Follower Tersayang

Thursday, May 10, 2012

Lelaki Cadangan - Bab 2


2
HARI pertama di butik, Affirina belajar mengingati harga. Kemudian jenuh juga dia nak menghafal semua jenis kain yang digunakan di kebanyakan butik. Risau kalau-kalau pelanggan bertanyakan jenis kain yang ada di butik tersebut.
            “Fir.”
Tersentak Affirina seketika. Aduh, nasib aku tak kena serangan jantung. Affirina tersenyum melihat wajah redup Aunty Zaza. Agaknya aura seri pengantin melekat di wajah Aunty Zaza kut? Manis berseri selalu.
            “Ini katalog-katalog untuk baju pengantin, yang ini untuk tempahan kek, yang ini segala macam aksesori, contoh macam crown, veil, kasut, keris, tanjak, barang-barang perhiasan perempuan semua ada dalam katalog ni. Kalau customer datang nak guna khidmat kita, tunjukkan katalog-katalog ni dulu, kalau dia orang berminat, baru tunjuk pakej-pakej yang kita tawarkan.” Panjang lebar Aunty Zaza beri penerangan. Segala susun atur katalog di dalam butik ini sangat sistematik. Jadi, pelanggan tak mungkin akan rasa keliru atau pening untuk memilih.
Affirina hanya tersengih. Seram juga bila difikirkan bagaimana dia melayan  pelanggan pertamanya nanti. Buat masa ini dia hanya membantu Jasmin melakukan sebahagian kerja.
            “Okey tak, Fir?” Aunty Zaza merenung Affirina sambil tersenyum. Dia menyentuh lembut bahu Affirina.
Affirina mengangguk kepala sambil tersengih.
Don’t worry, Min kan ada boleh tolong Fir.” Aunty Zaza cuba mententeramkan Affirina yang kelihatan gusar. Mana taknya muka sudah cuak macam nampak perogol.
            “Okey, aunty, I’m willing to learn.” Affirina tersenyum sambil menunjuk isyarat ‘OK.’
            “Kalau macam tu, aunty keluar dulu. Min, kuncilah kedai dulu, ajak Fir pergi lunch.” Aunty Zaza melangkah anggun keluar dari butik miliknya.
Mata Affirina mengekori langkah Aunty Zaza yang masih bergetah itu keluar dari butik. Kelihatan Uncle Nordin keluar dari kereta dan melambai ke arah Affirina dan Jasmin.
            “Bahagia betul dia orang tu kan?” Affirina menongkat dagu atas meja.
            “Alah, macamlah kau tak kenal aunty dengan uncle aku tu. Romantik sepanjang masa.” Jasmin menggalas beg tangannya. “Tak nak lunch ke?” bahu Affirina ditepuk perlahan.
           
MAKAN kat mana?” soal Jasmin sewaktu mahu melintas jalan ke arah tempat letak kereta.
            “ABC special nak tak?” cadang Jasmin sambil menjungkitkan keningnya.
            “Nak!” Affirina sudah menjerit suka seperti anak kecil. Di mindanya terbayang ABC spesial yang dilumuri coklat. Dia berangan sampaikan tidak sedar ada kereta sewaktu dia mahu melintas jalan.
            Pin!!!
Belum sempat Affirina menoleh, sebuah kereta merempuh lengannya.
Gedebuk!!
Seperti nangka busuk Affirina tergolek di bahu jalan. Dia memegang sikunya yang mula terasa sengal. Matanya masih memandang Honda CRV berwarna biru gelap itu.
Tidak lama kemudian, seorang lelaki berbaju kemeja putih berjalur kelabu keluar dari kereta. Wajah lelaki itu juga nampak cemas. Lelaki itu berlari-lari anak untuk mendapatkan Affirina.
Wajah Affirina pula sudah seperti tercekik biji durian. Matanya bulat merenung lelaki segak di hadapannya. Dalam banyak-banyak orang kenapa dia yang terpilih untuk langgar aku? Affirina masih merenung lelaki itu. Lama. Lelaki itu kelam kabut mendekatinya yang masih terduduk di situ.
            “Ada…” wajah mereka bertentangan. Perlahan-lahan wajah lelaki itu berubah sinis. Kedua-dua belah tangannya diseluk ke dalam poket seluar.
            You again, huh?” soal Syah seakan tidak percaya boleh bertembung muka dengan gadis yang baru sahaja gagal dalam temuduga di syarikatnya tempohari.
            “Mata tu letak kat tapak kaki ke?” sembur Affirina.
Syah mengangkat keningnya. Amboi kasarnya bahasa perempuan ni.
Tangan Affirina masih lagi memegang siku kanannya. Terasa ada cecair pekat membasahi lengan baju. Alamak! Darah ke? Relaks Fir, relaks… jangan tengok darah tu! Nanti kau juga yang pengsan.
            I see… nampak macam okey, tak cederakan? Dah boleh maki orang pulak tu!” Syah berpusing untuk ke keretanya.
            “Tak guna.” Tutur Affirina lembut dan cuba untuk bangun. Dia memandang Jasmin yang masih leka memandang lelaki yang membelakangkan mereka.
Langkah Syah mati apabila terdengar perkataan itu. Betul ke aku tak guna? Biar dia macam tu aje? Syah kembali berpaling.
            Come!” Syah menghulurkan tangan untuk membantu Affirina bangun.
            “Apa ni?”
            Here!” Syah masih seperti tadi. Affirina menjeling.
            I don’t need your help!” Affirina tepis tangan Syah. Jasmin yang terkulat-kulat dari tadi cuba memapah Affirina.
            “Kau okey, Fir?”
            “Pegang aku Min, aku nak pitam tengok darah kat tangan aku ni!” bisik Affirina sambil memegang pelipisnya.
Mata Jasmin bulat mendengar kata-kata Affirina.
            “Ha! Darah? Mana?” Jasmin mencari tangan Affirina yang luka.
            “Kut ye pun, tak payahlah je…”
Buk!
Affirina jatuh sebelum sempat menghabiskan ayat-ayatnya.
            “Fir!!” Jeritan Jasmin buat Syah berpaling 360 darjah. Dia berlari mendapatkan Affirina yang layu tidak sedarkan diri. Tubuh gadis itu dicempung.
            “Follow me.” Ujar Syah perlahan.
Jasmin tiada pilihan lain. Dia mengekori Syah yang sedaya upaya meletakkan Affirina di tempat duduk sebelah.
            “Nak ke mana, encik?”
            “Klinik, takkan rumah urut pulak.” Sinis jawapan Syah.
Gulp! Dengan aku-aku kena marah? Jasmin terdiam. Dia terfikir sesuatu. Dari gaya tutur kata lelaki itu seperti dia pernah berjumpa sebelum ini.
SAMPAI di klinik, perlahan-lahan Syah menurunkan Affirina dan dicempung bawa masuk ke klinik. Wajah Syah yang serius ala-ala komando askar membuatkan Jasmin diam membisu. Di dalam bilik doktor, hanya Affirina dan Jasmin sahaja.
 Syah hanya menunggu di luar. Dia membelek lengan baju kemejanya yang terdapat kesan darah. Nampak gayanya aku kena balik rumah dulu ni. Mata Syah memandang ke arah pintu bilik yang masih bertutup. Dia merengus perlahan.
            Pintu bilik terbuka. Syah hanya memerhati dengan wajah selamba. Langsung tidak beriak. Affirina yang terlihat Syah menunggu di situ sengaja kelatkan mukanya. Tak sudi langsung dia membalas renungan Syah.
            I’ll send you.” Syah sudah berdiri. Menanti reaksi Affirina.
Affirina mengangkat kening sambil memandang wajah Syah yang tiada perasaan. Kalau tak ikhlas baik tak payah! Dia menghala pandangan terus ke depan.
            “Tak apa! I’ll take a cab.”
            “Sombong.” tutur Syah perlahan.
Affirina buat tidak peduli. Dia terus berjalan keluar dari klinik, sambil dipapah oleh Jasmin. Kepalanya masih terasa berpusing-pusing. Syah turut keluar dari klinik tersebut dan hanya memerhati langkah Affirina yang perlahan.
“Lain kali main kat tengah-tengah jalan. Boleh langgar terus.” Sinis suara Syah.
Affirina terhenti dan berpaling. Kurang ajar! Dia ingat aku suka ke kena langgar? Tak pasal-pasal kena jahit siku aku ni tau tak!
            “Kalau ada niat nak membunuh, kenapa hantar ke klinik? Hantar kat rumah mayatkan senang!” Huh… Padan muka! Rasakan! Ingat aku tak berani melawan. Affirina menjeling tajam.
            “Masalahnya bernyawa lagi. Nak tempah keranda pun tak boleh.” Syah tak mahu mengalah. Walaupun kata-katanya lembut tetapi masih terasa menikam jantung Affirina.
Jasmin sudah pening. Yang ini keras kepala. Yang itu tak mahu mengalah. Seeloknya hantukkan aje kepala mereka berdua!
            “Err… tak apalah encik, kami balik dulu. Anyway thanks sebab sudi hantar kawan saya ke klinik.” Jasmin cuba menjernihkan keadaan yang sudah kelihatan keruhnya. Kalau tak disudahkan mahu bercakar mereka di sini.
            “It’s okay. Nasihat kawan you tu sikit. Dah hantar ke klinik pun bukan nak ucapkan terima kasih.” Syah terus berpaling dan menuju ke keretanya.
            Affirina menggetap bibir bawah. Dia memandang Syah yang berjalan lambat macam kura-kura itu.
            “Aku nak bunuh dia, Min!” ucap Affirina separuh menjerit. Sebal sungguh hatinya melihat sikap Syah yang berlagak itu.
            “Sabarlah Fir, mengalah aje. Kalau kau macam ni, dia macam tu, sampai bila nak habis kau orang ni?” Jasmin mula membebel.
Mata Affirina masih memandang kereta Honda CRV yang baru sahaja berlalu pergi. Kemudian dia mengerling Jasmin di sebelahnya.
“Kenapa kau nak sebelahkan dia pulak?” Affirina merengus.
“Bila masa pulak aku sebelahkan dia. Aku cuma nak kau mengalah aje. Tak guna bertengkar dalam keadaan kau sakit macam ni. Lagipun lelaki tu dah pergi dah. Tak ada nak jumpa kau lagi.” Jawab Jasmin cuba untuk menyedapkan hati Affirina.
            “Dahlah. Jom kita balik. Nanti kau tapaukan ajelah makanan kat kedai Mak Cik Huda seberang jalan tu. Tak ada selera nak makan ABC dah.” Rajuk Affirina.

No comments: