, Nua. Inilah langkah pertama. Bila Erzalina dah tahu kau sukakan dia, senanglah kau nak mengurat. Tak payah susah-payah bagi tau dia yang kau sukakan dia. Dia dah tahu pun.” Kata-kata Syed Bakri membuatkan mata Anuar kembali bersinar.
“Iya ke?” soal Anuar perlahan. Dia menggosok-gosokkan kedua-dua belah tapak tangannya. Mula membina angan-angan.
“Betul. Sekarang ni, kau cuba-cubalah cari peluang berbual dengan dia. Mesti dia nak kau berbual dengan dia. Takkan dia pulak nak pergi cari kau.” Usul Fadli pula.
Anuar mengangguk-angguk tanda setuju. Betul jugak tu. Takkan dia yang perempuan pulak nak jumpa aku, tak manis gitu! Anuar tersengih-sengih. Aku akan berazam untuk memiliki Erzalina.
“Betul jugak cakap kau orang. Esok aku akan cuba cari peluang bercakap dengan dia!” balas Anuar.
Syed Bakri dan Fadli saling berpandangan.
“Isy, isy, isy… Kau ni Nua. Itu dah kategori gelojoh! Cuba kau bawak-bawak bersabar. Cari masa yang sesuai.” Nasihat Syed Bakri.
“Tak bolehlah, Syed. Kalau boleh sekarang jugak aku nak pergi jumpa Ustaz Haji Zamidi minta restu!” balas Anuar.
Fadli sudah ketawa. Syed Bakri hanya tersenyum.
“Kau dah cukup sangat ke ilmu kat dada nak pergi jumpa dengan Ustaz Haji Zamidi?” sengaja Fadli menduga.
“Eh? Nanti aku belajarlah! Lagi pun aku ni tak adalah bodoh sangat! Cuma… aku ada penyakit ‘M’ aje.” Mereka ketawa mendengar jawapan Anuar. Tahu sangat apa itu penyakit ‘M.’ Apa lagi kalau bukan malas. Nua… Nua…
RESAH gelisah sehingga tak sedap perut mula mengganggu Erzalina. Seumur hidupnya dia tak pernah mengalami situasi begini. Puas dia cuba untuk melupakan apa yang berlaku pagi tadi.
Dari baring dia duduk di atas katil. Rambut yang panjang ikal mayang itu diselitkan di belakang telinga. Dia memeluk lutut sambil kakinya digoyang-goyangkan bagi mengurangkan rasa gementar yang tiba-tiba menyerang hati. Hujung rambut dipintal-pintal. Eeiii… Kenapa dengan Anuar tu? Tak malu ke dia tulis nama aku besar-besar dalam penanda buku tu? Sudahlah lukis gambar aku, ada pulak kata-kata yang buat aku rasa nak jerut diri sendiri.
Dari duduk di atas katil, Erzalina kini berpindah pula menghadap jendela. Rambutnya hanya sekadar ditutup dengan kain tuala. Dia hanya memerhati pelajar-pelajar lain yang sedang duduk berbual di bawah kolej.
Manalah Mahfuzah ni? Beli nasi ke buat nasi? Erzalina menongkat dagu pula. Fikirannya kembali terimbas peristiwa petang tadi, sewaktu dia mahu menyerahkan penanda buku milik Anuar. Ikutkan hati aku, nak aje aku buang. Tapi… tak baik pulak.
Dia melihat penampilan Anuar. Tak boleh ke dia ni berpakaian kemas sedikit? Kalau pakaian macam ni, memang sudah melanggar rupa dan sahsiah diri.
Waktu itu, Erzalina terlalu gugup untuk berdepan dengan lelaki itu. Tiga pasang mata memandangnya macam nak telan. Cepat-cepat Erzalina menunduk mencari-cari penanda buku itu di dalam begnya.
Selepas memberikan penanda buku itu dia tidak tunggu lama. Ingin segera pergi sebelum suara Anuar memanggilnya. Erzalina menarik nafas lega bila lelaki-lelaki itu tidak mengekorinya.
Sewaktu terjumpa penanda buku di atas lantai makmal komputer pagi tadi, Erzalina seperti mahu pengsan di situ juga. Terasa dirinya sepeti diserang demam kura-kura. Matanya melingas ke kiri dan ke kanan. Mujurlah tidak ada yang perasan. Kalau tidak, satu kampus UM ini tahu dia ada peminat misteri. Ewah… perasannya kau Erzalina.
“Saya dah balik!” jerit Mahfuzah.
Mahu sahaja Erzalina melompat keluar dari tingkap akibat terkejutkan suara Mahfuzah. Erzalina menggeleng kepala.
“Ore tino tak molek peranga gitu…” marah Erzalina sehingga terkeluar dialek Kelantannya.
Mahfuzah hanya tersengih menunjukkan giginya. Dua bungkusan makanan dan juga minuman diletakkan di atas meja. Erzalina terus duduk dan mengambil bungkusan makanan.
“Kenapa awak lambat, Uja?” soal Erzalina. Air tembikai disedut perlahan-lahan.
Mahfuzah duduk di sebelah Erzalina. Dia tersenyum-senyum sambil membuka polisterin. Bau Nasi Goreng USA mula menusuk hidung.
“Saya jumpa Anuar tadi. Dia kirim salam.” Hampir terkeluar kembali Nasi Goreng Thai yang baru masuk ke mulut Erzalina. Kenapa pulalah satu hari ni aku asyik ada kena mengena dengan lelaki bernama Anuar.
“Mana awak jumpa dia?” suara Erzalina kedengaran menjengkelkan.
“Kat tempat makan tadi. Saya baru nak balik, dia datang dengan kawan-kawan dia yang lagi dua orang tu. Dia yang tegur saya dulu, soalan pertama yang dia tanya awak tahu tak apa dia?”
“Apa?” soal Erzalina acuh tak acuh. Dia betul-betul menikmati makanannya.
“Dia tanya saya, mana kawan kau, Erzalina?” jawab Mahfuzah dengan gaya ajukan sekali.
Hampir tersembur nasi dari dalam mulutnya. Cepat-cepat Erzalina menutup mulutnya. Mahfuzah hanya tersengih-sengih melihat gelagat Erzalina yang sudah tidak keruan itu. Malulah tu konon!
“Dia kirim salam.” Sambung Mahfuzah lagi dengan sengih-sengihnya. Kemudian matanya terus memandang nasi yang sudah tinggal separuh itu. Dia tak sedar Erzalina memandangnya dengan perasaan geram.
“Demo kecek molek sikit. Ambo tak suko demo belawak kok sir.” Balas Erzalina. Dia merngerling paras Mahfuzah yang terpinga-pinga.
Apa Erzalina cakap ni? Mencarut kat aku ke? Eh… takkanlah alim-alim macam uztazah ni nak cakap benda bukan-bukan pulak.
“Awak cakap apa?” soal Mahfuzah. Matanya terkelip-kelip memandang wajah Erzalina meminta jawapan.
Erzalina melihat wajah Mahfuzah itu pun rasa mahu sahaja gelak sampai berguling-guling. Aku ni pun satu! Pergi ‘speaking’ dengan dia buat apa? Ada bahasa melayu standard pakai ajelah.
“Maksud saya tadi tu, awak cakap elok-elok sikit. Saya tak suka awak bercakap bohong tak tentu hala. Berdosa, Uja…” nasihat Erzalina dalam senyuman.
Mahfuzah sudah ternganga. Ya Rabbi… Nak berbohong buat apa pulak? Dah memang betul Anuar kirim salam pada Erzalina. Tak nak percaya pulak dia.
“Erzalina, saya tahu saya ni nakal sikit. Tapi saya tak pernah menipu. Betul ni… Memang Anuar kirim salam kat awak.” Terang Mahfuzah bersungguh-sungguh.
“Kenapa dia nak kirim salam kat saya pulak?” soal Erzalina. Mahfuzah mengangkat kening. Buat-buat tak faham pulak Erzalina ni.
“Mungkin dia suka awak kut? Jawablah… Dosa tak jawab salam orang.” Mahfuzah sudah tersenyum nakal.
Erzalina jeling-jelig manja. Isy! Aku katok jugak budak ni kang. Dia cepat-cepat mahu menghabiskan Nasi Goreng Thainya. Malas mahu melayan Mahfuzah yang sudah merepek yang bukan-bukan. Eh? Betul ke Uja merepek yang bukan-bukan? Dia kan bagi tau perkara yang sebenarnya? Aku… Aku aje tak dapat terima.
Mahfuzah hanya memandang Erzalina dengan satu senyuman yang sukar untuk ditafsirkan.
Selesai sahaja makan. Erzalina menutup semula polisterin dan dimasukkan semula ke dalam plastik. Air jus tembikai disedut perlahan-lahan tanpa mempedulikan Mahfuzah yang memandangnya dengan setia.
“Ehem… Erzalina…”
Erzalina mengerling sedikit sambil menyedut lagi minumannya.
“Nasi yang awak makan tu kan…” Mahfuzah sengaja menggantungkan ayatnya kerana dia mahu melihat reaksi Erzalina. Ternyata Erzalina semakin syok menyedut minumannya.
“Anuar yang belikan…”
Waktu itu juga air yang berada di dalam mulut comel Erzalina, tersembur keluar. Dia mengerling Mahfuzah di sebelah.
“Err… Saya nak pergi jumpa Shafna kat bilik sebelah, saya bawa nasi sekali, ekh. Saya dah bawa kunci bilik.” Cepat-cepat Mahfuzah mengangkat makanannya. Lagi lama aku tunggu di sini, entah apa-apa pula Erzalina ‘speaking’ bahasa dia nanti.
No comments:
Post a Comment