Follower Tersayang

Tuesday, May 22, 2012

Lelaki Cadangan - Bab 5


5
AFFIRINA leka melihat Jasmin menjahit manik pada gaun pengantin yang telah ditempah oleh seorang pelanggan. Dia tidak sedar dirinya diperhatikan oleh Jasmin. Jasmin tersengih. Dia berpura-pura mendekatkan jarum ke mulut Affirina.
            “Apa hal ni?” Affirina menepis tangan Jasmin. Jasmin ketawa mengekek.
            “Kau tu, tak reti tutup mulut. Ingat nak tolong jahitkan mulut tu. Letak manik-manik ni sekali, barulah berseri, bersinar-sinar sikit bibir tu.” Jasmin sudah ketawa panjang.
Affirina menjeling. Tetapi hanya seketika. Dia kembali merenung ke arah gaun pengantin berwarna merah hati itu.
            “Pandai kau menjahit, Min.” Affirina puji. Ikhlas.
            “Kau nak belajar?” Jasmin hulur jarum dan bekas manik-manik di tangannya. Affirina pantas menggeleng. Nak suruh aku buat corak apa dengan segala manik, labuci dengan batu-batu ni? Buat pelan dalam rumah?
            “Kau kena belajar, Fir. Nanti kalau customer kau minta tambah itu, tambah ini, kat gaun dia, masak kau!”
            “Kau kan ada?”
            “Macam aku tak ada kerja lain, kan?” Jasmin menjeling.
            “Yalah, yalah, aku belajar.” muncung Affirina mula panjang sedepa.
“Ha! Tarik muncung tu, aku kepit dengan playar bagi lagi panjang nanti baru tau.” Jasmin tersengih sambil menggeleng.
            Kemudian dia menggeliat melonggarkan segala urat-urat yang bersimpul di dalam badan. Matanya ditala keluar butik. Dia terus terpaku.
Affirina jadi pelik pula melihat wajah Jasmin yang tak ubah seperti ternampak hantu di siang hari.
            “Fir! Kau tengok tu.” Telunjuk Jasmin menunjuk ke arah luar butik.
            “Apa?”
            “Kau tak nampak ke?”
Affirina kembali perhati betul-betul keadaan di kawasan luar butik. Ada kereta sedang memarkir. Ada perhentian bas. Ada seorang wanita mengandung sedang menahan teksi. Ada wanita lain pula sedang memimpin tangan anaknya untuk melintas jalan. Ada seorang lelaki ala-ala romantik sedang bergelak ketawa dengan pasangannya. Kemudian…
Tiba-tiba matanya kembali terarah kepada lelaki tadi. Macam kenal. Dengan rambut ala-ala Korean style, T-Shirt berkolar hitam dan jeans biru.
            “Syah, kan?” soal Affirina kepada Jasmin. Matanya masih terpaku ke arah Syah.
            “Ha! Pandai pun kau!” Jasmin menepuk bahu Fir.
            “Siapa tu?”
            “Kau tanya aku ke, Fir?” soal Jasmin sambil menjeling tajam.
            “Tak, aku tanya diri aku sendiri.” Jawapan Affirina sungguh sakarstik.
            “Girlfriend dialah kut. Cantikkan? Pandai dia cari girlfriend. Ala-ala dia jugak mukanya.” Puji Jasmin.
            “Menyampah!” lontar Affirina. Dia kembali menyambung kerjanya yang tergendala. Jasmin hanya tersengih.
            “Jealous?”
            “Siapa? Aku? Kenapa mesti aku nak cemburu?” soal Affirina. Dia rasa soalan Jasmin itu tidak masuk akal langsung. Untuk apa dia cemburukan lelaki yang tidak dia kenali itu.
            “Manalah tau.” Jasmin masih tidak serik mahu mengusik Affirina.
            “Jangan lebih ya, Min.” ugut Affirina pula.
            “Tadi macam dah nampak asap keluar dari telinga.”
“Min…”
“Sumpahlah. Tak tipu.” Sepantas kilat bantal kecil yang ada di situ di baling ke arah Jasmin. Jasmin sudah ketawa panjang.

“WAH! Banyaknya kita beli barang!” Syah menyindir adiknya sambil membawa semua barang-barang dari dalam kereta.
            “Sengih! Sengih! Mentang-mentang duit kita yang keluar. Tolonglah angkat!” Syah marah-marah sayang.
            “Alah... dengan adik sendiri pun nak berkira.” Nabila mencemik. Dia mengangkat beg-beg kertas yang dihulurkan kepadanya.
            “Belle ni dah nak kahwin pun, shopping ajak kita.” Syah menggeleng kepala.
            “Yalah… nak shopping barang-barang hantaran, takkan nak ajak Emir pulak.”
            “Mestilah! Diakan bakal suami Belle, ini kita pulak yang jadi mangsa.” Syah mencebik.
            “Ee ni tak boleh bertolak ansur langsunglah!” Nabila mencubit perut abangnya dan terus berlalu masuk ke dalam rumah sambil menghentak-hentakkan kaki. Syah sudah ketawa panjang melihat sikap keanak-anakan Nabila.

PUAN Rinda dan Encik Zainuddin sedang bersantai sambil minum petang di anjung rumah banglo dua tingkat itu.
            “Mama!”
            “Papa!” Puan Rinda dan Encik Zainuddin menoleh serentak sambil tersenyum bahagia melihat kedua-dua anaknya. Si abang sudah tua bangka tapi jodoh belum nampak lagi. Si adik pula sedang menghitung hari bahagianya. Puan Rinda hanya tersenyum.
            “Amboi… banyaknya beg.” usik Encik Zainuddin sambil mengintai-intai isi di dalam beg.
            “Ee yang sponsor.” Nabila tersengih seperti kambing.
            “Belle yang paksa tau!” usik Syah pula.
            “Belle beli apa?” Tangan Puan Rinda pula rancak memeriksa dari satu beg ke satu beg.
            “Belle ingatkan mama, hantaran daripada Belle semua warna pink. Belle nak letak small bear kat setiap bakul hantaran. Contoh, hantarannya beg, ada small bear bahagia kat tepi beg tu! Okey tak, mama?” Nabila meminta pendapat Puan Rinda.
            Puan Rinda hanya senyum sambil menggeleng kepala. Melihat keceriaan yang terpancar di wajah Nabila membuatkan Puan Rinda tidak percaya yang anaknya itu bakal mendirikan rumah tangga.
            “Habis, pihak Emir?” Syah mencelah.
            “Warna biru.” jawab Nabila.
            Puan Rinda spontan tersenyum dan mengusap rambut Nabila. Sayangnya dia pada anak bongsunya itu melebihi segala-galanya. Kemudian mata Puan Rinda beralih ke wajah anak bujangnya.
            “Ee bila lagi?” Puan Rinda merenung anak mata Syah.
            “Biar Belle dululah ma. Belle dah kahwin, dah lepas tanggungjawab Ee nak jaga dia. Giliran Emir pulak.” Syah hanya tersenyum cuba untuk menenangkan keadaan.
            “Ee ni janganlah jual mahal, kat office tu ramai yang cantik-cantik, pilih aje yang mana satu menawan kalbu.” sampuk Nabila.
            “Suruh kita main cekup ke?” Syah menjeling bila melihat Nabila tersengih.
            “Takkan tak ada langsung yang berkenan?” duga Encik Zainuddin pula.
            Syah hanya tersenyum. Dia sendiri tidak tahu jawapan apa yang harus diberikan. Pendek kata soal hati dan perasaan memang susah untuk diungkapkan. Sememangnya hatinya masih belum terisi. Kesibukan di tempat kerja membuatkan Syah jarang mahu memikirkan soal peribadinya.
            “You straight, kan Ee?” Syah berpaling terus ke arah adiknya.
            “Woi! Mulut!”
Nabila sudah mengekek ketawa sambil menjelirkan lidahnya.
Wajah Syah berubah seperti jeruk masam. Dalam banyak-banyak perkara kenapalah fikiran Belle boleh sampai ke situ. Syah menggeleng kepala.
            “Cari Ee, buka mata tu luas-luas.” suara Puan Rinda bergema tiba-tiba.
            “Tengah carilah ni, ma.” Syah sengaja menyedapkan hati orang tuanya.
            “Senang-senang, mama dengan papa ajelah carikan.” Nabila tersenyum-senyum dengan cadangan yang diutarakan.
            “Ni nampak?” penumbuk padu ditala ke wajah Nabila.

No comments: